Translate

Tuesday, December 1, 2009

Kerajaan negeri Perak tetap bantu

BIARPUN kecewa dengan sikap tidak profesional pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), kerajaan negeri Perak tetap mahu memastikan skuad Seladang layak menyertai Liga Super musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Zainol Fadzi Paharuddin berkata, beliau telah diarahkan untuk menyelesaikan kemelut tersebut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.

Menurutnya, beliau telah selesai mendapatkan maklumat tentang masalah skuad bola sepak Perak daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa agensi lain.

"Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan agensi terlibat dan alternatif terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan telah dikenalpasti.

"Biarpun tidak mendapat kerjasama baik daripada Presiden Pafa, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, insya-allah skuad Perak akan menyertai Liga Super pada musim depan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zainol Fadzi berkata, kerajaan negeri Perak yang diterajui Barisan Nasional (BN) sentiasa mencari jalan menangani krisis kewangan Pafa demi kemajuan dan pembangunan bola sepak negeri tersebut tanpa perlu menuding jari dan menyalahkan orang lain.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pafa berkata, ia bertentangan dengan sikap Mohammad Nizar yang didakwa tidak mahu berundur daripada kerusi Presiden Pafa semata-mata untuk menjadikan persatuan tersebut sebagai platform politiknya.

"Mohamad Nizar mahu kerajaan negeri bantu menangani krisis kewangan Pafa tetapi dengan cara yang tidak beradab dan beradat.

"Kenyataan beliau yang kononnya sedang mengusahakan sebidang tanah untuk Pafa di Jelapang juga amat mengelirukan. Umum sudah mengetahui tanah seluas 4.4517 hektar telah dikurnia kerajaan negeri untuk dijadikan Kompleks Bola Sepak Perak pada 1998," katanya.

No comments:

Post a Comment