Translate

Monday, January 25, 2010

Lelaki lumpuh mati dibunuh

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang warga emas yang lumpuh separuh badan ditemui mati dibunuh di sebuah tokong tinggal di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan II, Jelapang di sini semalam.

S. Kanavathy, 53, yang merupakan seorang penganggur ditemui mati pukul 2 petang dengan beberapa kesan kecederaan di tengkuk, kepala dan tangan dipercayai ditetak dengan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan berlumuran darah dan terduduk di salah kerusi.

“Mangsa telah ditetak beberapa kali dengan objek tajam. Bagaimanapun tiada sebarang senjata ditemui.

“Mangsa mungkin telah dibunuh malam tadi (kelmarin) dan puncanta masih disiasat," katanya kepada pemberita semalam.

Azizman berkata, polis percaya Kanavathy menetap di tokong itu setelah penjaganya meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, abang mangsa, S. Shannumugam, 60, mem beritahu adiknya yang lumpuh sebelah kiri badan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira 15 tahun lalu menetap di tokong tinggal berkenaan sejak sebulan setengah lalu.

Beliau berkata, sebelum itu, adiknya tinggal di rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

"Dia kemudiannya telah keluar dari rumah saya dengan alasan mahu berdikari.

"Kali terakhir berjumpa dengannya pada minggu lepas, saya ada beri pinjam RM100 kepada dia untuk mendapatkan rawatan sakit belakang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambahnya, adik ketiga daripada enam beradik itu berubah menjadi murung dan mula mengambil minuman keras secara berlebihan setelah berpisah dengan isteri dan lima anaknya sejak kemalangan itu.

“Bagaimanapun tabiat buruk itu sudah banyak berkurangan beberapa tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment