Translate

Thursday, July 29, 2010

Kabel lesap, beribu-ribu terjejas



Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Tindakan beberapa pencuri melarikan kabel tembaga dari Pencawang Pembangunan Utama (PPU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini awal pagi kelmarin menyebabkan lebih 2,000 pelanggan termasuk 1,000 kilang terputus bekalan elektrik selama lebih enam jam.

Kumpulan pencuri itu yang sekadar menggunakan gergaji dan lampu suluh menceroboh kawasan itu dengan memotong pagar di bahagian belakang PPU tersebut.

Sebaik sahaja memotong beberapa set kabel tembaga berharga RM150,000 dan sepanjang 50 meter setiap satu, keseluruhan kawasan seluas beberapa kilometer persegi di sekitar PPU itu bergelap mulai pukul 4 pagi.

Walaupun bekalan disambung semula enam jam kemudian, ada kawasan mengalami gangguan susulan sehinggalah pulih sepenuhnya pukul 7 malam kelmarin.

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Perindustrian Kanthan yang menempatkan lebih 1,000 kilang.

TNB percaya ada suspek melecur terkena percikan api sewaktu mencuri kabel itu.

Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Mohd. Zahir Md. Nagor berkata, siasatan TNB membawa kepada penemuan gergaji yang terbakar dan sedikit mencair.

“Kami harap hospital atau klinik yang menerima pesakit yang melecur menghubungi polis,’’ katanya kepada pemberita di sini semalam.

Zahir percaya perbuatan jenayah ini dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan hampir 20 kepingan batu berat yang menutupi laluan kabel telah dialihkan.

Beliau menjangkakan sektor perkilangan di kawasan terjejas mungkin mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

"Kejadian ini memberi kesan serius kepada operasi kilang memandangkan bekalan hanya dapat disambung semula secara berperingkat-peringkat beberapa jam kemudian," katanya.

PPU itu membekalkan bekalan elektrik kepada 54 pelanggan industri dan 17 pelanggan domestik.

Beliau berkata, ekoran kejadian tersebut, TNB Perak akan mengadkan kawalan keselamatan 24 jam sehari di PPU itu.

No comments:

Post a Comment