Translate

Wednesday, December 23, 2009

Industri buluh jana RM53 bilion


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Industri buluh negara dijangka berkembang pesat dan mampu menjana pendapatan sehingga RM53 bilion setahun pada 2020 berbanding RM22.8 bilion sekarang.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr. Jalaluddin Harun berkata, produk berasaskan buluh tempatan kini mendapat permintaan tinggi daripada luar negara khususnya Eropah.

"Walaupun industri buluh tempatan masih baru, ia berkembang dengan begitu pesat sekali. Jika dulu, buluh hanya digunakan untuk menghasilkan pencungkil gigi, lidi sate, layang-layang dan kayu penyepit, kini sudah banyak pembaharuan memberangsangkan berlaku.

"Pemain industri tempatan juga semakin kreatif menghasilkan pelbagai produk berasaskan buluh seperti perabot yang setanding dengan produk kayu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Pembangunan Industri Buluh yang disempurnakan oleh Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar di sini semalam.

Bagaimanapun Jalaluddin memberitahu, sumber buluh tempatan agak terhad dan kebanyakannya tumbuh meliar di Hutan Simpan Chepa dan Hutan Simpan Bintang Hijau di Kedah dan Hutan Simpan Temenggor di Hulu Perak.

Oleh itu, untuk memastikan kelangsungan industri buluh negara, beliau mencadangkan agar projek perladangan buluh dilaksanakan.

"Di negara ini, buluh tumbuh secara meliar dan tidak dibangunkan secara sistematik bagi tujuan komersial. Kita bimbang jika sistem pengambilan sumber begini berterusan, ia akan menimbulkan konflik alam sekitar.

"Masalah ini boleh selesai dengan pembukaan ladang buluh. Tumbuhan ini boleh dikomersialkan kerana tempoh matang rumpunan buluh dua hingga lima tahun sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment