Translate

Tuesday, December 1, 2009

Kementerian bela guru

SHAH ALAM - Kerajaan sedia mempertahankan Jabatan Pelajaran Negeri Perak serta guru-guru yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman RM105 juta oleh tiga bapa mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar pada 26 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedaya upaya akan membantu guru terbabit kerana yakin mereka mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan ketika program perkhemahan itu diadakan.

"Kita terpaksa lawan dan saya pertahankan guru-guru dan Jabatan Pelajaran Negeri yang telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya dalam operasi menyelamat yang melibatkan 500 orang semuanya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bapa tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta.

Ketiga-tiga mereka, K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan masing-masing ialah bapa kepada mendiang M. Dava Dharshini, 11, V. Divyashree, 12, serta N. Dina Deve, 11.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan dan Pengarah Pelajaran Perak.

Dalam kejadian pada 26 Oktober itu, ketiga-tiga murid terbabit adalah antara 298 murid tahun empat, lima dan enam dari seluruh Kinta Selatan yang mengikuti Perkhemahan 1Malaysia selama empat hari di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan.

Menurut Mohd. Puad, guru tidak wajar dipersalahkan kerana mereka yang terlibat dalam program itu turut sama menyelamatkan mangsa dan bukan seperti laporan sebelum ini yang mendakwa tiada guru yang menghulurkan bantuan.

Mohd. Puad berkata, pihaknya telah menyerahkan siasatan dan tindakan lanjut berhubung tragedi jambatan runtuh kepada Jabatan Kerja Raya kerana ia dibuat oleh syarikat kontraktor hasil sumbangan pihak tertentu dan bukan Jabatan Pelajaran Negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam tragedi berkenaan daan menganggap kes saman adalah hak ibu bapa terlibat.

"Cuma di sini saya ingin katakan bahawa cukup jelas tindakan saman mereka ini adalah kerana dihasut oleh pembangkang untuk mencemarkan nama baik Kementerian Pelajaran," katanya.

Sementara itu di Bangi, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, tindakan menyaman itu hak keluarga mangsa. Beliau enggan mengulas selanjutnya kerana ia sudah melibatkan kes mahkamah.

Di Ipoh pula, kerajaan negeri Perak akur dengan keputusan ke luargas tiga mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Kampar dekat sini pada 26 Oktober lalu menfail saman di Mahkamah Tinggi di sini kelmarin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, secara moralnya, keluarga mangsa terbabit berhak untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan kematian anak mereka.

“Saya faham kehilangan anak amat sukar diterima. Kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk melindungi mana-mana pihak yang menyebabkan tragedi tersebut.

“Bagaimanapun kerajaan negeri tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan menjadikan tragedi tersebut sebagai agenda peribadi mahupun politik,” katanya.

No comments:

Post a Comment