Translate

Wednesday, March 17, 2010

Majlis Agama Islam Negeri sokong langkah tegas Selangor

KUALA LUMPUR - Hampir kesemua Majlis Agama Islam Negeri menyokong langkah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengharamkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan syarikat swasta.

Rata-rata mereka berpendapatan sudah tiba masa satu langkah proaktif dilakukan demi memastikan logo halal yang dikeluarkan majlis agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi tempat sewajarnya.

Di Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersedia mencontohi langkah MAIS.

Timbalan Pengerusi MAIM, Ghazale Muhamad berkata, pihaknya tidak pernah mengiktiraf penggunaan logo halal yang dikeluarkan syarikat swasta.

"Kami hanya memperakui sijil halal yang dikeluarkan Jakim dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

"Walaupun begitu, ketiadaan peruntukan yang mewajibkan pengusaha menggunakan sijil halal daripada kedua-dua badan ini menyebabkan tiada tindakan dapat diambil kepada pengusaha yang menggunakan sijil halal yang dikeluarkan pihak swasta," katanya.

Ghazale memberitahu, pihaknya akan berjumpa dengan Jakim pada 15 Mac ini bagi membincangkan mengenai masalah penggunaan logo halal.

Di Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak pernah mengiktiraf logo halal selain daripada yang dikeluarkan Jakim.

Pengarahnya, Sazali Hussein berkata, JHEAIPP telah lama menguatkuasakan penggunaan logo halal tersebut dan mengharamkan logo atau pensijilan halal yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta.

Di Johor, Pengarah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Abdul Rahman Jaffar berkata, pihaknya sentiasa memantau secara berkala penggunaan logo halal di mana-mana premis di negeri itu.

Bagi Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) tegas dalam memastikan logo halal dikeluarkan mengikut piawaian sebenar dan hanya pihaknya bertanggungjawab mengeluarkan pengesahan itu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Shaikh Harun Ismail memberitahu, tindakan tegas penting bagi memastikan pengesahan halal yang dilakukan dengan cara yang betul dalam menentukan sesuatu produk benar-benar halal.

"Negeri ini tidak pernah melantik dan juga tidak bercadang untuk melantik mana-mana syarikat untuk menggantikan JHEAT membuat pemeriksaan sebelum mengeluarkan sijil halal," katanya.

Bagi Perak, Penasihat Hal Ehwal Agama Islam Menteri Besar, Kapten (B) Datuk Mohd. Najimuddin Elias berkata, kerajaan negeri hanya mengiktiraf sijil pengesahan halal yang dikeluarkan Jakim.

Lain pula bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang mengatakan pihaknya tidak berhasrat menguatkuasa logo halal Jakim tetapi mengambil pendekatan mempromosikan logo itu di kalangan peniaga di negeri tersebut.

Pengarah JHEAINS, Johani Hassan berkata, buat masa ini pihaknya tidak mengambil langkah untuk menguatkuasa penggunaan logo halal itu bagi membendung kes penipuan logo halal.

No comments:

Post a Comment