Translate

Wednesday, July 28, 2010

Jadi tahanan dalam kereta bapa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Dua beradik yang sedang menunggu ibu bapa mereka di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord menghadapi detik cemas apabila ditawan selama dua jam setelah kenderaan itu dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di Kuala Kangsar dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 9.30 malam itu berlaku apabila adik-beradik berkenaan, Nurul Fatin Farhana Dzulkafli, 16, dan Siti Haidar, 6, sedang menunggu ibu bapa mereka yang berurusan di sebuah kedai foto di situ dalam keadaan kereta itu tidak dimatikan enjinnya manakala pintunya pula tidak dikunci.

Difahamkan, mereka dilarikan sejauh 25 kilometer (km) sebelum ditinggalkan di sebuah kawasan gelap di Liman Kati di sini.

Ibu mangsa, Fauziah Shaafie, 44, berkata, beliau dan suaminya, Mejar Dzulkafli Ahmad, 48, singgah ke kedai foto di Jalan Sagor, Kuala Kangsar untuk mengambil gambar yang dirakam sempena majlis minum petang bersama Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Kami meninggalkan anak kedua dan bongsu kami di dalam kereta yang tidak berkunci.

"Selepas 15 minit melihat gambar-gambar berkenaan, suami saya menyedari kereta kami telah tiada. Kami kemudian terus meluru keluar dari kedai itu dan mendapati Nurul Fatin Farhana dan Siti Haidar turut dilarikan," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mewah, Kamunting dekat sini semalam.

Fauziah berkata, suaminya segera menghubungi polis sebelum mereka berdua pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

Beliau berkata, mereka suami isteri akhirnya lega apabila dihubungi anaknya menggunakan telefon bimbit seorang lelaki mengatakan mereka selamat. Ketika ditemui dua beradik itu berjalan kaki dalam keadaan lesu di tepi Jalan Kuala Kangsar-Lenggong dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam.

"Kami lega apabila dapat bertemu semula dengan anak kami. Mereka dihantar oleh seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an ke IPD Kuala Kangsar setengah jam kemudian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, siasatan mendapati mangsa dilarikan oleh empat lelaki termasuk seorang lelaki yang memandu sebuah kereta Proton Waja.

"Tiga suspek keluar memasuki kereta itu lalu melarikan kereta Honda Accord tersebut sementara seorang suspek lagi mengekori dari belakang dengan memandu Proton Waja.

"Tangan Nurul Fatin Farhana cedera ringan akibat digenggam dengan kuat oleh salah seorang suspek sementara dompet yang mengandungi wang RM300, telefon bimbit dan beg tangan milik mangsa turut dirampas," katanya.

Abdul Ghafar berkata, kereta itu ditemui di sebuah kawasan belukar di Rantau Panjang, Kelantan kira-kira 300 kilometer dari tempat kejadian.

Dalam pada itu, di Rantau Panjang, Kelantan, Dzulkafli memberitahu, kereta yang dibeli pada Disember tahun lalu itu ditemui oleh orang ramai di Kampung Tasik pukul 2.30 pagi semalam.

Dzulkafli yang bertugas di 50 Rejimen Askar Jurutera Diraja, Kem Bukit High Gate, Kuala Lumpur memberitahu, dia bergegas ke Balai Polis Pasir Mas sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu.

"Pemeriksaan mendapati beberapa barangan berharga di dalam kereta yang dianggarkan bernilai RM6,000 telah lesap," katanya.

No comments:

Post a Comment