Translate

Thursday, June 24, 2010

NGV Tech labur RM620 juta

Limbungan kapal antara terbesar di dunia di muara Sungai Perak

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BAGAN DATOH - Sebuah limbungan kapal yang dipercayai antara terbesar di dunia akan dibina di muara Sungai Perak di sini oleh syarikat pembuatan kapal tempatan, NGV Tech Sdn. Bhd. ( NGV Tech ).

Pengerusi Eksekutif NGV Tech , Zulkifli Shariff berkata, pembinaan limbungan kapal yang menelan kos kira-kira RM620 juta itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2013.

Menurutnya, fasa pertama projek tersebut diunjurkan menelan belanja sebanyak RM220 juta manakala fasa keduanya pula ialah sebanyak RM400 juta.

"Limbungan baru ini bersesuaian untuk membuat kapal laut buatan besi bersaiz besar dan ia merangkumi limbungan dry dock bagi upacara 'pecah kapal'.

"Muara Sungai Perak di sini pula dipilih kerana kedudukan yang strategik berhampiran Selat Melaka serta saiznya yang luas dan dalam amat bersesuaian untuk pembinaan limbungan kapal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran projek pembinaan limbungan kapal NGV Tech yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Zulkifli berkata, selain membina kapal-kapal baru, limbungan tersebut disasarkan untuk menawarkan perkhidmatan membaik pulih kapal terutamanya kapal dagang antarabangsa yang sering melalui Selat Melaka.

Menurutnya, melalui kadar caj penyelenggaraan yang ditawarkan lebih kompetitif berbanding Singapura, maka lebih banyak kapal bakal menggunakan perkhidmatan limbungan tersebut.

Selain itu,NGV Tech yakin melalui projek berkenaan, ia bakal mengubah landskap dan menjana ekonomi daerah ini memandangkan projek berskala besar itu akan menawarkan sekurang-kurang 5,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

NGV Tech berpengalaman luas membina kapal-kapal pesisir pantai terutamanya untuk kegunaan industri petroleum dan 80 peratus daripada untuk pasaran antarabangsa.

Syarikat pembuatan kapal itu juga mempunyai limbungan kapal di Sijangkang, Selangor bagi pembuatan kapal laut daripada keluli dan aluminium sejak 2005.


No comments:

Post a Comment