Translate

Monday, February 1, 2010

LG tingkatkan 30 peratus jualan

IPOH - Pengeluar peralatan elektrik, LG Electronics (M) Sdn. Bhd. (LG) menyasar sekurang-kurangnya 30 peratus peningkatan jualan produk elektrik jenama itu pada tahun ini.

Pengurus Besar LG, Chee Khay Huat berkata, berdasarkan unjuran tersebut, pihaknya menjangka jualan produk keluaran syarikat meningkat kepada RM800 juta berbanding RM600 juta pada tahun lalu.

“Sejak LG beroperasi di negara ini pada 2005, kita berjaya melebarkan penguasaan pasaran terutama bagi segmen hiburan rumah seperti televisyen LCD dari setahun ke setahun.

“Oleh itu pada 2010, kami ingin terus memberi tumpuan lebih kepada segmen tersebut bagi mencapai sasaran jualan. Sehubungan itu, beberapa produk televisyen digital diod pemancar cahaya (LED) terbaru akan diperkenal sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Digital LG dengan kerjasama Simee Electric Trading di Medan Ipoh di sini semalam.

Pusat berkenaan menjual pelbagai peralatan keperluan rumah dan aplikasi teknologi terkini LG seperti televisyen LED, peti sejuk, telefon bimbit, penghawa dingin dan mesin basuh.

Dalam pada itu, Khay Huat berkata, dengan pembukaan pusat berkenaan, kerjasama lebih erat bakal terjalin antara LG dan Simee Electric Trading selepas mengadakan kerjasama sejak lebih 18 tahun lalu.

“Saya yakin pembukaan pusat ini bukan sahaja mendekatkan lagi pelanggan dengan produk dan teknologi keluaran LG tetapi juga mengukuhkan penguasaan pasaran kami di utara tanah air,” katanya.

No comments:

Post a Comment