Translate

Friday, April 16, 2010

Pusat Gunasama Halal Perak dibangun


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pusat informasi dan perkhidmatan penyelesaian setempat bagi industri halal atau lebih dikenali sebagai Pusat Gunasama Halal Perak bakal dibina di Bandar Meru Raya di sini.

Pengerusi Perak Halal Corporation Sdn. Bhd. (PHC), Kapten (B) Datuk Mohd. Najmuddin Elias berkata, pusat berkenaan yang bakal mengukuhkan kedudukan Perak sebagai salah satu hab halal negara itu dibina di kawasan seluas 0.73 hektar dan dijangka mula beroperasi menjelang bulan Januari 2011.

“Pusat yang akan bekerjasama daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu bertujuan untuk membantu dan memudahkan usahawan serta pelabur dalam mendapatkan perkhidmatan berkaitan pensijilan halal.

“Pelbagai program latihan bagi meningkatkan kefahaman usahawan dalam bidang pemprosesan dan logistik untuk pengeluaran produk halal juga akan diadakan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pembangunan Pusat Gunasama Halal Perak yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini semalam.

Dalam majlis sama, PHC turut menandatangani perjanjian dengan dua pemain industri halal tempatan, Sidratul Corporation Sdn. Bhd. (Sidratul Corporation) dan Perak Meat Industries Sbd. Bhd. (PMI).

Mohd. Najmuddin yang juga Penasihat Hal Ehwal Agama Islam Menteri Besar Perak berkata, Pusat Gunasama Halal Perak juga menyediakan program inkubator untuk membimbing dan memberi pengalaman dalam pengeluaran produk halal.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, PHC menjalin kerjasama strategik dengan Sidratul Corporation untuk membangunkan sistem pengurusan piawaian halal bagi memudahkan proses piawaian logo halal di Perak.

“Kerjasama dengan PMI pula bertujuan untuk mengaktifkan semula pusat penyembelihan lembu di Lekir, Sitiawan yang telah terbengkalai sejak lebih daripada 10 tahun berikutan kegawatan ekonomi.

“Pusat yang akan dibuka semula dalam masa terdekat itu bersedia untuk membekalkan sekurang-kurangnya 400 ekor lembu atau 60 tan daging sebulan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment