Translate

Wednesday, March 31, 2010

Perasmian Sidang DUN Perak berjalan lancar

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Berbanding dua persidangan sebelum ini, perasmian Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-12 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

Selepas memeriksa perbarisan kehormatan, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang diiringi Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim menyampaikan titah perasmian tepat pukul 10 pagi.

Bekas Speaker DUN Perak, V. Sivakumar (DAP-Tronoh) yang sebelum ini tanpa rasa malu mengaku masih Yang Dipertua DUN pula didapati tidak memakai jubah Speaker, sebaliknya mengenakan pakaian rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Beberapa tindakan provokasi kecil daripada wakil rakyat pembangkang terutama Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), Sivakumar dan Thomas Su (DAP-Pasir Pinji) tidak mendapat sambutan.

Sebelum sidang dibuka, Koo Ham terawal memasuki dewan cuba menarik perhatian dengan mendakwa persidangan itu dipantau oleh ratusan polis yang ditempatkan di galeri awam bangunan tersebut.

Beliau akhirnya terdiam apabila dimaklumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor), galeri itu sebenarnya dipenuhi pengamal media yang membuat liputan.

Sivakumar pula mengacah mahu merampas kerusi Speaker DUN Perak semasa Datuk R. Ganesan menjemput Raja Nazrin dan Tuanku Zara bagi upacara perasmian.

Tindakan Sivakumar itu ditegur bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar (Pas-Pasir Panjang) yang bimbang ia dilihat oleh baginda berdua.

Sejurus Raja Nazrin menyampaikan titah perasmian, Ganesan mengumumkan persidangan ditangguhkan.

Semasa Penggal Pertama Sidang DUN Perak ke-12 pada 7 Mei 2008 yang turut menyaksikan Sivakumar dilucutkan daripada jawatan Speaker DUN Perak dan digantikan dengan Ganesan, Raja Nazrin terpaksa menunggu selama enam jam sebelum merasmikan persidangan.

Pada Penggal Kedua persidangan pada 28 Oktober 2009 pula, ADUN pembangkang bersidang sesama sendiri bagi mengganggu perjalanan mesyuarat ketika Zambry sedang membentangkan Bajet 2010.

Sunday, March 28, 2010

Pembangkang e-mel 7 soalan

IPOH - Biarpun mendakwa tidak mengiktiraf Datuk R. Ganesan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, beberapa wakil rakyat pembangkang tetap menghantar soalan lisan kepada beliau sempena Penggal Ketiga, Sidang DUN Perak ke-12 pada 30 Mac ini.

Ganesan berkata, tujuh daripada 114 soalan lisan yang di terimanya untuk dijawab sepanjang Sidang DUN tersebut diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Beliau memberitahu ketujuh-tujuh ADUN pembangkang yang tidak didedahkan identitinya itu menghantar soalan lisan terbabit menerusi e-mel.

“Difahamkan wakil rakyat pembangkang lain menghantar soalan kepada ADUN Tronoh, V. Sivakumar yang mereka anggap kononnya Speaker DUN Perak yang sah.

“Tetapi mengikut peraturan hanya soalan yang dihantar kepada saya secara tangan mahupun emel dalam tempoh 14 hari bermula 1 Mac lalu sahaja diiktiraf,” katanya di sini semalam.

Saturday, March 27, 2010

Berkongsi pengetahuan tingkatkan bahasa Melayu

PERBINCANGAN. Seramai 30 guru mata pelajaran Bahasa Melayu dari 10 sekolah teknik seluruh Perak menyertai Konvensyen Guru-Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Teknik (SMT) Perak baru-baru ini.

Konvensyen sehari yang julung kali diadakan anjuran SMT Lebuh Cator, Ipoh itu bertujuan untuk merangka strategi meningkatkan prestasi Bahasa Melayu di kalangan pelajar sekolah aliran terlibat.

Pengetua SMT Lebuh Cator, Mokhtar Zakaria berkata, selain kelulusan 100 peratus, pengurusan SMT Perak menyasar untuk meningkatkan bilangan pelajar cemerlang dengan gred A+ dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sehubungan itu, tiga guru pakar Bahasa Melayu dijemput bagi berkongsi pengalaman dan kaedah pengajaran kepada peserta sepanjang konvensyen tersebut.

Thursday, March 25, 2010

Skim cepat kaya wang pos

IPOH - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak (PDNKK) Perak mengesan kewujudan sindiket skim cepat kaya yang memanipulasi penggunaan wang pos baru-baru ini.

Pengarahnya, Mokhtar Sulaiman berkata, skim berkonsep sistem piramid dipercayai didalangi seorang lelaki berusia 40-an itu dikesan baru bertapak di bandar raya ini sejak awal tahun ini.

Antara mangsa skim tersebut termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Perak yang menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sepatutnya membiayai pengajian masing-masing.

“Peserta skim ini diarah untuk membeli 10 keping wang pos, sekeping akan disumbang kepada penganjur skim berkenaan dan selebihnya kepada sembilan penaja terdahulu.

“Selepas itu peserta baru tersebut perlu mencari ahli baru bagi membolehkan dia mendapat keuntungan melalui sumbangan wang pos,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar ‘Cabaran Pengguna di Pasaran 2010’ anjuran Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) di Dewan Bandaran di sini semalam.

Turut hadir Presiden PPPM, Datuk Firdaus Abdullah dan Pengerusi PPPM Perak, Norhisham Jamaludin.

Mokhtar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati penganjur skim cepat kaya tersebut menawarkan tiga skim iaitu Klasik, Emas dan Premium yang mengenakan caj penyertaan minimum RM30.

Beliau berkata, skim yang menyalahi Akta Jualan Langsung 1993 itu turut menjanjikan keuntungan berlipat-ganda kini giat menarik penyertaan orang ramai.

“Sehubungan itu PDNKK Perak telah mengarahkan penganjurnya agar menghentikan skim tersebut secepat mungkin,” katanya.

Info Modus Operandi Skim Cepat Kaya Wang Pos

-didakwa sah dari segi syarak dan undang-undang negara oleh penganjurnya dan berselindung di sebalik dakwaan ‘Skim Pelaburan Islamik’

- dipromosi di internet menerusi blog, laman web dan emel berantai berdasarkan cerita rekaan kejayaan peserta ter dahulu selain mengedar risalah.

-menggunakan wang pos sebagai modus operandi

- pelabur baru perlu membeli 10 wang pos pada nilai mengikut skim ditawarkan semurah RM30.

-satu daripada wang pos tersebut perlu disumbangkan kepada penganjur manakala sembilan lain disumbang kepada sembilan penaja terdahulu.

-wang pos tersebut kemudiannya akan ditebus di Pejabat Pos untuk mendapatkan wang tunai mengikut nilai dibeli.

Kolam renang dalam rumah

BERIADAH bersama keluarga sambil bersantai di dalam kolam renang persendirian di dalam rumah mungkin hanya impian bagi orang kebanyakan.

Ia kerana kolam renang persendirian kekal biasanya hanya terdapat di dalam kawasan perumahan elit dan mewah yang nilainya menjangkau jutaan ringgit.

Namun angan-angan itu kini tidak mustahil lagi, terima kasih kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menerusi anak syarikatnya Seri Iskandar Development Co rporation (SIDC).

Dengan membeli kediaman yang berharga tidak sampai setengah juta di Puncak Iskandar, Bandar Seri Iskandar, Perak, sebuah kolam renang berukuran 6.1 meter x 2.44 meter menjadi milik anda sekeluarga.

Pengurus Besar SIDC, Amir Azman Yusof berkata, opsyen kolam renang terbabit ditawarkan pada kediaman jenis semi-D Camara dan banglo banglo Rafflessia dan Arena.

Beliau berkata, harga semi-D Camara bermula daripada RM297,000 sementara Rafflesia dan Area pula berharga dari RM398,000.

“Puncak Iskandar sememangnya dirancang dengan teliti berdasarkan kajian kehendak pembeli rumah yang berteraskan adat, budaya dan agama tempatan.

“Menekankan konsep riadah keluarga, pembinaan kolam renang di dalam rumah tersebut bertujuan agar setiap penghuni dapat bersantai tanpa perlu risau pelanggaran batasan agama seperti pendedahan aurat,” katanya kepada Kosmo!.

Unik

Jelas beliau, kediaman di Puncak Iskandar juga unik kerana mengaplikasi konsep ruang awam dan ruang privasi keluarga dalam reka bentuknya.

Beliau berkata, berbanding dengan perumahan lain di negara ini, bilik tetamu yang mempunyai bilik air ditempatkan di hadapan rumah dan diasingkan daripada bilik ahli keluarga.

“Bilik ahli keluarga termasuk bilik utama berada di bahagian belakang rumah dan dipisahkan dengan bilik tetamu dengan ruang tamu dan dapur bagi mengekalkan ruang privasi ke luarga,” tambahnya.

Lot Komersial

Mengulas lebih lanjut, Amir Azman memberitahu bahawa Puncak Iskandar merupakan Fasa II pembangunan Seri Iskandar turut menawarkan kediaman teres setingkat Aster dan semi-D Alpinia Modena pada harga dari RM110,000 hingga RM200,000.

Beliau berkata, selain projek perumahan bercampur, Puncak Iskandar yang dibangunkan di atas tanah seluas 101.25 hektar itu dan dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa lima tahun itu juga mempunyai lot komersial.

“Puncak Iskandar amat strategik kerana berada di te ngah-tengah Ipoh dan Lumut dan pusat pentabdiran Perak Tengah seperti Pejabat Tanah dan Daerah Perak Tengah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah,” katanya.

Bandar Seri Iskandar yang terletak berhampiran Jalan Ipoh-Lumut merupakan projek pembangunan perbandaran lengkap merangkumi pembangunan kediaman penduduk, ko mersial, perindustrian, kawasan rekreasi.

Pembangunan bandar terbabit yang dijangka siap sepe nuhnya menjelang 2020 disasar kerajaan negeri Perak menjadi bandar masa depan yang bakal menerajui pembangunan sosio-ekonomi daerah Perak Tengah.

Sebelum ini MRCB yang terlibat dalam pembangunan Fasa I Seri Iskandar yang merangkumi 1,600 unit kediaman berupa rumah teres setingkat dan dua tingkat serta berkembar pada 2002.

Jadual penerbangan Ipoh-Singapura ditambah

IPOH - Perkhidmatan penerbangan Ipoh-Singapura kendalian syarikat penerbangan tambang murah tempatan, Firefly akan diperluas kepada 10 kali seminggu berbanding tujuh kali seminggu seminggu mulai Oktober depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Eddy Leong berkata, ia merupakan perancangan syarikat sebelum memperluaskan lagi perkhidmatan penerbangan laluan tersebut kepada dua kali sehari menjelang akhir tahun ini.

“Sejak dilancarkan 12 Julai lalu, laluan dua hala Ipoh-Singapura telah mendapat sambutan hangat dan kini sekurang-sekurang 90 peratus tempat duduk pesawat akan dipenuhi bagi setiap perjalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan kerajaan negeri Perak yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim di sini semalam.

Wednesday, March 24, 2010

Pemandu teksi mati serangan jantung

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pemandu teksi yang sedang mencari penumpang mati selepas dia diserang sakit jantung ketika sedang memandu di persimpangan Jalan Raja Musa Aziz-Jalan Sultan Iskandar di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 3 petang, Kok Ah Kow @ Kok Tick Meng, 67, yang hilang kawalan ketika memandu melanggar tiga buah kereta lain yang berada di laluan bersebelahan.

Teksi itu kemudiannya merempuh pula kaki lima sebuah kedai ba rangan kesihatan tidak jauh dari itu.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Mei Lee, 17, berkata, sebelum kejadian teksi terhuyung-hayang sebelum ia terbabas di kaki lima kedai terbabit.

Pelajar tingkatan lima itu berkata, Tick Meng sempat membuka pintu teksinya tetapi rebah dengan tangannya memegang kiri dadanya.

“Orang ramai cuba membantu menyelamatnya dengan mem berikan bantuan kecemasan tetapi gagal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Tick Meng yang berasal dari Taman Pertama di sin idan bapa kepada tiga anak itu sudah bekerja sebagai pemandu teksi kira-kira 40 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasi kematian Tick Meng sebagai mati mengejut akibat diserang sakit jantung.

Sementara itu, di Batu Gajah pula, seorang pengawal keselamatan lemas selepas motosikal ditungganginya terbabas dan terhumban ke dalam lombong tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kerja mangsa di Pusat Perindustrian Batu Gajah III di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 11 pagi, mangsa M. Muniandy, 66, gagal mengawal motosikalnya ketika melalui laluan selebar tiga meter yang memisahkan dua buah lombong berhampiran kilang tempat dia bekerja.

Isteri mangsa, U. Poongathai, 40, berkata, musibah yang menimpa suaminya itu sangat mengejutkan dan sebelum kejadian, Muandy menziarahi ibu mertuanya yang dirawat di Hospital Batu Gajah dekat sini.

Menurut wanita itu, suaminya sebelum ini pernah mengadu letih namun dia tidak mengesyaki suaminya mempunyai masalah kesihatan.

Poongathi dan anak bongsunya, M. Jevanathan, 21, yang menanti di tepi lombong tidak dapat menahan emosi apabila mayat Muniandy dibawa ke tebing lombong oleh unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh pada pukul 1.50 petang.

Teknik kikisan kaji binaan asal masjid

PROSES konservasi Masjid Ihsaniah Iskadariah dilakukan dengan teliti menggunakan teknik kikisan digunakan untuk mengetahui bahan dan warna asal binaan masjid tersebut.

Menurut, Pensyarah Kanan Fakulti Senibina Pe rancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seri Iskandar, Dr. Siti Norlizaiha Harun, oleh kerana Masjid Ihsaniah Iskandariah sudah berusia 74 tahun dan terlalu usang, beliau terpaksa mengikis beberapa struktur masjid berkenaan seperti tiang, dinding dan bingkai tingkap sehingga tiga hingga empat lapisan.

“Menerusi teknik kikisan, kita mengetahui binaan asal masjid ini ialah buluh minyak, kayu merbau dan meranti.

“Kajian kami membuktikan ia sebenarnya mempunyai tiga warna iaitu kuning, putih dan hitam iaitu warna bendera negeri Perak penduduk kampung mengatakan masjid tersebut dicat dengan warna kuning,katanya yang dilantik sebagai Konservator Bangunan untuk projek tersebut.

Siti Norlizaiha berkata, dinding tepas Masjid Lama Kampung Kuala Dal diperbuat daripada buluh minyak dan bermotif geometri Arab.

Masjid itu juga mempunyai 20 tingkap berdaun yang ber motifkan pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Manakala bumbungnya yang berbentuk limas diperbuat daripada zink.

Cabaran paling sukar ialah mencari individu yang boleh menganyam buluh bagi membuat kelarai dengan corak sama seperti yang terdapat pada dinding asal masjid terbabit.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Warisan Negara, Nasir Baba berkata, pihaknya berusaha mencari pakar anyaman buluh tempatan di sekitar Kuala Kangsar dan Perak Tengah namun gagal.

Kebanyakan individu yang mahir pula sudah terlalu uzur dan bekalan buluh minyak di dua daerah di Perak itu juga berkurangan.

“Akhirnya kami bertemu dengan seorang pengusaha an yaman buluh dari Perlis. Beliau mampu menghasilkan dinding tepas dikehendaki, bekalan buluh minyak pula diperolehi daripada Ladang Arau, Perlis,” katanya.

Nasir berkata, bagi menghasilkan dinding tepas yang ber ukuran 0.5 meter lebar dan 0.2 meter panjang, keratan buluh perlu dipotong sepanjang 0.5 meter setiap satu sebelum di rendam di dalam air semalaman bagi membersihkan kotoran dan getahnya.

Kemudian keratan buluh minyak berkenaan dicarik dengan menggunakan mesin dan seterusnya dianyam bagi membentuk kelarai.

Kerja-kerja konservasi Masjid Ihsaniah Iskandariah siap sepenuhnya pada Julai 2009 dan diserahkan Zuraina Majid kepada Kariah Masjid Al - Wahidiah dalam satu majlis khas pada 17 Disember tahun sama.

Selepas penyerahan tersebut Mohamad Anuar berkata, Ja wan Kuasa Masjid Al- Wahidiah telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengimarahkan semula Masjid Lama Kampung Kuala Dal tersebut.

Mohamad Anuar berkata, selepas ini mereka bercadang untuk mengilirkan solat Jumaat antara Masjid Al-Wahidiah dan Masjid Ihsaniah Iskandariah setiap minggu selain mengadakan kes agama dan tuisyen kepada anak-anak penduduk tempatan.

Seorang penduduk kampung, Zamin Hassan, 50, berkata, selepas lawatan mengejut Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke masjid tersebut pada 1 Mac lalu, kesedaran orang ramai termasuk pelancong asing tentang kewujudan masjid warisan itu semakin bertambah.

Sejak kebelakangan ini semakin ramai pelancong yang singgah ke Masjid Ihsaniah Iskadariah untuk mengambil foto kenangan.

Kenangan Masjid Ihsaniah Iskandariah

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SENJA itu Mohamad Anuar Abu Bakar, 60, seperti biasa ke Masjid Al-Wahidiah, Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak untuk mengimamkan solat Maghrib.

Tatkala hampir ke pintu pagar masjid, beliau merenung bangunan kayu unik berwarna kuning, putih dan hitam tersergam indah terletak bersebelahan masjid berkenaan.

Itulah Masjid Ihsaniah Iskandariah. Unik kerana ia satu-satunya rumah ibadah Islam di negara ini dan di dunia yang mempunyai dinding tepas iaitu diperbuat daripada kelarai atau anyaman buluh.

Kisah masjid itu cukup dramatik. Suatu ketika ia pernah menjadi nadi utama kerukunan dan simbol agama penduduk Kampung Kuala Dal.

Keadaan masjid tersebut agak uzur dalam tempoh lebih tiga dekad.

"Namun ketika ia hampir menyembah bumi, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja konservasi untuk membaiki kerosakan struktur bangunan tersebut dan 'menghidupkan' masjid yang berusia 74 tahun ini.

"Terasa macam mimpi, saya dan beberapa warga emas Kampung Kuala Dal cukup bertuah kerana dapat menyaksikan tiga frasa masjid ini iaitu dari 1930-an sehingga 1976, zaman kesuraman dari lewat 1970-an hingga 2009 dan kini zaman kebangkitan semula," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.

Mohamad Anuar yang juga Pengerusi Masjid Al-Wahidiah antara individu yang begitu dekat dengan Masjid Ihsaniah Iskandariah dan Masjid Al-Wahidiah.

Datuknya, Abdul Wahid Abdul Daud dan ayahnya, Abu Bakar Ismail juga pernah diamanahkan untuk menjadi imam di masjid kampung tersebut.

Abu Bakar lebih beruntung kerana berpeluang menjadi imam di kedua-dua buah masjid.

Masjid Ihsaniah Iskandariah dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Juragan Abdul Shukur Mohammmad Ali dan pembiayaannya sebanyak 8,000 pound sterling (RM40,000) ditanggung oleh Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah pada 1936.

Sebelum itu, Sultan Iskandar telah bernazar untuk membina sebuah masjid jika salah seorang daripada anakanda baginda yang gering sembuh.

Kampung Kuala Dal dipilih selepas baginda terlihat penduduk kampung berkenaan bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang berkelah di Lata Bubu tidak jauh dari situ.

Seni bina masjid tersebut diilhamkan sepenuhnya oleh Sultan Iskandar. Masjid tersebut diinspirasikan daripada seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Kenangan manis

Masjid yang diabadikan sempena nama baginda bercirikan seni bina tradisional Melayu Perak. Kesemua dindingnya diperbuat daripada panel kelarai bercorak intan yang dikenali sebagai dinding tepas atau tepus.

Antara keunikan lain masjid dua tingkat itu ialah reka bentuk binaannya yang menyerupai sangkar burung dan tingkapnya dihiasi ukiran serta bumbungnya kelihatan rata.

Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Lama Kampung Kuala Dal itu berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah seperti masjid-masjid lain di seluruh dunia.

Semua struktur bangunan termasuk ragam dan kelarai dibina dan diukir oleh tukang-tukang kayu tempatan terkenal seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah.

Masjid tersebut dirasmikan oleh Sultan Iskandar pada 11 Februari 1938 iaitu beberapa bulan sebelum kemangkatan baginda pada Oktober tahun sama.

Mohamad Anuar berkata, tingkat atas masjid tersebut dijadikan dewan solat yang boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa manakala tingkat bawah dijadikan dewan perjumpaan, aktiviti kemasyarakatan serta persidangan pembesar negeri Perak.

Apakah kenangan manis Mohamad Anuar? Sebagai anak dan cucu bekas imam, sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dihabiskan di sekitar masjid tersebut.

"Selain menjadi tempat beribadat hampir setiap masa, masjid tersebut memang sentiasa sibuk dengan aktiviti seperti kelas agama, kelas mengenal huruf dan membaca untuk golongan dewasa.

Kelas memasak, menjahit dan kraftangan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga diadakan di situ.

Sebuah pondok pengawal pernah dibina di perkarangan masjid tersebut pada zaman Darurat bagi memastikan keselamatan penduduk kampung daripada ancaman Komunis.

"Masjid semakin diimarah apabila tiba Ramadan. Kami berbuka puasa, bertilawah al-Quran dan solat tarawih bersama-sama.

"Selepas solat tarawih, sebahagian penduduk kampung akan meneruskan ibadat sunat seperti qiyammulail dan berzikir sehingga Subuh dengan cahaya pelita.

"Menjelang Syawal, arwah datuk dan beberapa penduduk kampung akan memasang panjut yang diperbuat daripada buluh dan tin susu di sekeliling perkarangan masjid bagi memeriahkan suasana," katanya.

Sepanjang ingatannya, Mohamad Anuar pernah berhadapan dengan satu pengalaman misteri semasa menemani ayahnya dan beberapa penduduk kampung lain berzikir dan beratib pada awal pagi Ramadan.

Katanya, ketika mereka asyik berzikir di tingkat atas Masjid Ihsaniah Iskandariah tiba-tiba lantai yang diduduki beralun-alun dan mengeluarkan bunyi seolah-olah turut berzikir.

"Saya terkejut dan ketakutan terus berlari mendapatkan ayah. Namun beliau dan beberapa penduduk kampung cuma bersenyum dan meneruskan aktiviti beratib. Peristiwa itu kekal misteri hingga sekarang," katanya.

Namun kegemilangan Masjid Lama Kampung Kuala Dal pudar apabila sebahagian strukturnya rosak teruk akibat dihempap dahan pokok durian sekitar 1976.

Kejadian itu menyebabkan sebuah masjid baru yang lebih besar dibina bersebelahannya di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh datuk Mohamad Anuar, Abdul Wahid.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Abdul Wahid yang juga pernah menjawat Ketua Kampung Kampung Kuala Dal, masjid baru itu dinamakan Masjid Al-Wahidiah.

Mohamad Anuar memberitahu, biarpun sudah mempunyai masjid baru, kenangan penduduk kampung terhadap Masjid Ihsaniah Iskandariah tidak pernah pudar.

Pelbagai ikhtiar dilakukan bagi menyelamatkan warisan kebanggaan penduduk kampung itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid berkata, masjid berkenaan telah digazetkan sebagai bangunan warisan negara. Kerja-kerja konservasi dimulakan pada Disember 2008.

Wednesday, March 17, 2010

Silverfly, syarikat pengurusan penerbangan kedua di LTSAS

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Silverfly Sdn. Bhd. ( Silverfly ), sebuah syarikat pengurusan penerbangan tempatan kini muncul sebagai syarikat kedua yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Sebelum ini, Firefly telah beroperasi di lapangan terbang itu sejak bulan Julai tahun lalu dengan jadual penerbangan sulungnya sebanyak tiga kali seminggu iaitu dari Ipoh ke Singapura tetapi kini jadualnya bertambah kepada setiap hari ke republik berkenaan.

Menurut Pengerusi Eksekutif Silverfly , Hasim Othman, syarikat yang menyewa pesawat Berjaya Air Sdn. Bhd. itu telah mula beroperasi sejak bulan September tahun lalu dengan menawarkan empat penerbangan dua hala iaitu Ipoh-Subang, Ipoh Singapura, Ipoh- Medan, Indonesia dan terkini Ipoh-Kota Bharu.

"Kami bercadang untuk menambah penerbangan ke destinasi lain seperti ke Johor Bahru, Langkawi dan Phuket, Thailand dalam masa terdekat ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman web dan kad kesetiaan Silverfly yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pengawai Eksekutif Silverfly , Ruby Hasim.

Tambah Ruby, melalui pelancaran laman web tersebut, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian bagi memudahkan lagi pelanggan membeli tiket penerbangan ke destinasi yang dipilih.

Selain itu, Zambry berkata, kerajaan negeri Perak berhasrat untuk menjadikan LTSAS sebagai lapangan terbang feeder untuk penerbangan serantau.

Menurut beliau, secara dasarnya, Kementerian Pengangkutan telah memberi lampu hijau kepada cadangan tersebut.

Karnival Perkahwinan 1Malaysia

PILIHAN PENGANTIN. Hotel Heritage, Ipoh menganjurkan Karnival Perkahwinan 1Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Perak, Datin Faridah Din baru-baru ini.

Eksekutif Perhubungan Awam Hotel Heritage, Shamshidar Mohamad Khirudin berkata, karnival dua hari tersebut melibatkan penyertaan 18 agensi dari sekitar Perak.

Beliau berkata, Karnival Perkahwinan 1Malaysia menawarkan perkhidmatan majlis perkahwinan seperti andaman, busana, pelamin dan hidangan bagi istiadat Melayu, Cina dan India.

Menurutnya, bakal pengantin yang menempah dewan hotel tersebut untuk majlis resepsi perkahwinan sepanjang karnival terbabit ditawarkan pakej penginapan bulan madu percuma selama dua hari di Hotel Heritage Cameron Highlands.

Penduduk Chemor dapat dewan baru


KEMUDAHAN. Penduduk Chemor, Ipoh, Perak bertuah apabila menerima sebuah dewan yang dinamakan Dewan Komuniti 1Malaysia baru-baru ini.

Dewan serbaguna untuk kegunaan penduduk itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliauyang juga Menteri Kewangan II berkata, pembinaan dewan itu sebahagian agenda merancakkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Selain itu katanya, beberapa projek pembangunan lain akan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk kemudahan rakyat.

Petronas bantu SK Felda Nasaruddin

SEKOLAH ANGKAT. Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Na saruddin, Bota dipilih menjadi sekolah angkat ke-38 Petrolium Nasional Berhad (Petronas) baru-baru ini.

Ia dilakukan di bawah Program Bakti Pendidikan Petronas dan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Program tersebut bertujuan untuk membantu kerajaan mem pertingkatkan tahap pencapaian akademik dan sahsiah murid miskin dan luar bandar.

Selain penganjuran kelas tambahan subjek Matematik, Ba hasa Inggeris dan Sains secara percuma, 41 murid SK Felda Nasaruddin terlibat akan menjalani aktiviti sokongan yang dikendali kakitangan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Sultan Ahmad Shah belum putus nasib Kartika

TEMERLOH - "Buat masa ini belum ada apa-apa lagi."

Demikian titah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkaitan isu hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnior, 33, kerana minum arak yang masih tertangguh sejak 1 Disember 2008 hingga sekarang.

Bagaimanapun baginda bertitah akan mendapatkan maklumat lanjut tentang pertemuan yang diadakan antara model sambilan itu dengan anakandanya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah di Pekan baru-baru ini.

"Pertamanya, saya hendak tahu apa maklumat, apa yang berlaku semasa dia menghadap Tengku Mahkota.

"Kalau dia tulis surat rasmi selepas ini, saya kena teliti dengan lebih mendalam," titah baginda selepas merasmikan Jambatan Sultan Ahmad Shah di Kulau Krau di sini semalam.

Pada 4 Mac lalu, Kosmo! melaporkan Kartika telah menghadap Tengku Abdullah di Kompleks Islam Sultan Ahmad Shah.

Selepas pertemuan itu, Tengku Abdullah menyatakan Sultan Pahang mempunyai kuasa untuk mengampun Kartika merujuk kepada Seksyen 133, Enakmen Jenayah Syariah Pahang 2002.

Sementara itu di Ipoh, bapa Kartika, Shukarnor Mutalib, 61, enggan memberi sebarang komen kerana menghormati nasihat pihak Istana Pahang mengenai isu tersebut sebelum ini.

"Tak berani kami beri komen, serahkan kepaa Tuanku Sultan Pahang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kartika ditahan Jabatan Agama Islam Pahang pada 11 Julai 2008 kerana minum arak d sebuah hotel di Cherating dan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 1 Disember tahun sama.

Mahkamah menjatihkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan tetapi hukuman sebat masih belum dilaksanakan.

Majlis Agama Islam Negeri sokong langkah tegas Selangor

KUALA LUMPUR - Hampir kesemua Majlis Agama Islam Negeri menyokong langkah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengharamkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan syarikat swasta.

Rata-rata mereka berpendapatan sudah tiba masa satu langkah proaktif dilakukan demi memastikan logo halal yang dikeluarkan majlis agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi tempat sewajarnya.

Di Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersedia mencontohi langkah MAIS.

Timbalan Pengerusi MAIM, Ghazale Muhamad berkata, pihaknya tidak pernah mengiktiraf penggunaan logo halal yang dikeluarkan syarikat swasta.

"Kami hanya memperakui sijil halal yang dikeluarkan Jakim dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

"Walaupun begitu, ketiadaan peruntukan yang mewajibkan pengusaha menggunakan sijil halal daripada kedua-dua badan ini menyebabkan tiada tindakan dapat diambil kepada pengusaha yang menggunakan sijil halal yang dikeluarkan pihak swasta," katanya.

Ghazale memberitahu, pihaknya akan berjumpa dengan Jakim pada 15 Mac ini bagi membincangkan mengenai masalah penggunaan logo halal.

Di Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak pernah mengiktiraf logo halal selain daripada yang dikeluarkan Jakim.

Pengarahnya, Sazali Hussein berkata, JHEAIPP telah lama menguatkuasakan penggunaan logo halal tersebut dan mengharamkan logo atau pensijilan halal yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta.

Di Johor, Pengarah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Abdul Rahman Jaffar berkata, pihaknya sentiasa memantau secara berkala penggunaan logo halal di mana-mana premis di negeri itu.

Bagi Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) tegas dalam memastikan logo halal dikeluarkan mengikut piawaian sebenar dan hanya pihaknya bertanggungjawab mengeluarkan pengesahan itu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Shaikh Harun Ismail memberitahu, tindakan tegas penting bagi memastikan pengesahan halal yang dilakukan dengan cara yang betul dalam menentukan sesuatu produk benar-benar halal.

"Negeri ini tidak pernah melantik dan juga tidak bercadang untuk melantik mana-mana syarikat untuk menggantikan JHEAT membuat pemeriksaan sebelum mengeluarkan sijil halal," katanya.

Bagi Perak, Penasihat Hal Ehwal Agama Islam Menteri Besar, Kapten (B) Datuk Mohd. Najimuddin Elias berkata, kerajaan negeri hanya mengiktiraf sijil pengesahan halal yang dikeluarkan Jakim.

Lain pula bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang mengatakan pihaknya tidak berhasrat menguatkuasa logo halal Jakim tetapi mengambil pendekatan mempromosikan logo itu di kalangan peniaga di negeri tersebut.

Pengarah JHEAINS, Johani Hassan berkata, buat masa ini pihaknya tidak mengambil langkah untuk menguatkuasa penggunaan logo halal itu bagi membendung kes penipuan logo halal.

Monday, March 1, 2010

Kerangka MEB diumum Julai ini

TAPAH - Draf Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan menjadi dasar pemacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan akan dibentang di dalam mesyuarat Kabinet pada pertengahan Mac ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, draf tersebut yang telah dirangka sejak tahun lalu kini dalam peringkat akhir perincian.

“Kerangka MEB bakal diumumkan Julai ini. Ia memberi penekanan bahawa negara perlu keluar daripada kelompok negara berintensif buruh kepada negara berpengetahuan dan berteknologi tinggi.

“Sehubungan itu, beberapa pasaran khusus perlu diberi penekanan agar negara dapat keluar daripada teras ekonomi konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja untuk meninjau beberapa projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang masih belum disiapkan di sekitar pekan ini semalam.

Ahmad Husni berkata, MEB juga akan memberi penekanan untuk memperhebatkan peranan sektor swasta dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi konsep Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

Beliau berkata, konsep tersebut akan menjadi agenda utama dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang bermatlamat membawa negara keluar daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada pendapatan tinggi.

“Oleh itu, setiap pembangunan yang akan dilaksana sektor swasta akan disokong kerajaan,’’ jelasnya.