Translate

Monday, March 1, 2010

Kerangka MEB diumum Julai ini

TAPAH - Draf Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan menjadi dasar pemacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan akan dibentang di dalam mesyuarat Kabinet pada pertengahan Mac ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, draf tersebut yang telah dirangka sejak tahun lalu kini dalam peringkat akhir perincian.

“Kerangka MEB bakal diumumkan Julai ini. Ia memberi penekanan bahawa negara perlu keluar daripada kelompok negara berintensif buruh kepada negara berpengetahuan dan berteknologi tinggi.

“Sehubungan itu, beberapa pasaran khusus perlu diberi penekanan agar negara dapat keluar daripada teras ekonomi konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja untuk meninjau beberapa projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang masih belum disiapkan di sekitar pekan ini semalam.

Ahmad Husni berkata, MEB juga akan memberi penekanan untuk memperhebatkan peranan sektor swasta dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi konsep Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

Beliau berkata, konsep tersebut akan menjadi agenda utama dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang bermatlamat membawa negara keluar daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada pendapatan tinggi.

“Oleh itu, setiap pembangunan yang akan dilaksana sektor swasta akan disokong kerajaan,’’ jelasnya.

No comments:

Post a Comment