Translate

Wednesday, December 2, 2009

Mahkamah tolak saman 817 bekas ketua kampung

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak dengan kos permohonan saman 817 bekas ketua kampung daripada Pakatan Rakyat (PR) terhadap kerajaan negeri Perak yang kini diterajui Barisan Nasional (BN) kerana menamatkan perkhidmatan mereka pada 16 April lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim berkata, ketua kampung bukanlah penjawat awam yang kekal dalam jawatan dan pelantikan mereka dibuat secara pentadbiran dan perhitungan politik oleh kerajaan negeri yang memerintah.

"Selaku penghubung antara kerajaan dan rakyat, individu yang dilantik sebagai ketua kampung perlulah selari dengan arus politik semasa.

"Apabila kerajaan negeri berubah polisi pun berubah. Ketua kampung baru berhak dipilih kerana faktor kesetiaan kepada kerajaan memerintah perlu diambil kira," katanya ketika membaca keputusan secara bertulis di sini semalam.

Ridwan berkata, walaupun watikah pelantikan ketua kampung yang disampaikan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada Julai 2008 berkuat kuasa selama dua tahun tetapi ia bersyarat.

Beliau berkata, pelantikan jawatan tersebut adalah atas budi bicara Menteri Besar Perak dan ketua kampung terlibat sedia maklum terma tersebut kerana Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pentadbiran), Datuk Mohd. Jamal Mahusin sebelum itu telah memberi taklimat kepada semua ketua kampung.

Plaintif diwakili Leong Chock Keng dan Chan Kok Keong  manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ka mal Md. Shahid dan Zulkarnain Hassan mewakili kerajaan negeri Perak. Permohonan Chock Keng untuk mengetepikan keputusan  mahkamah agar plaintif perlu membayar kos kepada defendan  juga ditolak Ridwan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ketua  Kampung PR, Mohd. Ridzuan Asit, 43, berkata, beliau akan  membuat rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah  Tinggi itu.

1 comment:

  1. Kepada semua ketua kampung tersebut, redalah..ada rezeki adalah..kalau tiada, apa nak buat..sabarlah cara terbaik..

    ReplyDelete