Translate

Saturday, July 24, 2010

Jual TV curi RM500

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Tembelang sekumpulan tiga lelaki menjual peralatan elektrik termasuk televisyen paparan cecair kristal (LCD) 42 inci pada harga murah kononnya kerana ia merupakan barang yang terlepas cukai kastam terbongkar apabila mereka didapati menjual barangan curi.

Ia berlaku apabila polis menahan salah seorang anggota kumpulan berkenaan sebaik menerima maklumat daripada orang ramai yang curiga dengan kegiatan mereka pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, ketika serbuan, suspek berusia 28 tahun tersebut sedang asyik melayan 'pelanggan' di sebuah medan ikan bakar di Bidor dekat sini.

Difahamkan, lokasi tersebut merupakan tempat suspek menjual barangan elektrik berkenaan kepada orang ramai.

"Mereka cuba meyakinkan orang ramai bahawa barangan tersebut dijual murah kerana ia terlepas daripada dikenakan cukai oleh kastam.

"Sebuah televisyen LCD 42 inci dijual dengan harga RM500 sahaja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini semalam.

Tambahnya, polis kemudian dapat merampas lima televisyen LCD, dua monitor komputer, dua papan kekunci komputer dan sebuah pemain cakera padat digital (DVD) bernilai kira-kira RM20,000 yang dicuri dari sebuah rumah di Rumah Awam 3, Bidor baru-baru ini.

Menurut Abdullah, polis masih memburu dua lagi rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam lapan kes pecah rumah di sekitar Tapah, Sungkai dan Bidor.

"Modus operandi kumpulan samun ini ialah memecah masuk rumah ketika penghuninya keluar," katanya.

Ekoran itu, polis meminta orang ramai yang mengenali Hishamuddin Mohamad @ Jaja dan Saiful Hamizan Mahamat @ Apoi supaya menghubungi IPD Tapah di talian 05-4015222 atau SMS ke 32128.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment