Translate

Sunday, June 27, 2010

Ekspo Wenzhou jangka catat transaksi RM10 juta

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Ekspo Barangan Berjenama dan Berkualiti dari Wenzhou, China serta Ekspo Barangan Konsumer Antarabangsa Malaysia yang bermula di sini semalam diunjurkan mencatat transaksi dagangan sekurang-kurangnya RM10 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, ekspo yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan sebanyak 180 usahawan dari Wenzhou, China.

“Ekspo Barangan Berjenama dan Berkualiti Wenzhou menampilkan pelbagai produk bermutu dari wilayah tersebut seperti tekstil, kasut, teh, peralatan elektrik dan bilik mandi.

“Ekspo Barangan Konsumer Antarabangsa Malaysia pula disertai 250 pemain industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian ekspo berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir ialah Pengerusi Malaysia-Wenzhou Trade City Group Sdn. Bhd., Charlie Zhang.

Hamidah menjelaskan, ekspo berkenaan bukan sahaja sebagai platfom untuk syarikat IKS tempatan dan China menjalin hubungan perniagaan tetapi juga sebagai medium untuk memasarkan produk kedua-dua negara ke pasaran Asia Pasifik dan Timur Tengah.

Ini dapat dilihat daripada satu perjanjian yang bakal dimeterai pada ekspo berkenaan yang mana ia melibatkan pengeksportan produk kopi putih Ipoh keluaran syarikat tempatan untuk memasuki pasaran Wenzhou tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment