Translate

Friday, June 18, 2010

Lima sindiket bookie judi Piala Dunia tumpas


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Lima sindiket bookie judi bola sepak Piala Dunia Afrika Selatan 2010 yang beroperasi di bandar raya ini dan Taiping dengan nilai pertaruhan sehingga RM5 juta sejak seminggu lalu tumpas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Zulkifli Hassan berkata, dalam operasi yang bermula 10 malam kelmarin itu, seramai lima lelaki berusia 25 hingga 43 tahun diberkas di lima premis berlainan.

"Semua suspek terbabit daripada lima sindiket bookie judi bola sepak berlainan ditahan ketika sedang leka menerima pertaruhan secara dalam talian.

"Empat sindiket bookie judi Piala Dunia tersebut beroperasi di Ipoh, manakala satu lagi di Taiping. Jumlah pertaruhan diterima dianggarkan antara RM2 juta hingga RM5 juta bagi setiap perlawanan," katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Zulkifli berkata, dalam serbuan tersebut, polis telah me rampas 11 set komputer, empat unit telefon bimbit, dua mesin faksimili dan 23 helai dokumen pertaruhan.

Beliau berkata, kelima-lima suspek yang dipercayai pekerja sindiket terbabit telah direman selama empat hari sehingga 20 Jun ini.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Per taruhan 1953.

"Jika sabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar berasingan mengenai kes sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias memberitahu empat sindiket bookie judi bola sepak beroperasi di bandar raya ini beroperasi di rumah kediaman.

Beliau berkata, pusat operasi bookie judi bola sepak itu yang diserbu itu terletak di Taman Rasah Jaya, Taman Ehsan, Medan Cator dan Meru Valley Golf Resort di sini.

“Selain peralatan komputer yang bernilai kira-kira RM30,000, polis turut berjaya menemui beberapa kertas mencatat nilai pertaruhan dan kata laluan masuk kaki judi terlibat.

“Siasatan awal polis mendapati semua sindiket bookie judi bola sepak berkenaan juga terlibat dalam pertaruhan liga bola sepak Eropah lain.

"Ia termasuk Liga Perdana Inggeris, Serie A Itali dan Liga Primera Sepanyol," katanya.

No comments:

Post a Comment