Translate

Saturday, January 2, 2010

Kartika ingin bertemu sultan


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang masih menunggu hukuman sebat ke atasnya sejak lebih lima bulan lalu berharap dapat bertemu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Menurutnya, jika diberi peluang, dia mahu meluahkan tekanan perasaan yang dilalui kepada baginda selain ingin mengetahui sebab kelewatan pelaksanaan hukuman itu.

"Saya sama sekali tidak mahu hasrat ini disalah erti sebagai mahu meraih simpati daripada baginda tetapi semata-mata ingin menyelesaikan masalah yang membelenggu saya dan keluarga dengan kadar segera," katanya ketika menghubungi pejabat Kosmo! di sini semalam.

Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan pada saat-saat akhir ketika dia sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang, Selangor dari Ipoh, Perak pada 24 Ogos lalu. Penangguhan itu dibuat dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan dan sebagai menghormati bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Kartika mengakui dia kini semakin tertekan kerana sedang dalam proses perceraian dengan suaminya, Mohamad Afandi Amir, 38.

Dia mengesahkan suaminya telah melafazkan cerai di rumah mereka di Singapura pada pertengahan tahun lalu namun tidak mengingati tarikh kejadian berkenaan.

“Saya kini dalam proses untuk menfailkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar dalam masa ter dekat tetapi tidak pasti sama ada Mohamad Afandi yang kini berada di Singapura dapat hadir.

“Saya benar-benar tertekan kerana dan mohon jasa baik semua pihak termasuk pihak berkuasa agama di Pahang lihat sendiri nasib yang menimpa diri saya ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment