Translate

Saturday, January 9, 2010

Ibu tunggal bebas tuduhan bunuh bunuh


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang ibu tunggal dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan membunuh seorang lelaki dipercayai teman lelakinya kira-kira dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman Chong Siew Kim memerintahkan Wong Lai Leng, 53, dibebaskan daripada tuduhan membunuh Risham Abdullah, 63, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati banyak kepincangan dan keraguan dalam kes pendakwaan yang gagal ditangani Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin.

Antara perkara yang mencacatkan adalah kegagalan pihak pendakwa mengemukakan salinan asal laporan kimia dan kad pengenalan mangsa kepada mahkamah.

Selain itu isu akses ke bilik yang merupakan lokasi mayat Risham ditemui juga gagal dijawab sepanjang perbicaraan biarpun penyewa bilik tersebut telah dipanggil sebagai saksi.

Berdasarkan fakta kes Risham ditemui mati dengan kesan ditetak di salah sebuah bilik di rumah Lai Leng pada 3 Disember 2008.

Dalam kejadian antara 2 petang hingga 6 petang itu, anggota polis yang membuat serbuan menemui tertuduh terbaring di atas katil di dalam bilik bersebelahan dalam keadaan trauma dan sebahagian pakaiannya mempunyai kesan darah.

Lai Leng didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Lai Leng yang ditemui selepas dibebaskan menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kepada peguam belanya, Dr. Naran Singh.

“Walaupun sebelum ini saya agak gemuruh tetapi saya yakin dengan kebolehan peguam bela saya, Naran. Ia umpama hadiah tahun baru dan saya berhasrat untuk meluangkan masa ber sama keluarga selepas ini,” katanya.

Kosmo! 5 Disember 2008 melaporkan Risham ditemui mati setelah bertengkar dengan Lai Leng di rumah wanita itu di Taman Ipoh Selatan.

Menurut seorang jiran yang enggan dikenali mendengar bunyi hingar-bingar dan lelaki itu dan tertuduh saling memaki hamun antara satu sama lain setengah jam sebelum mangsa ditemui terbunuh.

No comments:

Post a Comment