Translate

Sunday, June 27, 2010

Big School MCKK jadi warisan negara

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Bangunan asal Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang dikenali sebagai The Big School kini digazetkan sebagai Warisan Kebangsaan.

Pesuruhjaya Warisan, Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid berkata, keputusan untuk mengazetkan The Big School berusia 101 tahun itu diambil mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan diputuskan pada 14 Februari tahun lalu.

“Bangunan ini dipilih bukan sahaja kerana usia dan senibina yang sudah melebihi 100 tahun tetapi peristiwa bersejarah yang berlaku di dalamnya dan sumbangan MCKK yang besar kepada perkembangan negara.

“Ia merupakan salah satu daripada 36 bangunan dan tapak di negara ini yang digazetkan sebagai Warisan Kebangsaan. Enam daripadanya terdapat di Perak seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kota Tampan,” katanya selepas menyaksikan majlis pemasyhuran premis bersejarah berkenaan yang kini dijadikan sebahagian bangunan asrama pelajar MCKK oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam.

Turut hadir ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK dan Presiden Persatuan Murid-Murid Tua MCKK (MCOBA), Tun Haniff Omar.

Pada majlis itu, sekumpulan ahli MCOBA diketuai Rahim Ismail (bekas pelajar MCKK tahun 1955) menyanyikan lagu ‘Semenanjung Tanah Melayu’ dan ‘Jadilah Kesatria Budiman’ ciptaan bekas guru MCKK, Anthony Burgess yang pernah dinyanyikan pada majlis meraikan pemansuhan Malayan Union pada 1 Februari 1948.

The Big School dirasmikan oleh Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah yang juga salah seorang pengasas sekolah tersebut pada 1909.

Pada Perang Dunia ke-2, Jepun telah menjadikan bangunan itu sebagai Markas Utama Wilayah Utara sebelum menukarkannya kepada hospital tentera.

The Big School kekal sebagai hospital tentera setelah penjajah British kembali semula ke tanah air pada 1945 namun MCKK kembali berfungsi pada 31 Januari 1947 atas desakan pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar.

Antara tokoh negara yang merupakan bekas pelajar MCKK ialah Onn, bekas Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak Hussein, Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican.

No comments:

Post a Comment