Translate

Sunday, July 4, 2010

Atasi kemiskinan untuk kurangkan krisis moral

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, krisis moral termasuk pembuangan bayi dan kelahiran anak luar nikah yang semakin menjadi-jadi dapat dikurangkan dengan berkesan sekiranya masalah kemiskinan ditangani dengan lebih efektif.

Baginda yang juga selaku Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) bertitah, formula penyelesaian krisis moral masa kini yang lebih bercorak struktural dan birokrasi telah gagal biar pun memakan belanja yang besar.

"Kediaman golongan miskin bandar bagaikan sarang merpati dengan tidak dilengkapi kemudahan riadah dan aktiviti sosial bagi remaja melepaskan tekanan.

" Kemiskinan ekonomi telah mencetuskan kemiskinan budaya, nilai dan moral di kalangan anggota masyarakat yang sentiasa tertekan. Kerana itu kemiskinan wajib diperangi dan ditangani secara berkesan," titah baginda pada Persidangan MAIAMP ke-172 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.

Turut hadir ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMP, Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Sehubungan itu, Raja Nazrin mahu penyelidikan tentang pengagihan zakat yang lebih baik dibuat agar ia dapat memberi impak berkesan terhadap usaha mengatasi kemiskinan .

"Cara pengagihan zakat sekarang yang lebih berbentuk adhoc mungkin tidak lagi sesuai bagi menangani cabaran kemiskinan masa kini.

"Data perlu sentiasa dikemas kini, program berimpak tinggi harus sentiasa dikenal pasti, menyelaras program dengan pelbagai agensi negeri dan persekutuan, memantau keberkesanan agihan zakat secara berkala dan melakukan bedah siasat untuk pembetulan," titah baginda.

Baginda turut menyatakan dukacita dengan trend kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi yang semakin tidak terkawal.

No comments:

Post a Comment