Translate

Saturday, July 31, 2010

44 GRO warga Vietnam dicekup di Manjung

IPOH - Seramai 44 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga negara Vietnam di cekup ketika sedang leka melayan pelanggan dalam Ops. Noda yang dilancarkan di Manjung dari sini pada Ahad dan Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzu raidi Ibrahim berkata, semua wanita Vietnam berusia antara 17 hingga 24 tahun itu ditahan dalam serbuan yang diadakan di dua pusat karaoke berasingan di daerah tersebut.

Menurut beliau, salah satu pusat karaoke yang diserbu terbabit juga didapati beroperasi secara haram tanpa lesen hiburan sah.

“Semasa serbuan dijalankan, semua GRO terlibat dari dua pusat karaoke berdekatan itu bertindak melarikan diri dari bilik-bilik karaoke dan ada yang cuba bersembunyi di dalam bilik air. Namun usaha mereka untuk meloloskan diri tidak berjaya ekoran kepantasan polis,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Dzuraidi berkata, pemeriksaan polis mendapati semua 44 GRO terbabit menyalahguna pas lawatan manakala lima daripadanya pula tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Bunuh: Suami isteri dibebas


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Sepasang suami isteri dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang sebelum ini didakwa sebagai 'kekasih gelap' kepada si isteri dalam kejadian tujuh tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Dr. Hassan Ab. Rahman memerintahkan Mohd. Khoharuddin Ismail, 48, dan isterinya, Siti Sabariah Ahamad, 44, dibebaskan daripada tuduhan membunuh Mohd. Yusof Ismail, 32, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati keterangan ikut keadaan dan keterangan saksi utama Nordin Yusof, 54, yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa si mati telah dibunuh oleh kedua-dua tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang berasal dari Kulim, Kedah didakwa membunuh Mohd. Yusof di Kilometer 20, Jalan Lepang Nenering, Kampung Lalang, Gerik dekat sini pada pukul 4 pagi 1 Februari 2003.

Mohd. Yusof yang dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan Siti Sabariah, isteri pertama tertuduh, ditemui dalam keadaan tenat dengan hampir 70 peratus badannya terbakar oleh penduduk kampung di tepi jalan.

Bagaimanapun, lelaki itu mati selepas 10 hari menerima rawatan di Hospital Besar Alor Setar.

Mohd. Khoharuddin merupakan Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Kulim manakala Siti Sabariah merupakan setiausaha sebuah syarikat pembinaan di Kulim.

Pasangan itu dituduh di bawah Seksyen 302 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, keputusan pembebasan Mohd. Khoharuddin dan Siti Sabariah disambut penuh kesyukuran oleh sanak keluarga mereka tersebut termasuk anak bongsu pasangan itu, Luqman Haqeem,10, dan isteri kedua tertuduh pertama, Che Sham Ishak, 46.

"Syukur ini rezeki bulan Syaaban, bulan Allah," kata Mohd. Khoharuddin.

Thursday, July 29, 2010

Mesin rosak, pekerja balik awal, syarikat rugi besar

IPOH - Gangguan bekalan elektrik akibat kecurian kabel dekat Taman Perindustrian Kanthan, Chemor dekat sini kelmarin menyebabkan ramai pengguna mengeluh.

Sebuah kilang menghasilkan produk kayu, Ivory Pearl Sdn. Bhd. (Ivory Pearl) kerugian puluhan ribu ringgit gara-gara gangguan bekalan elektrik tersebut.

Pengurus Ivory Pearl, Chin Kum Yoke, 49, berkata, kejadian tersebut turut merosakkan beberapa mesin yang pada waktu itu sedang beroperasi.

“Kami juga terpaksa mengarahkan lebih 200 pekerja balik awal sebab operasi sudah terhenti," katanya ketika ditemui semalam.

Kum Yoke bimbang produktiviti kilang itu terjejas sedangkan pihaknya sudah menerima banyak tempahan daripada pelanggan pada bulan ini.

Seorang penduduk, Sun Yoke Kuan berharap Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil iktibar daripada kejadian tersebut yang telah menyusahkan masyarakat setempat.

"Perbuatan mencuri kabel ini memang tidak bertanggungjawab.

"Masanya sudah sampai untuk TNB menggaji pengawal keselamatan untuk menjaga pencawang mereka sepanjang masa," katanya.

Penjual burger, Mohd. Rassol Yusri pula mengeluh kekurangan pelanggan sewaktu terputus bekalan elektrik.

“Saya terpaksa pakai lilin. Biasanya saya mampu jual kira-kira 100 biji burger tapi pada malam semalam (kelmarin) cuma 60 biji dijual,” katanya yang berniaga sehingga awal pagi setiap hari.

Kabel lesap, beribu-ribu terjejas



Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Tindakan beberapa pencuri melarikan kabel tembaga dari Pencawang Pembangunan Utama (PPU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini awal pagi kelmarin menyebabkan lebih 2,000 pelanggan termasuk 1,000 kilang terputus bekalan elektrik selama lebih enam jam.

Kumpulan pencuri itu yang sekadar menggunakan gergaji dan lampu suluh menceroboh kawasan itu dengan memotong pagar di bahagian belakang PPU tersebut.

Sebaik sahaja memotong beberapa set kabel tembaga berharga RM150,000 dan sepanjang 50 meter setiap satu, keseluruhan kawasan seluas beberapa kilometer persegi di sekitar PPU itu bergelap mulai pukul 4 pagi.

Walaupun bekalan disambung semula enam jam kemudian, ada kawasan mengalami gangguan susulan sehinggalah pulih sepenuhnya pukul 7 malam kelmarin.

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Perindustrian Kanthan yang menempatkan lebih 1,000 kilang.

TNB percaya ada suspek melecur terkena percikan api sewaktu mencuri kabel itu.

Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Mohd. Zahir Md. Nagor berkata, siasatan TNB membawa kepada penemuan gergaji yang terbakar dan sedikit mencair.

“Kami harap hospital atau klinik yang menerima pesakit yang melecur menghubungi polis,’’ katanya kepada pemberita di sini semalam.

Zahir percaya perbuatan jenayah ini dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan hampir 20 kepingan batu berat yang menutupi laluan kabel telah dialihkan.

Beliau menjangkakan sektor perkilangan di kawasan terjejas mungkin mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

"Kejadian ini memberi kesan serius kepada operasi kilang memandangkan bekalan hanya dapat disambung semula secara berperingkat-peringkat beberapa jam kemudian," katanya.

PPU itu membekalkan bekalan elektrik kepada 54 pelanggan industri dan 17 pelanggan domestik.

Beliau berkata, ekoran kejadian tersebut, TNB Perak akan mengadkan kawalan keselamatan 24 jam sehari di PPU itu.

Penjenayah bekalan lampu suluh, beri RM10

TAIPING - Salah seorang daripada tiga penjenayah yang melarikan dua beradik di dalam kereta Honda Accord yang diletakkan di depan sebuah kedai foto di Jalan Sagor, Kuala Kangsar sempat membekalkan mangsa dengan lampu suluh dan memberikan wang RM10 sebelum dibebaskan.

Bukan itu sahaja, penjenayah terbabit juga dikatakan sempat berbisik dengan mangsa, Nurul Fatin Farhana , 16, mendakwa dia dipaksa melakukan jenayah itu oleh rakan-rakannya.

Mengimbau semula kejadian tersebut, Nurul Fatin Farhana memberitahu, kejadian itu berlaku sangat pantas hingga mereka tidak sempat menjerit meminta tolong.

Katanya, sebelum kejadian dia dan adiknya, Siti Haidar Dzulkafli, 6, berada di tempat duduk belakang.

"Dua lelaki kemudian masuk ke dalam kereta itu lalu duduk di depan manakala seorang lagi duduk di belakang.

"Mereka yang bengis dan garang kemudian mengarahkan kami diam," ceritanya yang masih trauma ketika ditemui semalam.

Tambahnya, sepanjang perjalanan suspek yang berada di belakang cuba memujuk rakan-rakannya supaya membebaskan dua beradik itu.

"Penjenayah itu akhirnya melepaskan kami di sebuah kawasan gelap di Liman Kati. Suspek yang duduk di belakang itu sempat membekalkan kami dengan lampu suluh dan beri wang RM10," kata Nurul Fatin Farhana .

Ujar pelajar tingkatan empat itu, dia dan adiknya kemudian berjalan kaki sejauh lima kilometer untuk sampai di jalan utama sebelum ditemui seorang lelaki berusia 20-an yang memandu sebuah kereta.

"Selepas menceritakan apa yang berlaku, lelaki itu sudi meminjamkan saya telefon bimbitnya untuk saya menghubungi ibu," katanya yang memberitahu sepanjang perjalanan mereka diekori oleh sebuah kereta Proton Waja yang dipandu rakan suspek.

Wednesday, July 28, 2010

Jadi tahanan dalam kereta bapa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Dua beradik yang sedang menunggu ibu bapa mereka di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord menghadapi detik cemas apabila ditawan selama dua jam setelah kenderaan itu dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di Kuala Kangsar dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 9.30 malam itu berlaku apabila adik-beradik berkenaan, Nurul Fatin Farhana Dzulkafli, 16, dan Siti Haidar, 6, sedang menunggu ibu bapa mereka yang berurusan di sebuah kedai foto di situ dalam keadaan kereta itu tidak dimatikan enjinnya manakala pintunya pula tidak dikunci.

Difahamkan, mereka dilarikan sejauh 25 kilometer (km) sebelum ditinggalkan di sebuah kawasan gelap di Liman Kati di sini.

Ibu mangsa, Fauziah Shaafie, 44, berkata, beliau dan suaminya, Mejar Dzulkafli Ahmad, 48, singgah ke kedai foto di Jalan Sagor, Kuala Kangsar untuk mengambil gambar yang dirakam sempena majlis minum petang bersama Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Kami meninggalkan anak kedua dan bongsu kami di dalam kereta yang tidak berkunci.

"Selepas 15 minit melihat gambar-gambar berkenaan, suami saya menyedari kereta kami telah tiada. Kami kemudian terus meluru keluar dari kedai itu dan mendapati Nurul Fatin Farhana dan Siti Haidar turut dilarikan," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mewah, Kamunting dekat sini semalam.

Fauziah berkata, suaminya segera menghubungi polis sebelum mereka berdua pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

Beliau berkata, mereka suami isteri akhirnya lega apabila dihubungi anaknya menggunakan telefon bimbit seorang lelaki mengatakan mereka selamat. Ketika ditemui dua beradik itu berjalan kaki dalam keadaan lesu di tepi Jalan Kuala Kangsar-Lenggong dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam.

"Kami lega apabila dapat bertemu semula dengan anak kami. Mereka dihantar oleh seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an ke IPD Kuala Kangsar setengah jam kemudian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, siasatan mendapati mangsa dilarikan oleh empat lelaki termasuk seorang lelaki yang memandu sebuah kereta Proton Waja.

"Tiga suspek keluar memasuki kereta itu lalu melarikan kereta Honda Accord tersebut sementara seorang suspek lagi mengekori dari belakang dengan memandu Proton Waja.

"Tangan Nurul Fatin Farhana cedera ringan akibat digenggam dengan kuat oleh salah seorang suspek sementara dompet yang mengandungi wang RM300, telefon bimbit dan beg tangan milik mangsa turut dirampas," katanya.

Abdul Ghafar berkata, kereta itu ditemui di sebuah kawasan belukar di Rantau Panjang, Kelantan kira-kira 300 kilometer dari tempat kejadian.

Dalam pada itu, di Rantau Panjang, Kelantan, Dzulkafli memberitahu, kereta yang dibeli pada Disember tahun lalu itu ditemui oleh orang ramai di Kampung Tasik pukul 2.30 pagi semalam.

Dzulkafli yang bertugas di 50 Rejimen Askar Jurutera Diraja, Kem Bukit High Gate, Kuala Lumpur memberitahu, dia bergegas ke Balai Polis Pasir Mas sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu.

"Pemeriksaan mendapati beberapa barangan berharga di dalam kereta yang dianggarkan bernilai RM6,000 telah lesap," katanya.

101 murid jadi anak angkat MB

BERTUAH. Seramai 101 murid dari keluarga miskin di Perak diambil menjadi anak angkat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Ipoh, baru-baru ini.

Zambry berkata, program anak angkat itu merupakan inisiatif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUBR) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Perak bagi membantu kanak-kanak tersebut berjaya dalam akademik.

Beliau berkata, ia lanjutan daripada tindakan menyeluruh kerajaan negeri sebelum ini bagi membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.

"Sebenarnya seramai 2,000 kanak-kanak pelbagai kaum termasuk Orang Asli dari seluruh Perak terlibat dalam program ini dan saya mengambil 101 daripadanya.

"Perkembangan semua anak angkat saya ini akan dipantau agar kebolehan mereka terserlah dan potensi mereka dapat dikembangkan," katanya.

Penduduk Chemor dapat Stadium 1Malaysia

KEMUDAHAN. Impian penduduk Chemor, Perak untuk mempunyai sebuah stadium mini bagi kegunaan beriadah dan bersukan akhirnya menjadi kenyataan baru-baru ini.

Stadium yang dinamakan Stadium Mini 1Malaysia itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II berkata, pembinaan stadium mini itu dengan kos hampir RM892,000 merupakan sebahagian agenda merancakkan pembangunan di kawasan berkenaan.

"Sebuah perpustakaan bernilai kira-kira RM450,000 bagi kemudahan penduduk setempat terutama golongan pelajar juga akan dibina di atas tanah seluas kira-kira 0.3 hektar dalam masa terdekat," katanya.

Saturday, July 24, 2010

Jual TV curi RM500

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Tembelang sekumpulan tiga lelaki menjual peralatan elektrik termasuk televisyen paparan cecair kristal (LCD) 42 inci pada harga murah kononnya kerana ia merupakan barang yang terlepas cukai kastam terbongkar apabila mereka didapati menjual barangan curi.

Ia berlaku apabila polis menahan salah seorang anggota kumpulan berkenaan sebaik menerima maklumat daripada orang ramai yang curiga dengan kegiatan mereka pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, ketika serbuan, suspek berusia 28 tahun tersebut sedang asyik melayan 'pelanggan' di sebuah medan ikan bakar di Bidor dekat sini.

Difahamkan, lokasi tersebut merupakan tempat suspek menjual barangan elektrik berkenaan kepada orang ramai.

"Mereka cuba meyakinkan orang ramai bahawa barangan tersebut dijual murah kerana ia terlepas daripada dikenakan cukai oleh kastam.

"Sebuah televisyen LCD 42 inci dijual dengan harga RM500 sahaja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini semalam.

Tambahnya, polis kemudian dapat merampas lima televisyen LCD, dua monitor komputer, dua papan kekunci komputer dan sebuah pemain cakera padat digital (DVD) bernilai kira-kira RM20,000 yang dicuri dari sebuah rumah di Rumah Awam 3, Bidor baru-baru ini.

Menurut Abdullah, polis masih memburu dua lagi rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam lapan kes pecah rumah di sekitar Tapah, Sungkai dan Bidor.

"Modus operandi kumpulan samun ini ialah memecah masuk rumah ketika penghuninya keluar," katanya.

Ekoran itu, polis meminta orang ramai yang mengenali Hishamuddin Mohamad @ Jaja dan Saiful Hamizan Mahamat @ Apoi supaya menghubungi IPD Tapah di talian 05-4015222 atau SMS ke 32128.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Budak sekolah mencuri dicekup

TAPAH - Lima pelajar sebuah sekolah menengah di Besout, Sungkai dekat sini ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri dan meleraikan motosikal baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah , Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, kesemua pelajar tingkatan lima terbabit disyaki terlibat dalam sekurang-kurang tiga kes curi motosikal di sekitar Bidor, Kampar dan Ipoh.

Beliau berkata, kegiatan mereka terbongkar apabila sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan telah terserempak dengan dua remaja yang menunggang motosikal Honda EX5 curi dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persatuan, Bidor dekat sini pukul 9.30 malam 15 Julai lalu.

"Mereka kemudian bertindak melarikan diri namun salah seorang daripada mereka dapat ditangkap di hadapan sebuah kedai serbaneka di situ.

"Kita turut menjumpai sebatang kunci berbentuk L yang digunakan untuk mencuri motosikal di dalam poket seluar suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini semalam.

Abdullah memberitahu, remaja berusia 17 tahun yang melarikan diri itu akhirnya berjaya diberkas di kawasan kediamannya di Besout beberapa hari kemudian.

Beliau berkata, turut ditahan ialah tiga rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal .

"Dua daripada lima remaja yang ditahan pernah ditangkap sebelum ini kerana disyaki terlibat dalam kes mencuri motosikal di sekitar Tanjung Malim dan Teluk Intan.

"Polis juga merampas sebuah enjin dan sebuah rangka motosikal yang telah dikikis nombor enjin dan casisnya," katanya.

Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan curi motosikal tersebut telah beroperasi sejak sebulan lalu dan hanya menyasarkan motosikal Honda EX5 untuk dicuri. Mereka kemudian akan meleraikan komponennya sebelum dijual kepada rakan-rakan.

Thursday, July 15, 2010

Latihan maut di lapang sasar

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KAMPAR - Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas sebiji bom lama yang cuba dimusnahkan dalam satu sesi latihan di Lapang Sasar Menembak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini tiba-tiba meletup petang semalam.

Tiga anggota yang turut berada di kawasan letupan berkenaan mengalami kecederaan ringan namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, Sarjan Saidin Mohd. Dom dari cawangan persenjataan IPD Taiping cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kampar.

Difahamkan, bom tersebut tiba-tiba meletup ketika kelima-lima anggota terlibat sedang membuat pemeriksaan selepas bom itu gagal diletupkan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusoff, mangsa merupakan sebahagian daripada 40 anggota polis seluruh negeri ini yang menyertai Latihan Dalam Perkhidmatan Kursus Pemusnahan Bom yang dijalankan bermula pukul 8.30 pagi semalam.

Katanya, empat anggota yang cedera ialah Sarjan Saat Salleh dari IPD Larut Matang dan Selama, Sarjan Zulkifli Ijum (IPD Ipoh), Lans Korporal Mohd. Nor Firdaus (lbu Pejabat Kontinjen Polis Perak) dan Korporal Kamarudin Ismail (Pasukan Simpanan Persekutuan Sungai Senam, Ipoh).

"Sarjan Saat yang parah telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan keadaannya stabil.

"Manakala tiga yang lain menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kampar dan dibenarkan pulang," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Kampar di sini malam tadi.

Kesemua mereka yang menyertai latihan selama sehari itu berusia dalam lingkungan 50-an.

Zakaria menambah, sebaik sahaja kejadian berlaku, kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kampar tetapi seorang daripada mereka meninggal dunia sejam kemudian.

Sementara itu, jenazah Saidin yang dibawa menaiki kenderaan polis tiba di HRPB pukul 8.30 malam dan dibawa ke bilik mayat untuk bedah siasat.

Wanita dirogol, dibunuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang wanita menjadi mangsa jenayah kejam apabila dia bukan sahaja dipercayai dirogol malah dibunuh sebelum mayatnya dicampak dan dibakar di tepi Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan Perak-Pahang kira-kira 80 kilometer dari sini semalam.

Wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang masih belum diketahui identitinya itu ditemui dengan hampir 80 peratus tubuhnya terbakar. Dia dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 8 pagi.

Difahamkan, selain menjumpai cebisan pakaian seperti coli dan seluar jean milik mangsa berhampiran kawasan kejadian, polis turut menemui beberapa titisan minyak diesel yang dipercayai digunakan untuk membakar mayat mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya mengambil masa selama 40 minit untuk tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Perak-Pahang.

"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dan dibakar di situ kerana pemeriksaan awal mendapati hampir seluruh tubuh mangsa hangus terutama pada alat sulitnya.

"Penjenayah bertindak demikian untuk menghapuskan bukti tetapi kita perlu menunggu laporan forensik bagi menentukan kesahihannya," katanya kepada pemberita semalam.

Tambahnya, siasatan awal mendapati mayat mangsa baru sahaja dicampak dan dibakar di situ pagi semalam.

Menurut Azisman, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri tetapi mangsa memakai sebentuk cincin pada jari kaki kirinya.

" Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan saudara-mara atau kenalan supaya tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Tuesday, July 13, 2010

Kereta Peugeot Sedan Segmen C bakal dikeluarkan kilang di Gurun

IPOH - Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) yang merupakan pengedar rasmi model kereta Peugeot bakal mengeluarkan kenderaan terbaru jenama tersebut bagi Sedan segmen C.

Ketua Pegawai Eksekutif Nasim Sdn. Bhd. (Nasim), SM Nasaruddin SM Nasimuddin berkata, segmen tersebut dijangka berada di pasaran tempatan pada akhir tahun 2011.

“Segmen sedan yang akan dikeluarkan dalam dua model enjin iaitu 2 liter dan 1.6 liter itu akan dipasang di kilang milik kami di Gurun, Kedah.

“Ia bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi 40 peratus daripada pengeluarannya disasarkan untuk dieksport ke Asia dan Afrika,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Peugeot bagi pengeluaran model tersebut di sini semalam.

Peugeot diwakili Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Antarabangsa Peugeot Automobil, Jean-Philippe Imparato di sini semalam.

SM Nasaruddin berkata, keputusan untuk mengeluarkan segmen baru kereta Peugeot itu membuktikan pengeluar kenderaan dari Perancis itu berkeyakinan terhadap kemampuan Malaysia sebagai hab pembuatan kenderaan untuk pasaran serantau.

Sementara itu, beliau menjelaskan bagi enam bulan pertama tahun ini, Nasim telah berjaya menjual sebanyak 1,200 kereta jenama Peugeot pelbagai model di pasaran tempatan.

Menurut beliau, model 3008 kenderaan utiliti sukan (SUV)Peugeot yang baru dilancarkan bulan lalu juga semakin mendapat sambutan hangat dengan lebih 400 tempahan telah diterima setakat ini.

Dalam pada itu, SM Nasaruddin turut melancarkan Pusat Pameran Kenderaan Peugeot cawangan Perak yang dikenali sebagai ‘Kotak Biru’ di Jalan Tun Abdul Razak di sini.

Menurutnya, pusat pameran yang dibina dengan kos kira-kira RM1.5 juta itu menyediakan perkhidmatan jualan, selepas jualan dan alat ganti kenderaan Peugeot di bawah satu bumbung dengan menawarkan keselesaan ruang serta mesra pelanggan.

Monday, July 12, 2010

Virgo Batik Resort pilihan baru pelancong


MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

LUMUT - Virgo Batik Resort menjadi pilihan terbaru kepada pelancong yang mengunjungi bandar tentera laut, pelancongan dan maritim di sini untuk untuk menginap dalam suasana tenang dan selesa.

Pegawai Perhubungan Awam Virgo Batik Resort, Nor Has linda Zakaria berkata, resort yang terletak di Teluk Batik di sini itu dikelilingi dengan bukit-bakau dan berhadapan dengan pantai.

“Kedudukannya amat strategik iaitu kira-kira 300 meter dari Pantai Teluk Batik dan lebih kurang enam kilometer dari bandar Lumut.

“Ia juga tidak jauh dari Terminal Jeti Lumut yang me nyediakan perkhidmatan feri ke Pulau Pangkor,” katanya ke pada Kosmo! baru-baru ini.

Nor Haslinda berkata, Virgo Batik Resort menyediakan 90 unit bilik penginapan pelbagai jenis dari kadar semurah RM120.

Beliau berkata, resort yang baru dibuka kira-kira tiga bulan lalu itu mempunyai pelbagai fasiliti seperti dewan makan, kolam renang, padang permainan dan akses Internet.

“Terdapat juga tiga dewan serta bilik seminar yang boleh memuatkan sehingga 200 orang dalam satu-satu masa.

“Virgo Batik Resort sesuai untuk aktiviti kekeluargaan, seminar, kem motivasi dan penganjuran kem motivasi,” katanya.

Bagi makluman lanjut mengenai resort tersebut, sila hubungi talian 05-6838334, 05-6835334, 05-6836334.

Sunday, July 11, 2010

Dua beradik maut dirempuh treler


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Hasrat seorang abang untuk membantu adiknya yang terlibat dalam kemalangan berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka maut dirempuh treler di Kilometer 272.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gunung Lang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari itu, Tan Ban Sheng, 33, dan adiknya Tan Woan Yin, 24, masing-masing dari Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah maut dalam keadaan mengerikan apabila badan mereka putus dan terperosok di bawah treler berkenaan.

Kawasan kemalangan terbabit di laluan terus Simpang Pulai-Pulau Pinang itu merupakan lokasi sama kemalangan maut melibatkan sebuah bas ekspres yang meragut 10 nyawa pada 26 Disember tahun lalu.

Ketua Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rajab berkata, sebelum kejadian, kira-kira 9.30 pagi, kenderaan Proton Saga berwarna putih dinaiki Woan Yin dipercayai dalam perjalanan ke Alor Setar dari arah selatan itu terbabas.

Beliau berkata, kenderaan yang dipandu teman lelaki mangsa, Eng Kok Neo, 32, itu melanggar pembahagi jalan menyebabkan bahagian depan Proton Saga itu remuk.

"Akibat kemalangan pertama itu, kaki kanan Kok Neo patah dan dia dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

"Pihak polis menasihatkan Woan Yin untuk membuat laporan polis dan menarik kenderaan terbabit ke bengkel dengan bantuan kereta tunda yang sedia menunggu tetapi dia enggan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Rodzi berkata, mangsa memberi alasan mahu menunggu abangnya, Ban Sheng bagi membantu dia membawa keluar barangan peribadi miliknya yang sarat di dalam but kereta Proton Saga tersebut.

Beliau berkata, Bang Sheng dari Sungai Petani tiba di tempat kejadian kira-kira 11.40 pagi dengan memandu kereta Proton Iswara berwarna hitam dan meletakkan kenderaannya di hadapan kereta Proton Saga tersebut.

"Sedang Woan Yin dan abangnya memunggah barangan dari dalam but kereta tiba-tiba datang sebuah treler yang sarat dengan muatan dari arah belakang.

"Pemandu treler gagal mengelak lalu merempuh mereka berdua dan kedua-dua kenderaan terbabit menyebabkan kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian," katanya.

Saturday, July 10, 2010

Empat ceti cekik darah ditahan di apartmen

IPOH - Empat ah long termasuk dua ah long wanita yang selama ini hidup senang-lenang mengaut keuntungan melebihi RM150,000 sebulan tumpas apabila polsi menyerbu sebuah apartmen di Tambun di sini Isnin lalu.

Semasa serbuan pada pukul 9.30 malam, keempat-mepat suspek yang berusia 20 hingga 25 tahun itu sedang leka memunggah 800 plastik pemidang yang dipercayai untuk dipasang di seluruh bandar raya ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, turut dirampas dalam serbuan di rumah tersebut ialah 74 salinan kad pengenalan peminjam wang, wang tunai berjumlah RM5,802 dan enam buah telefon bimbit.

"Polis turut menjumpai 12 keping slip deposit wang, 11 buku catatan rekod pinjaman wang, enam buku bank dan dua fail yang mempunyai senarai nama peminjam wang.

"Sindiket ini dipercayai telah menjalankan kegiatan meminjam wang di bandar raya ini sejak Februari 2009 dengan memberi pinjaman menggenakan kadar bunga tinggi sehingga 120 peratus sebulan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan mendapati ah long-ah long terbabit mampu mengutip sekurang-kurangnya RM150,000 sebulan daripada semua peminjamnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua suspek yang berasal dari Tangkak, Johor itu tiada rekod jenayah.

Zulkifli memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Pemberi Pinjaman Wang 2003 yang membawa hukuman denda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Thursday, July 8, 2010

Taklimat ICT tawar peluang kerja

IPOH - Kerajaan negeri menerusi K- Perak Technobiz Corporation Sdn. Bhd. (K- Perak ) akan menganjurkan Taklimat Keusahawanan Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT) Mahasiswa Perak pada 11 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif K- Perak , Prof. Madya Dr. Ahmad Kamil Mahmood berkata, program anjuran bersama Kesatuan Anak-Anak Muda Islam Perak (Kami) itu bakal diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Taiping.

"Seramai 300 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) kelahiran Perak dari seluruh negara disasar untuk menyertai taklimat yang akan dirasmikan Menteri Besar Perak , Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

"Objektif penganjurannya ialah untuk mendedahkan peserta tentang peluang kerja yang luas sebagai usahawan ICT yang menjanjikan masa depan cerah," katanya pada sidang akhbar berhubung taklimat tersebut di sini baru-baru ini.

Tuesday, July 6, 2010

Biomass-SP cari IKS industri biojisim

IPOH - Agensi kerjasama ekonomi serantau yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU), Biomass-SP sedang mengenal pasti 50 pemain industri kecil dan sederhana (IKS) berpotensi seluruh negara untuk terlibat dalam industri biojisim.

Penasihat Teknikal Biomass-SP, Datuk Leong Kin Mun berkata, IKS terpilih akan terlibat dalam usaha pengkomersialan biojisim untuk pasaran antarabangsa terutamanya Eropah, Jepun dan Korea Selatan.

"Biomass-SP diberi peranan oleh EU untuk membangunkan potensi IKS tempatan agar lebih kompetitif menyumbang dalam pembangunan lestari dan usaha mengurangkan perubahan cuaca melalui industri biojisim.

"Industri terbabit bukan sahaja mempunyai pasaran besar terutamanya di Eropah malah ia selaras dengan inisiatif Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Model Baru Ekonomi (MBE)," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kin Mun berkata, beberapa kriteria seperti rekod perniagaan, pengiktirafan kerajaan dan pelan perniagaan tersusun akan diambil kira dalam pemilihan IKS terlibat dalam projek berkenaan.

Beliau berkata, 50 IKS terpilih bakal menerima khidmat runding teknikal secara percuma seperti penyediaan pengiraan pelepasan karbon, mekanisme pembangunan bersih, nota idea projek dan dokumen pembangunan projek.

"IKS terbabit akan dibantu untuk mendapatkan permohonan geran kerajaan, pinjaman faedah rendah, insentif pelaburan dan modal teroka.

"Biomass-SP juga akan membantu mencari kerjasama perniagaan dan teknologi dengan firma Eropah dan pengkomersialan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dengan institusi pengajian tinggi serta agensi penyelidikan tempatan," katanya.

Selain itu, Kin Mun memberi jaminan IKS yang terpilih juga akan dibimbing bagi mengakses peluang pasaran mengikut spesifikasi dan syarat perolehan hijau.

Sehubungan itu, beliau berkata, IKS yang berminat digalak menghadiri sesi taklimat projek Biomass -SP yang akan diadakan di beberapa lokasi seperti Perak, Pahang, Kedah dan Johor dari 22 Julai hingga 9 Ogos depan.

Untuk makluman lanjut dan pendaftaran secara percuma, sila hubungi Sekretariat Biomass -SP di talian 03-88848882, e-mel info@ biomass -sp.net atau melayari laman web http://www. biomass - sp.net.

Sunday, July 4, 2010

Atasi kemiskinan untuk kurangkan krisis moral

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, krisis moral termasuk pembuangan bayi dan kelahiran anak luar nikah yang semakin menjadi-jadi dapat dikurangkan dengan berkesan sekiranya masalah kemiskinan ditangani dengan lebih efektif.

Baginda yang juga selaku Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) bertitah, formula penyelesaian krisis moral masa kini yang lebih bercorak struktural dan birokrasi telah gagal biar pun memakan belanja yang besar.

"Kediaman golongan miskin bandar bagaikan sarang merpati dengan tidak dilengkapi kemudahan riadah dan aktiviti sosial bagi remaja melepaskan tekanan.

" Kemiskinan ekonomi telah mencetuskan kemiskinan budaya, nilai dan moral di kalangan anggota masyarakat yang sentiasa tertekan. Kerana itu kemiskinan wajib diperangi dan ditangani secara berkesan," titah baginda pada Persidangan MAIAMP ke-172 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.

Turut hadir ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMP, Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Sehubungan itu, Raja Nazrin mahu penyelidikan tentang pengagihan zakat yang lebih baik dibuat agar ia dapat memberi impak berkesan terhadap usaha mengatasi kemiskinan .

"Cara pengagihan zakat sekarang yang lebih berbentuk adhoc mungkin tidak lagi sesuai bagi menangani cabaran kemiskinan masa kini.

"Data perlu sentiasa dikemas kini, program berimpak tinggi harus sentiasa dikenal pasti, menyelaras program dengan pelbagai agensi negeri dan persekutuan, memantau keberkesanan agihan zakat secara berkala dan melakukan bedah siasat untuk pembetulan," titah baginda.

Baginda turut menyatakan dukacita dengan trend kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi yang semakin tidak terkawal.