Translate

Sunday, February 28, 2010

Ipoh ramai pengutip bayaran parkir haram


IPOH - Biarpun bandar raya ini telah melaksanakan sistem meletak kereta berbayar secara menyeluruh sejak beberapa tahun lalu namun masih ada segelintir individu yang mengambil kesempatan mengutip bayaran tempat letak kereta secara haram.

Tinjauan Ronda-Ronda Kosmo! mendapati tidak kurang da ripada 10 pengutip bayaran tempat letak kereta haram dikesan beroperasi di Jalan Che Tak, Jalan Laxa mana, Jalan Foo Choo Choon, Jalan Dato' Onn Jaafar, Jalan Tingkat Pasar dan Jalan Sultan Idris.

Mereka kebanyakan adalah kutu rayau, penagih dadah dan kaki mabuk.

Seorang pengguna, Shamsul Azhar Abdul Aziz, 35, berkata, kebanyakan pengutip bayaran tempat letak kereta haram itu berada berhampiran lokasi tumpuan dan strategik di bandar raya ini seperti pasar, restoran dan premis perniagaan.

Katanya, mereka biasanya meminta RM1 sehingga RM2, jauh lebih mahal daripada caj kupon iaitu 60 sen untuk satu jam.

Roslan Hamat, 42, pula berkata, gejala itu sudah dilaporkan MBI namun tiada tindakan diambil.

“Penguatkuasa MBI itu lebih sibuk cari kenderaan yang tiada kupon untuk disaman," katanya.

Maut dirempuh anak saudara

IPOH - Seorang lelaki terbunuh setelah kereta Honda Accord dipandunya bertembung dengan van yang dipandu anak sau daranya di Jalan Ipoh-Lumut dekat Farlim di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.55 malam itu, Chow Yat Meng, 41, dari Kampung Pisang, Pusing dekat sini mati serta-merta di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di ke pala.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, anak saudara, Yat Meng, Chow Hon Win, 19, yang memandu van Perodua Rusa dan penumpang van tersebut, Fong Wai Heng, 22, cedera parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati Hon Win yang memandu van cuba memotong sebuah kereta dihadapannya tetapi gagal lalu ber tembung dengan sebuah kereta yang berada di arah ber tentangan.

“Kebetulan kereta Honda Accord yang dirempuh itu dipandu bapa saudaranya yang dipercayai dalam perjalanan ke Ipoh dari rumahnya di Kampung Pisang,” katanya.

Friday, February 26, 2010

Kajian sel barah di stesen angkasa lepas hampir siap

SERI ISKANDAR - Laporan hasil eksperimen sel barah yang dijalankan angkasawan pertama negara di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) lebih dua tahun lalu bakal diterbitkan dalam masa terdekat.

Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berkata, kajian tersebut yang melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Uni versiti Sains Malaysia (USM) telah siap 80 peratus.

“Laporan tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi dan ia memang memerlukan dua tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah motivasi selaku Ikon Membaca kepada kira-kira 1,000 pelajar sempena perasmian Karnival Pusat Sumber Informasi (IRC) 1Malaysia di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar di sini semalam.

Program selama empat hari bermula kelmarin anjuran Rakan IRC dengan kerjasama Perpustakaan Negara itu dirasmikan Pengarah Perkhidmatan Pelajar UTP, Mohamed Noor Rosli Baharom.

Semasa berada 12 hari di ISS mulai 10 Julai 2007, Sheikh Muszaphar menjalankan eksperimen sel barah iaitu leukemia dan hati serta kajian berkaitan gasing, yoyo dan air di angkasa lepas.

Ketika ditanya oleh salah seorang peserta mengenai keperluan negara untuk angkasawan kedua negara melakukan misi berjalan di angkasa seperti pernah dilakukan seorang angkasawan Asia lain pada 2008, Sheikh Muszaphar berkata, ia tidak perlu.

Beliau berkata, selain tidak mungkin mendapat kebenaran kerana negara bukan ahli gabungan ISS, aktiviti berjalan di angkasa tidak signifikan kepada misi angkasa lepas negara.

“Jika kita mahu menghantar seorang lagi angkasawan, kos kira-kira AS$30 juta (RM102 juta) diperlukan. Dengan kos sebesar itu, misi angkasawan kedua perlu lebih objektif dan berbaloi untuk negara.

“Jika misi saya untuk mengubah persepsi rakyat negara ini terhadap industri aeroangkasa, misi angkasawan kedua mesti lebih besar bukan sekadar berjalan di angkasa atau melakukan kajian sama seperti saya lakukan,” katanya.

Monday, February 22, 2010

Tesco Kampar dilanda banjir lumpur

KAMPAR - Pasaraya Tesco di sini semalam dilanda banjir lumpur setinggi 0.5 meter menyebabkan banyak barangan elektrik dan tujuh buah kenderaan rosak dihanyutkan arus.

Kejadian pukul 8 malam itu turut mengakibatkan ribuan pelanggan yang sedang leka membeli belah panik sebaik melihat banjir yang membawa lumpur, pasir dan sampah sarap dipercayai dari Sungai Kicap melanda pasaraya besar itu.

Jurucakap Tesco berkata, kejadian tersebut berlaku begitu pantas sehingga mereka gagal menyelamatkan banyak barangan elektrik yang diletakkan di paras bawah pasar raya tersebut.

“Orang ramai cuba menyelamatkan diri tetapi dalam sekelip mata mereka dikepung banjir lumpur yang datang dari arah kanan pintu belakang premis tersebut.

"Mereka terperangkap kira-kira setengah jam dalam banjir lumpur itu manakala tujuh buah kereta milik pelanggan yang diletakkan di luar pasar raya berkenaan turut rosak selepas dihanyutkan,” katanya.

Menurut jurucakap itu, pasar raya tersebut akan ditutup selama tiga hari untuk kerja-kerja pembersihan dan jumlah kerugian dianggarkan hampir ratusan ribu riggit.

Peruncit kena syarat beli gula

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengesan terdapat sebilangan pengedar dan pem borong gula mengenakan syarat tertentu kepada peruncit bagi mendapatkan bekalan barangan keperluan tersebut pada musim perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, ke menterian menerima aduan pengedar dan pemborong terbabit mewajibkan peruncit membeli barangan lain sebelum dibenarkan mendapatkan bekalan gula.

“Sehubungan itu kita beri amaran kepada pengedar dan pemborong gula terbabit agar hentikan segera perbuatan mereka.

“Kita tak teragak-agak ambil tindakan tegas termasuk dendda dan batalkan lesen pengedar dan pemborong yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Gerakan Perak di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tuck, Kampung Simee di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Lian Hoe berkata, peruncit juga diminta memaklumkan kepada pihak berkuasa jika terus menjadi mangsa tindakan pembekal atau pemborong gula yang cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan syarat tertentu.

Beliau berkata, bekalan gula adalah mencukupi namun pada masa sama, orang ramai tidak digalakkan membeli gula secara berlebihan.

Wednesday, February 17, 2010

Dua pelajar dipilih Tokoh Nilam Perak

GANJARAN MEMBACA. Nuraimi Nadirah Rohim, 17, dan T. Frieda Violet, 12, dari daerah Larut, Matang dan Selama dinobat sebagai Tokoh Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) Perak di Ipoh baru-baru ini.

Berikutan kejayaan dalam program galakan membaca itu, kedua-duanya telah menerima hadiah wang tunai RM900, trofi, sijil penghargaan dan koleksi buku tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hadiah telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak, Abd. Razak Hassan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Tokoh Nilam, Md. Isa Md. Amain.

Turut menerima hadiah ialah pemenang bagi kategori Sekolah Menengah Bandar, Nor Hanis Aiman Jamaluddin; Zahrul Azman Selamat (Sekolah Rendah Luar Bandar) dan Rehan Asod (Sekolah Kebangsaan Pedalaman).

Kios karavan bantu jualan Mat Kopi


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Jualan serbuk kopi tempatan yang dipasarkan menggunakan jenama Mat Kopi merekodkan perkembangan pesat berikutan pengenalan sistem kios bergerak.

Pengusahanya, Mohamad Ramli, 38, berkata, sejak menjadi pe rintis program Karavan Pasar Tani kelolaan Lembaga Pe masaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Disember lalu, jualan serbuk kopi Mat Kopi telah meningkat sehingga 30 peratus.

“Persembahan yang lebih bersih, kemas dan menarik me nerusi penggunaan karavan sedikit sebanyak telah menarik pelanggan mendekati gerai jualan serbuk kopi saya.

“Malah baru-baru ini ada seorang pelanggan yang berminat untuk menyertai program francais bagi mengembangkan ser buk kopi Mat Kopi di Kuantan, Pahang,”katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kuala Kangsar di sini semalam.

Karavan Pasar Tani merupakan satu konsep baru yang diperkenalkan oleh FAMA bagi membantu peserta Pasar Tani memasarkan hasil pertanian secara bergerak.

Mohamad merupakan salah seorang daripada 20 perintis program Karavan Pasar Tani yang diperkenal baru-baru ini,

Mohamad memproses sendiri serbuk kopi secara tradisional dengan menggunakan resepi keluarga di rumahnya di Simpang Lawin di sini.

Beliau berkata, serbuk kopi Mat Kopi keluarannya mempunyai rasa lebih asli dan berbau harum.

Kopi Mat Kopi dipasarkan dalam dua kategori iaitu kasar dan halus dan dijual dengan harga semurah RM2 untuk 150 gram.

“Satu kilogram serbuk kopi Mat Kopi pula dijual pada harga RM12 dan sambutannya semakin menggalakkan penggunaan karavan berbanding sistem konvensional,” katanya.

Mohamad berkata, selain Pasar Tani Kuala Kangsar, Mat Kopi mempunyai enam cawangan lain iaitu Ipoh, Tapah, Bota, Manjung, Rawang dan Pendang.

Muka Buku Anak Perak anjur program suai kenal

BERKENALAN. Muka Buku Anak Perak (MBAP) yang merupakan salah satu kumpulan sosial laman jaringan sosial, Facebook menganjurkan program suai kenal di Taman Persisiran Sungai Kinta, Ipoh baru-baru ini.

Program sulung yang diatur Penyelaras MBAP, Azizul Hashri itu berjaya menarik kehadiran lebih 30 ahli termasuk dari Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Azizul berkata, MBAP bertujuan untuk mengumpulkan penduduk dan anak kelahiran Perak bagi berkongsi idea demi kemajuan negeri tersebut tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Kini, MBAP sedang menganjurkan pertandingan mereka cipta kain pemidang kumpulan tersebut di Facebook yang menawarkan ganjaran penginapan dua hari semalam di Virgo Teluk Batik, Lumut kepada pemenang.

Lemang Seladang dibuka semula

Selepas mendapat lampu hijau daripada Menteri Besar

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Setelah hampir dua bulan ‘terputus rezeki’ akibat gerai Lemang Seladang dirobohkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akhirnya pengusahanya, Anjang Halim Md. Saman, 58, dibenarkan berniaga semula di tapak asal di persimpangan Taman Soon Choon di sini.

Anjang Halim berkata, kebenaran itu diberikan MBI kira-kira seminggu lalu setelah rayuan beliau mendapat perhatian pel bagai pihak termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

“Syukur kerana dibenarkan berniaga semula.

“Malah MBI secara lisan juga berjanji akan menyediakan tapak tanah berhampiran Hentian Limau Tambun di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini bagi pembinaan gerai kekal Lemang Seladang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! 23 Disember lalu melaporkan gerai Lemang Seladang yang sudah bertapak di Taman Soon Choon di sini lebih 20 tahun lalu, dirobohkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Anjang Halim mendakwa walaupun gerai lemangnya dibina di atas rizab jalan tetapi ia tidak mengganggu lalu lintas malah telah mendapat kebenaran bertulis daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

Dia berkata, walaupun baru beroperasi semula, Lemang Seladang terus mendapat sambutan hangat termasuk daripada pelanggan berketurunan Cina.

Sehubungan itu, dia turut membakar beberapa lemang berwarna merah sempena sambutan Tahun Baru Cina sebagai tanda penghargaan atas sokongan diberikan.

“Setakat ini saya telah menerima banyak tempahan daripada pelanggan Cina untuk menjadikan Lemang Seladang sebagai salah satu sajian dalam majlis rumah terbuka mereka.

“Saya yakin dapat menjual sekurang-kurang 600 batang lemang sepanjang cuti perayaan ini,” katanya.

Lemang Seladang terkenal di bandar raya ini kerana ke enakannya dan menjadi pilihan bukan sahaja penduduk tem patan tetapi juga pelancong asing.

Artis Hollywood, Jodie Foster juga pernah singgah di gerainya untuk menikmati lemang semasa dia melakukan penggambaran filem Anna and The King di bandar raya ini pada tahun 1999.

Sunday, February 14, 2010

Dua menu istimewa Tahun Baru Cina di Hotel Heritage

IPOH - Hotel Heritage di sini menampilkan set hidangan istimewa sempena Tahun Baru Cina dan Hari Kekasih yang kebetulan jatuh pada Ahad ini.

Pengurus Makanan dan Minumannya, Alan Chong berkata, dua pakej ditawarkan bagi set hidangan Tahun Baru Cina pada kadar RM888 dan RM688.

Tambah Alan, setiap set menyajikan lapan hidangan berkonsepkan makanan Cina termasuk Yee Sang ikan salmon bagi hidangan 10 orang.

"Hidangan lain ialah sup sirip ikan yu, ayam panggang stail Mongolia, ikan kerapu kukus kicap, udang goreng mentega dan sayur campur dan cendawan kukus.

"Selain itu turut disajikan nasi goreng dihidang di dalam daun teratai yang beraroma wangi serta manisan buah teratai sebagai pencuci muka," katanya dalam sidang akhbar pada majlis mempromosikan set hidangan Tahun Baru Cina dan Hari Kekasih di sini baru - baru ini.

Katanya, Hotel Heritage turut menampilkan hidangan ala Barat khas untuk pasangan bagi meraikan Hari Kekasih pada 14 Februari.

Beliau berkata, set hidangan Hari Kekasih yang berharga RM138 untuk setiap set tersebut menawarkan tiga pilihan menu utama iaitu dada ayam panggang dengan keju, daging batang pinang dengan sos krim herba dan ikan salmon panggang dengan sos krim lemon.

"Set Hari Kekasih turut menyajikan salad mangga, sup krim labu, roti bawang putih, kek colkat bersalut aiskrim vanila dan sos strawberi dan pilihan air kopi atau teh.

"Pasangan kekasih terbabit akan menikmati hidangan dengan iringan piano yang memainkan lagu-lagu romantik serta pasangan wanita juga akan dihadiahkan kuntuman bunga ros," katanya.

Menurutnya, tempahan boleh dibuat menerusi talian 05-242888 atau melayari laman web www. heritage .com.my.

Pelajar UPM sertai Hari Alam Sekitar

CINTAI ALAM. Sambutan Hari Alam Sekitar peringkat daerah Kinta dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Rosnah Kassim di Padang Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak kelmarin.

Program anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kinta itu turut disertai oleh 140 pelajar Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selaras dengan tema sambutan pada tahun ini Cintai Sungai Kinta, pelajar terbabit telah melakukan penilaian biologi kualiti air di sungai utama sekitar kawasan berkenaan.

Pada program itu juga, Rosnah turut menaja akhbar Kosmo! dan diedarkan secara percuma kepada orang ramai yang datang untuk bersama-sama memeriahkan acara sambutan.

Potong bukit, penduduk dilanda banjir lumpur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KAMPAR - Kerisauan penduduk Taman Seri Kampar di sini kemungkinan dilanda banjir lumpur ekoran kegiatan memotong lereng bukit bagi penanaman semula kelapa sawit sejak hampir tiga bulan lalu akhirnya menjadi kenyataan kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, 36 keluarga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit apabila kenderaan dan perkakas rumah rosak dilanda banjir lumpur setinggi kira-kira 0.3 meter.

Seorang penduduk, K. Suseela, 38, berkata, sebelum kejadian, dia dan enam anaknya terdengar bunyi kuat dari arah bukit di hadapan rumahnya kira-kira 10 minit selepas hujan mula turun.

"Saya cuba lihat keadaan di luar dengan membuka sedikit pintu rumah dan sebaik sahaja dibuka, arus deras masuk ke dalam rumah membawa lumpur , pasir dan tunggul kayu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Suseela berkata, peralatan elektrik seperti televisyen, komputer riba, peti sejuk dan mesin basuh serta pakaian sekolah anak-anaknya turut rosak.

Jirannya, Rosdi Osman, 54, pula memberitahu, banjir melibatkan dua baris rumah dan ia paling buruk sejak taman itu dibuka 20 tahun lalu.

Katanya, selain perabot dan peralatan elektrik, kereta Honda Civic dan dua motosikal miliknya rosak akibat kejadian itu.

Sementara itu, R. Muthalagi, 39, berkata, penduduk telah banyak kali membuat aduan kepada Majlis Daerah Kampar mengenai kegiatan memotong bukit itu tetapi tiada tindakan diambil.

"Jika dibiar berlarutan, ia boleh membahayakan penduduk," katanya.

Nizar masih tidak puas hati, cabar bubar DUN

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Setelah gagal 'menuntut' jawatan Menteri Besar Perak di Mahkamah Persekutuan , Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mencuba pendekatan lain pula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu mencabar Menteri Besar yang sah, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir agar memohon Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan segera.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan saya berhubung Menteri Besar yang sah hari ini (semalam) tidak dapat menyelesaikan kemelut di Perak.

"Sebagai penyelesaian, DUN Perak perlu dibubarkan dan kita (Barisan Nasional dan pembangkang) bertarung semula di ' mahkamah rakyat'," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Tiga lelaki nafi bakar gereja

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Tiga tertuduh kes khianat menggunakan api ke atas dua buah gereja dan sebuah sekolah di sini pada 10 Januari lalu membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Andidi Rosidi, 22, Abdul Fatah Shaharuddin, 29, dan Muhammad Abdul Wahab, 20, yang semuanya penganggur membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Termizi. Mereka diwakili peguam Dr. Naran Singh.

Terdahulu kes tersebut yang sebelum ini dikendalikan oleh Mahkamah Majistret telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen setelah dibenarkan Majistret Syarifah Izura Syed Mashor.

Meor Sulaiman juga membenarkan wang jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh yang diputuskan Syarifah Izura pada 2 Februari lalu dikurangkan kepada RM5,000 setelah meneliti rayuan Naran dan semua tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Taiping di sini pada setiap Sabtu sehingga kes tersebut selesai.

Meor Sulaiman turut menetapkan kes disebut semula pada 9 April ini.

Ketiga-tiga lelaki itu dituduh di bawah Sesyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau didenda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh Muhammad Azreen Rosli, 18, yang diletakkan di Sekolah Akhlak Silibin, Ipoh akan dihadapkan di Mahkamah Juvana di sini atas tuduhan sama pada 24 Mac depan.

Kosmo! pada 3 Februari lalu melaporkan empat penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan melakukan khianat menggunakan api ke atas dua buah gereja dan sebuah sekolah di sini.

Namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Andidi, Abdul Fatah, Muhammad dan Muhammad Azreen yang pada masa itu masih belum diwakili peguam.

Saturday, February 6, 2010

Genap setahun terajui Perak

Dr. Zambry tekad untuk perbanyak program pembangunan

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

HARI ini genap setahun Barisan Nasional (BN) menerajui pemerintahan negeri Perak selepas hampir 11 bulan dikuasai pembangkang.

Sepanjang tempoh itu, Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, namun segalanya berjaya diatasi berkat kesabaran dan kecekalan beliau.

Kesungguhan Zambry dan barisan Exco ditambah komitmen tidak berbelah bahagi penjawat awam yang berkhidmat di Perak sememangnya diakui banyak pihak.

Sejak setahun lalu, pelbagai pelan pembangunan dilaksana demi mewujudkan sebuah negeri makmur yang sentiasa memandang serius aspek pembangunan.

Rata-rata masyarakat teruja malahan ramai penduduk khususnya di ceruk-ceruk kampung mengakui semakin selesa dengan pelbagai pendekatan mesrarakyat yang dilaksana kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor sekadar merendah diri bahkan mengakui tempoh 12 bulan pertama kepimpinannya bukan sesuatu yang perlu dirai kerana masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.

"Sebelas bulan pertama, misalnya, kita letakkan sebagai tempoh percubaan.

"Genap setahun, kerajaan negeri melangkah ke fasa kedua dan segala komitmen akan dilipat ganda selepas ini," katanya pada satu pertemuan dengan pengamal-pengamal media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Ipoh baru-baru ini.

Ujarnya, sepanjang tempoh itu, semua pentadbir negeri telah berusaha gigih untuk melaksanakan apa juga perancangan yang dipersetujui.

Rakyat Perak sendiri kini, katanya mampu menilai dengan bijak apa yang telah dilaksanakan dan percaya penerimaan masyarakat berbilang kaum terhadap kepimpinannya semakin meningkat.

"Tidak dinafikan kita menghadapi pelbagai cabaran terutama penerimaan rakyat yang tidak menyokong.

"Namun berdasarkan lawatan saya ke semua daerah semasa mesyuarat mingguan Exco, rakyat kembali menerima dan mengakui komitmen kita," katanya.

LTSAS menjana ekonomi Perak

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@yahoo.com.my

PEMBUKAAN Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LT SAS) di sini pada 12 Julai lalu telah memberi impak positif kepada ekonomi Perak.

Selain menggalakkan industri pelancongan, perkhidmatan penerbangan itu menarik kehadiran pelabur negara jiran ke negeri itu.

Syarikat penerbangan pertama yang tambang murah tem patan, Firefly Sdn. Bhd. akan melancarkan perkhidmatan penerbangan dua hala Ipoh-Singapura bermula 12 Julai tahun yang sama.

Pelancaran perkhidmatan penerbangan tersebut sememang nya ditunggu warga Singapura kerana memudahkan mereka melakukan urusan perniagaan dan berkunjung ke tempat pelancongan menarik di Perak.

Antara lokasi tempatan yang menjadi kegemaran pelancong negara jiran itu ialah Pangkor Laut Resort di Pulau Pangkor, Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai dan Cameron Highlands, Pahang.

Ia terbukti dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan di anggarkan lebih 70,000 warga Singapura telah menggunakan perkhidmatan penerbangan dua hala tersebut.

Berikutan sambutan hangat berkenaan, perkhidmatan penerbangan Ipoh-Singapura yang dikendali Firefly itu telah diperluas kepada setiap hari mulai September lalu.

Selain itu, perkhidmatan penerbangan kendalian Firefly itu juga telah menarik Persatuan Pengeluar Singapura buat per tama kalinya membuat lawatan perniagaan di Perak pada Disember lalu.

Delegasi perniagaan tersebut berminat untuk menjalin ker jasama strategik dengan pengusaha industri kecil dan se derhana (IKS) Perak bagi memasar dan mempromosi produk buatan tempatan.

Selepas kejayaan Firefly Sdn. Bhd. bertapak syarikat pe nerbangan tambang murah Indonesia, PT Riau Airlines me mulakan perkhidmatan penerbangan dua hala Ipoh-Medan mulai 6 September lalu.

Perkhidmatan penerbangan itu adalah hasil usaha Riau Airlines dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan, Silver Fly Smile Tours (Silver Fly) dengan kekerapan tiga kali se minggu.

Pengenalan laluan baru itu diyakini dapat menyemarakkan lagi industri pelancongan tempatan terutama pelancongan perubatan di Ipoh khasnya.

Kebajikan rakyat jadi keutamaan

KEBAJIKAN rakyat sentiasa mendapat perhatian utama MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sepanjang setahun beliau menerajui negeri.

Beliau yang juga merupakan lulusan Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) sentiasa mencari formula terbaik untuk menangani masalah kemiskinan tegar di kalangan penduduk.

Buktinya Oktober lalu, beliau telah melantik Prof. Shukor Kassim dari Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Penasihat Basmi Kemiskinan Negeri Perak.

Shukor yang merupakan bekas Pengarah Urusan Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) berperanan untuk membina modul dan mekanisme berkesan bagi menangani masalah kemiskinan di negeri berkenaan.

Menerusi modal berkenaan, tumpuan bukan sahaja diberikan untuk membasmi kemiskinan tegar tetapi juga membantu meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Justeru Penunjuk Aras Perubahan (KTI) akan digunakan bagi memantau perkembangan program peningkatan taraf hidup penduduk tersebut.

Selain itu, Zambry juga prihatin dengan nasib pesara polis dan tentera di negeri ini yang masih belum memiliki kediaman sendiri.

Seramai kira-kira 8,000 golongan terbabit dijanjikan tapak tapak rumah menerusi Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) oleh kerajaan negeri pada Ogos lalu.

Kelonggaran khas itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan dan menghargai jasa bekas anggota pasukan keselamatan terbabit.

Projek itu melibatkan tanah seluas 60 hektar di semua 10 daerah di negeri ini dan lokasinya ditentukan pejabat daerah dan tanah masing-masing.

Ekonomi Perak amat memberangsangkan

BIARPUN berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kegawatan ekonomi global dan iklim politik tidak menentu sepanjang 2009, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir masih mampu memacu ekonomi Perak ke tahap membanggakan.

Ini terbukti semenjak Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri pada 6 Februari tahun lalu, Perak berjaya menarik pelaburan kira-kira RM11.6 billion.

Jumlah pelaburan tersebut merupakan peningkatan RM9.1 billion berbanding 2008.

Senario sihat tersebut menunjukkan keyakinan tinggi pelabur asing dan tempatan terhadap potensi ekonomi Perak dan dasar kerajaan negeri.

Antara pelaburan berskala besar yang berjaya ditarik pada tahun lalu ialah persetujuan firma pengeluaran produk bijih besi, Vale berpengkalan di Brazil untuk membuka hab pengeluar dan pengedaran produk bijih besi bernilai kira-kira RM8.5 bilion di Manjung.

Projek tersebut akan menjadikan daerah Manjung hab pe ngeluar dan pengedaran produk bijih besi antara yang terbesar di Asia.

Pusat berkenaan akan dibina di atas sebidang tanah seluas 526.5 hektar di Manjung dan ia dijangka menawarkan se kurang-sekurang 1,800 peluang pekerjaan.

Kerajaan negeri turut menandatangani perjanjian bernilai kira-kira RM100 juta dengan firma bioteknologi India, Saamya Biotech (India) Ltd. (Saamya Biotech) bagi membina kilang pembuatan produk farmaseutikal di Taman Farmasi, Seri Iskandar.

Kilang seluas 5.12 hektar berkenaan akan meng hasilkan produk farmaseutikal seperti Tacrolimus, Rapamycin, Daunomycin dan Asid Hyaluronic yang merupakan bahan digunakan dalam pembuatan ubat-ubatan dan kosmetik.

Sebuah kawasan perindustrian yang berteraskan teknologi maklumat dan informasi (ICT) melibatkan 101 syarikat Korea Selatan juga akan diwujudkan di Ipoh pada masa terdekat.

Projek berimpak tinggi itu yang akan dikenali sebagai Pusat Teknologi Malaysia-Korea (MKTC) akan didirikan di tapak seluas 28.35 hektar di Pangkalan dan Taman Teknologi Meru Raya, Ipoh.

Ia akan menumpukan pada penghasilan produk berasas infrastruktur telekomunikasi dan mampu menarik pelaburan asing kira-kira RM1 bilion.

Thursday, February 4, 2010

Dua lagi ditahan seludup pasir

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Skandal kelulusan permit mengeluarkan pasir di Kuala Kangsar terus terbongkar apabila dua lagi kakitangan agensi kerajaan ditahan reman semalam.

Penahanan kali ini melibatkan seorang Juruteknik Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar (PTDKK) dan Pembantu Teknik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Kangsar.

Kedua-dua suspek tersebut ditahan reman selama lima hari sehingga 7 Februari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kelulusan permit mengeluarkan pasir di daerah tersebut.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak mendapat perintah tahanan reman daripada Majistret Fauziah Hani Ahmad Fauzi pada kira-kira 11 pagi di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu, penguatkuasa SPRM Perak bertindak menahan juruteknik PTDKK terbabit yang berusia 50 tahun di pejabatnya pada kira-kira 4.30 petang kelmarin.

Pembantu Teknik JPS Kuala Kangsar terlibat yang berumur 52 tahun pula ditahan kira-kira 10 minit kemudian ketika sedang bertugas di pejabatnya.

Mereka masing-masing disyaki meminta dan menerima sua pan RM1,000 daripada pengadu sebagai dorongan untuk mem bantu mendapatkan kelulusan pengeluaran pasir di Sungai Menora, Sayong, Kuala Kangsar.

Sebelum ini, dua kakitangan agensi kerajaan lain telah dihukum dan dituduh Mahkamah Sesyen di sini kira-kira dua minggu lalu berkaitan kes sama.

Pembantu Am Rendah (PAR) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Noorazhar Azlan, 48, dipenjara lima bulan dan denda RM30,000 pada 20 Januari lalu setelah didapati bersalah menerima suapan RM6,000 melibatkan kelulusan permit me ngeluarkan pasir.

Manakala seorang pelukis pelan di Jabatan Mineral dan Geosains Perak dituduh di mahkamah sama pada 26 Januari lalu atas tuduhan menerima rasuah RM1,000 bagi membantu pe ngadu sama mendapatkan permit pasir.

Waris nahas bas menangis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Suasana hiba menyelubungi hari pertama pembicaraan pemandu bas ekspres dua tingkat Sani Express, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 37, yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan 10 penumpang maut di Mahkamah Khas Trafik di sini semalam.

Beberapa orang waris korban nahas itu menangis semasa tampil sebagai saksi pendakwa khususnya sewaktu mereka diminta membuat pengecaman gambar mayat sanak saudara masing-masing.

Antara saksi yang tidak dapat menahan air mata ialah Ng Chin Beng yang kehilangan dua anak, Ng Kak Kit, 12, dan Ng Ph Ngoh, 23.

Saksi lain seperti Syed Harun Sa Al Junid yang kehilangan dua anaknya, Sharifah Raheel, 21, dan Sharifah Hasanah, 15, serta Mohd. Sukhary Shaharin yang kematian ibu bapanya, Shaharin Mohd. Noor, 61, dan Supiah Adam, 46, turut kelihatan sugul sepanjang prosiding tersebut.

Mohd. Kamil pula yang pada mulanya tenang semasa berada di kandang tertuduh sekadar menundukkan kepala se panjang waris mangsa memberikan keterangan.

Dalam perbicaraan semalam seramai sembilan saksi pen dakwa terdiri daripada tujuh waris mangsa dan dua anggota polis trafik dipanggil untuk memberi keterangan.

Kosmo! 30 Disember lalu melaporkan Mohd. Kamil mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang di Kilometer 280.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini pada kira-kira 1.23 pagi 26 Disember lalu.

Dia yang berasal dari Taman Setia Jaya, Yan, Kedah didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ib rahim manakala Mohd. Kamil diwakili peguambela, S. Aru mugam dan Khairun Niza Husnin.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah menetapkan tarikh perbicaraan disambung pada 9 Mac selepas pihak pendakwa memohon untuk memanggil 20 lagi saksi kes tersebut.

Wednesday, February 3, 2010

10 sekolah dapat sumbangan buku sains, teknologi

SUMBANG BUKU. Peneraju industri baja, kimia dan far maseutikal negara, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) menyumbang buku sains, teknologi dan kesihatan ber nilai RM30,000 kepada 10 sekolah rendah luar bandar di sekitar Perak baru-baru ini.

Bahan bacaan berkenaan disampaikan Pengarah Urusan CCM, Datuk Dr. Mohd. Hashim Tajudin kepada guru besar sekolah rendah terbabit sambil disaksikan Pengarah Pelajaran Perak, Mohd Radzi Abd Jabar.

Mohd. Hashim berkata, sumbangan buku berkenaan adalah sebahagian komitmen syarikatnya untuk memberi peluang pembelajaran kepada murid sekolah luar bandar.

“Kami sedar masih banyak sekolah rendah luar bandar yang kekurangan bahan bacaan untuk faedah murid-murid. Diharap sumbangan buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris ini dapat menyemai tabiat membaca di kalangan kanak-kanak luar ban dar,” katanya.

Tuesday, February 2, 2010

Dura revolusi struktur asas binaan

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Syarikat kejuruteraan tempatan, Dura Technology Sdn. Bhd. menghasilkan salur konkrit berprestasi ultra tinggi (UHPDC) yang didakwa merevolusi struktur asas binaan seperti jambatan dan bangunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Dura Techonolgy, Seow Aik Guan berkata, inovasi pembuatan salur konkrit bermutu tinggi berkenaan adalah pertama dihasilkan di negara ini.

Beliau berkata, UHPDC dipatenkan dengan jenama Dura berikutan program penyelidikan dan pembangunan syarikat terbabit sejak tiga tahun lalu.

“Kejuruteraan UHPDC digunakan secara meluas dalam in dustri pembinaan di negara maju seperti Amerika Syarikat sejak 15 tahun lalu.

“Dura Techology merupakan syarikat pertama di Asia Teng gara menghasilkan salur konkrit tersebut dengan beberapa pengubahsuaian agar sesuai dengan kejuruteraan dan iklim tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel UH PDC kepada warga Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di ibu pejabat Dura Technology di Chemor di sini semalam.

Dalam bengkel tersebut, Pengarah Teknikal Dura Techology, Dr. Voo Yen Lei memberi penerangan mengenai teknologi tersebut kepada kira-kira 100 jurutera JKR Perak terbabit.

Aik Guan berkata, UHPDC diperbuat daripada campuran simen Portland, pasir, fiber keluli dan serbuk silika yang diadun menerusi teknologi mikro granular.

Beliau berkata, salur konkrit jenama Dura terbukti lebih kukuh, tahan lama, menjimatkan kos dan masa, mesra alam dan berpotensi tinggi digunakan secara meluas dalam industri pembinaan negara.

“Produk UHPDC keluaran Dura Techology telah digunakan untuk membentuk bingkai pintu gerbang bangunan dan pem binaan jambatan di Perak.

“Ia juga sesuai dalam pembinaan infrastruktur lain seperti laluan pejalan kaki, tangki penyimpan, kontena dan geladak serta dinding kapal marin,” katanya.

Monday, February 1, 2010

LG tingkatkan 30 peratus jualan

IPOH - Pengeluar peralatan elektrik, LG Electronics (M) Sdn. Bhd. (LG) menyasar sekurang-kurangnya 30 peratus peningkatan jualan produk elektrik jenama itu pada tahun ini.

Pengurus Besar LG, Chee Khay Huat berkata, berdasarkan unjuran tersebut, pihaknya menjangka jualan produk keluaran syarikat meningkat kepada RM800 juta berbanding RM600 juta pada tahun lalu.

“Sejak LG beroperasi di negara ini pada 2005, kita berjaya melebarkan penguasaan pasaran terutama bagi segmen hiburan rumah seperti televisyen LCD dari setahun ke setahun.

“Oleh itu pada 2010, kami ingin terus memberi tumpuan lebih kepada segmen tersebut bagi mencapai sasaran jualan. Sehubungan itu, beberapa produk televisyen digital diod pemancar cahaya (LED) terbaru akan diperkenal sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Digital LG dengan kerjasama Simee Electric Trading di Medan Ipoh di sini semalam.

Pusat berkenaan menjual pelbagai peralatan keperluan rumah dan aplikasi teknologi terkini LG seperti televisyen LED, peti sejuk, telefon bimbit, penghawa dingin dan mesin basuh.

Dalam pada itu, Khay Huat berkata, dengan pembukaan pusat berkenaan, kerjasama lebih erat bakal terjalin antara LG dan Simee Electric Trading selepas mengadakan kerjasama sejak lebih 18 tahun lalu.

“Saya yakin pembukaan pusat ini bukan sahaja mendekatkan lagi pelanggan dengan produk dan teknologi keluaran LG tetapi juga mengukuhkan penguasaan pasaran kami di utara tanah air,” katanya.