Translate

Wednesday, August 25, 2010

Disuntik cecair misteri


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pelajar tingkatan lima sekolah persendirian Cina di sini bimbang dijangkiti penyakit berbahaya selepas mendakwa telah disuntik dengan cecair misteri oleh seorang penjenayah yang meragutnya dalam kejadian di sebuah jejantas di sini 16 Ogos lalu.

Chea Kiat Heong, 17, mendakwa terkena suntikan tersebut ketika sedang menuruni jejantas tersebut selepas membeli kamus di sebuah pusat beli-belah yang terletak berhadapan sekolahnya pukul 9 malam.

Dia yang masih trauma ketika ditemui di Wad 5A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini bagaimanapun enggan ditemu bual.

Bapanya, Chea Tsu Tong, 56, mendakwa selepas meragut dompet anaknya, suspek yang dipercayai penagih dadah itu telah menolak anaknya dari belakang sebelum menyuntik lengan kirinya.

"Dia yang panik telah menghubungi saya untuk dibawa ke hospital. Walaupun doktor masih belum mengenal pasti kandungan sebenar cecair tersebut tetapi kami amat bimbang kerana mungkin alat suntikan yang digunakan telah tercemar," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, laporan awal mendapati mangsa tidak dijangkiti virus berbahaya seperti hepatitis dan HIV.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan ujian darah terhadap mangsa perlu dilakukan semula tiga bulan lagi untuk memastikan mangsa benar-benar bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

No comments:

Post a Comment