Translate

Sunday, August 1, 2010

Dihumban ke dalam perigi selepas dibunuh


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BERUAS - Kecelakaan menimpa Lim Ting Peng, 49, yang ditemui mati selepas lima hari dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Dia dipercayai dibunuh oleh pekerja warga asing yang digajinya di sebuah ladang ternakan ayam dan itik miliknya di Changkat Kruing dekat sini semalam.

Mangsa yang didapati hilang oleh keluarga sejak lewat petang kelmarin ditemui terapung di dalam sebuah perigi di ladang ternakan itu oleh pasukan pencari terdiri daripada polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kira-kira pukul 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kejadian itu disyaki bermotifkan pembunuhan kerana dua pekerja warga negara Myanmar yang baru bekerja di ladang itu sejak setengah bulan lalu menghilangkan diri.

Katanya, polis juga mengesan beberapa tompok darah dipercayai milik Ting Peng di sekitar kawasan pondok di ladang ternakan terbabit.

Beliau berkata, mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam di kepala sebelum dihumbankan ke dalam perigi.

"Sebuah kereta Nissan Fontier milik mangsa turut hilang dipercayai dilarikan oleh dua pekerja ladang ternakan itu.

"Bagaimanapun setakat ini motif kejadian sedang disiasat dan gerakan mencari warga asing terbabit sedang dijalankan," katanya.

Mayat Ting Peng kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dekat sini untuk dibedah siasat.

Isteri mangsa, Ling Mooi Kooi, 47, berkata, suaminya yang juga seorang Ketua MCA cawangan Changkat Kruing didapati tidak pulang ke rumah sejak petang kelmarin.

“Panggilan telefon juga tidak diangkat. Saya yang risau telah membuat laporan polis mengenai kehilangan suami," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia mendakwa, dua pekerja warga Myanmar yang digaji sejak 15 hari lalu pernah meminta untuk meminjam wang RM1,000 dengan suaminya baru-baru ini.

"Setelah perbincangan dibuat, suami saya hanya bersetuju untuk memberi RM500 sahaja tapi tak pasti sama ada duit itu sudah diserahkan atau tidak,” katanya.

No comments:

Post a Comment