Translate

Tuesday, May 18, 2010

Histeria lepas nampak hantu

Sesi persekolahan terpaksa ditutup lebih awal

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BIDOR - Kelibat yang didakwa hantu serta kanak-kanak berkepala besar dikatakan punca sekumpulan 40 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani diserang histeria semalam.

Ada antara pelajar itu yang kebanyakannya menuntut di tingkatan dua hingga lima bertindak agresif, menangis, melolong, memaki hamun dan melawan semasa cuba ditenangkan oleh pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Menurut sumber, sekolah itu sudah dilanda kejadian histeria hampir setiap hari sejak dua bulan lalu.

Namun semalam, gangguan yang berlaku dari pukul 8 pagi hingga 11.30 pagi itu telah memaksa pengurusan sekolah menamatkan sesi persekolahan lebih awal iaitu pada kira-kira 12 tengah hari.

“Biasanya pelajar yang menjadi mangsa tiba-tiba sahaja berubah, meracau, menjerit-jerit dan berubah menjadi agresif serta meluru berlari tak tentu arah.

“Masalah itu menyebabkan ramai guru terpaksa sentiasa dalam keadaan bersedia dan memberi bantuan hampir seluruh waktu persekolahan," katanya di sini semalam.

Untuk meredakan masalah, pihak sekolah telah mengadakan beberapa program kerohanian seperti bacaan ayat suci al-Quran di surau sekolah.

Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Feena, 16, berkata, gangguan histeria itu bermula selepas beberapa pelajar yang menyertai Kem Kepimpinan di kawasan sekolah mendakwa melibat kelibat makhluk halus pada akhir Mac lalu.

“Ramai yang diserang histeria mendakwa melihat kelibat pontianak dan kanak-kanak berkepala besar,” katanya.

Rakannya pula hanya mahu dikenali sebagai Adlina, 16, memberitahu setakat ini empat pengamal perubatan tradisional telah dipanggil untuk membantu menghentikan gangguan ter sebut.

Namun katanya, keadaan tidak banyak berubah apabila serangan histeria itu berlaurtan sehingga kini.

“Pada Rabu lepas sekurang-kurang 10 pelajar perempuan diserang histeria ketika membaca surah Yassin beramai-ramai di surau sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan tersebut dan telah melaksanakan beberapa pelan susulan.

"Apa yang berlaku di sekolah itu adalah kes berulang yang bermula beberapa bulan lalu.

"Kita telah berusaha untuk mengurangkan gangguan tersebut menerusi program kerohanian," katanya ketika dihubungi semalam.

Wartawan Kosmo! yang membuat tinjauan di tempat kejadian mendengar sendiri jeritan beberapa pelajar perempuan diserang histeria semalam.

Ada mangsa bertindak agresif sebelum lemah sehingga terpaksa dipapah oleh beberapa guru.

2 comments: