Translate

Thursday, July 29, 2010

Penjenayah bekalan lampu suluh, beri RM10

TAIPING - Salah seorang daripada tiga penjenayah yang melarikan dua beradik di dalam kereta Honda Accord yang diletakkan di depan sebuah kedai foto di Jalan Sagor, Kuala Kangsar sempat membekalkan mangsa dengan lampu suluh dan memberikan wang RM10 sebelum dibebaskan.

Bukan itu sahaja, penjenayah terbabit juga dikatakan sempat berbisik dengan mangsa, Nurul Fatin Farhana , 16, mendakwa dia dipaksa melakukan jenayah itu oleh rakan-rakannya.

Mengimbau semula kejadian tersebut, Nurul Fatin Farhana memberitahu, kejadian itu berlaku sangat pantas hingga mereka tidak sempat menjerit meminta tolong.

Katanya, sebelum kejadian dia dan adiknya, Siti Haidar Dzulkafli, 6, berada di tempat duduk belakang.

"Dua lelaki kemudian masuk ke dalam kereta itu lalu duduk di depan manakala seorang lagi duduk di belakang.

"Mereka yang bengis dan garang kemudian mengarahkan kami diam," ceritanya yang masih trauma ketika ditemui semalam.

Tambahnya, sepanjang perjalanan suspek yang berada di belakang cuba memujuk rakan-rakannya supaya membebaskan dua beradik itu.

"Penjenayah itu akhirnya melepaskan kami di sebuah kawasan gelap di Liman Kati. Suspek yang duduk di belakang itu sempat membekalkan kami dengan lampu suluh dan beri wang RM10," kata Nurul Fatin Farhana .

Ujar pelajar tingkatan empat itu, dia dan adiknya kemudian berjalan kaki sejauh lima kilometer untuk sampai di jalan utama sebelum ditemui seorang lelaki berusia 20-an yang memandu sebuah kereta.

"Selepas menceritakan apa yang berlaku, lelaki itu sudi meminjamkan saya telefon bimbitnya untuk saya menghubungi ibu," katanya yang memberitahu sepanjang perjalanan mereka diekori oleh sebuah kereta Proton Waja yang dipandu rakan suspek.

No comments:

Post a Comment