Translate

Sunday, January 10, 2010

Empat bas hangus dibakar

IPOH - Dua buah syarikat bas melaporkan kerugian ratusan ribu ringgit apabila empat buah bas henti-henti milik mereka musnah dalam kebakaran yang dipercayai angkara khianat awal pagi semalam.

Kejadian pukul 3.30 pagi di Stesen Bas Medan Kidd di sini itu melibatkan tiga buah bas milik Reliance Omnibus Company Sdn. Bhd. (Reliance Omnibus) manakala sebuah lagi milik Kinta Omnibus Company Sdn. Bhd. (Kinta Omnibus).

Turut terbakar ialah kaunter tiket Reliance Omnibus dan sebahagian daripada tingkat dua stesen bas tersebut yang menempatkan pejabat syarikat bas terbabit.

Selain itu, sebuah gerai menjual kacang putih milik L. Puvanesvari, 46, yang baru tiga hari beroperasi turut terbakar.

Ketua Pengawal Keselamatan Medan Kidd, Yeo Sin Hock, 49, berkata, beliau yang bertugas bersama dua pengawal ke selamatan lain menyedari kebakaran itu setelah dimaklumkan dua individu yang melihat kepulan asap dari luar kawasan stesen.

“Sepanjang kami berkawal pada awal pagi tadi (semalam), memang tidak kelihatan sesiapa pun berada di sekitar stesen bas ini.

“Kami cuma nampak sebuah lori memasuki Medan Kidd untuk mengambil tayar celup dan keluar dari sini kira-kira 3 pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di tempat kejadian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Reliance Omnibus Company, Mohd. Syaiful Abdullah pula mendakwa ada kelibat manusia sempat dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) selain pintu depan dua buah bas miliknya didapati dalam keadaan terbuka.

“Kami tidak percaya ia berpunca daripada litar pintas kerana semua bas henti-henti laluan Ipoh-Kuala Kangsar itu telah menghentikan operasi pada kira-kira 7 malam sedangkan kejadian tersebut hanya bermula kira-kira lapan jam kemudian,” katanya.

Beliau turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Ahmad Roszani Hat berkata, dua jentera bomba telah bergegas ke tempat kejadian pada kira-kira 3.54 pagi setelah menerima maklumat mengenai kebakaran terbabit 10 minit sebelum itu.

Tindakan pantas pihak bomba berjaya mengelak lebih banyak bas yang diletakkan di stesen bas terbabit turut hangus dalam kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment