Translate

Thursday, December 31, 2009

Mayat bayi dibuang bagai sampah

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Penduduk Pangsapuri Ashby, Jalan Hospital di sini gempar dengan penemuan mayat bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan di dalam salah sebuah tong sampah yang terdapat di pangsapuri tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mayat bayi yang masih bertali pusat tersebut ditemui seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), K.Rajasekaran, 46, yang memungut sampah di kawasan perumahan terbabit.

Rajasekaran berkata, dia dan rakannya seperti biasa memungut sampah dalam tong sampah di pangsapuri tersebut sebelum dimasukkan ke dalam lori disediakan.

Dia berkata, semasa alat pengasing lori sedang memproses sampah yang terdapat di dalam tong sampah kedua di Blok 5, kawasan perumahan terbabit tiba-tiba satu objek kecil ter jatuh.

“Pada mulanya saya ingatkan kepala ikan tapi mayat bayi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, sejurus kemudian, dia dan beberapa pekerja am MBI lain terus melaporkan penemuan tersebut di Balai Polis Sungai Senam, disini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan awal polis mendapati mayat bayi perempuan tersebut dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata, mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menjalani bedah siasat dan setakat ini masih tiada suspek ditahan dan pihak polis sedang giat mengesan ibu bayi terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malaysia perlu ubah sistem persekolahan jadi satu sesi

IPOH - Tokoh akademik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad menyarankan kerajaan agar mengubah sistem persekolahan negara kepada satu sesi keranai a selaras dengan konsep 1Malaysia.

Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pelajaran itu berkata, dengan sasaran menjadi negara maju pada 2020, sudah tiba masanya sistem pendidikan negara mengalami tranformasi bagi memantapkan proses penyediaan modal insan.

"Tiada satu pun negara maju di dunia ini yang mengamalkan sistem dua sesi seperti diamalkan negara sekarang. Sistem persekolahan kita mempunyai dua sesi kerana faktor sejarah berikutan pada awal kemerdekaan negara kita tak cukup sekolah, tapi itu cerita 52 tahun dulu...keadaan sekarang sudah jauh berubah," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kertas kerja Ruang Pembelajaran Baru : Reformasi dan Tranformasi Masa Depan Pendidikan Malaysia yang dibentangkan Pengerusi Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Profesor Dr. Abdul Rashid Mohamed di sini semalam.

Pada pembentangan kertas kerja sempena Seminar Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Guru 2009 itu, Abdul Rashid yang juga Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Sains Malaysia mencetuskan beberapa pendekatan baru dan dinamik untuk merealisasikan idea tersebut.

Abdul Rahman yang juga Pro Canselor UPSI berkata, menerusir sistem sekolah satu sesi, pelajar dan guru boleh menjalankan kegiatan akademik dan kokurikulum sepanjang waktu sekolah tanpa menganggu cuti hujung minggu mereka.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata, dengan jadual waktu yang panjang, kelas agama dan bahasa ibunda boleh diwujudkan untuk dipelajari pelajar tanpa mengira kaum.

Wednesday, December 23, 2009

Selepas 20 tahun tiada lagi Lemang Seladang

IPOH - Kelazatan lemang Seladang mungkin tidak dapat dirasai lagi oleh orang ramai khususnya penduduk bandar raya ini apabila gerai yang sudah bertapak di Taman Soon Choon di sini lebih 20 tahun lalu, dirobohkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Pengusahanya, Anjang Halim Md. Saman, 57, mendakwa, gerai lemangnya telah dirobohkan MBI pada pukul 8 pagi tanpa sebarang notis pemberitahuan.

"Walaupun gerai lemang saya dibina di atas rizab jalan tetapi ia tidak mengganggu lalu lintas malah saya telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

"Saya ikut semua syarat ditetapkan JKR Perak. Lagi pun saya telah berniaga di sini sejak 20 tahun lalu, kenapa sekarang baru hendak dirobohkan," katanya ketika ditemui di tapak gerainya yang telah diroboh.

Lemang Seladang terkenal di bandar raya ini kerana keenakannya dan menjadi pilihan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pelancong asing seperti Hong Kong, Australia dan Singapura.

Artis Hollywood, Jodie Foster juga pernah singgah di gerainya untuk menikmati lemang semasa dia melakukan penggambaran filem Anna and The King di bandar raya ini pada tahun 1999.

Anjang Halim yang merupakan seorang pesara mendakwa tindakan MBI merobohkan gerainya menyebabkan dia kerugian hampir RM15,000 selain kehilangan sumber pendapatan utama.

Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Kelab Peminat Bola Sepak Perak berkata, lemang yang dinamakan sempena gelaran skuad bola sepak Perak mendapat sambutan hangat dan dapat dijual sehingga 4,000 batang pada musim perayaan.

Katanya, dia juga berniaga pada setiap Sabtu dan Ahad sejak dua tahun lalu dan mampu menjual purata 60 batang lemang pada dua hari tersebut.

"Saya kesal tindakan MBI ini. Sekarang saya buntu untuk meneruskan perniagaan tradisional ini," katanya.

Sementara itu Pengarah JKR Perak, Datuk Ir. Safry Kamal Ahmad dalam surat kebenaran bertulisnya pada 11 Disember lalu memberitahu pihaknya tidak keberatan untuk membenarkan gerai Lemang Seladang beroperasi di lokasi terbabit.

Bagaimanapun beliau memberi syarat saiz gerai berkenaan tidak diperbesar dan melarang sebarang pokok ditanam di kawasan tersebut.

Industri buluh jana RM53 bilion


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Industri buluh negara dijangka berkembang pesat dan mampu menjana pendapatan sehingga RM53 bilion setahun pada 2020 berbanding RM22.8 bilion sekarang.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr. Jalaluddin Harun berkata, produk berasaskan buluh tempatan kini mendapat permintaan tinggi daripada luar negara khususnya Eropah.

"Walaupun industri buluh tempatan masih baru, ia berkembang dengan begitu pesat sekali. Jika dulu, buluh hanya digunakan untuk menghasilkan pencungkil gigi, lidi sate, layang-layang dan kayu penyepit, kini sudah banyak pembaharuan memberangsangkan berlaku.

"Pemain industri tempatan juga semakin kreatif menghasilkan pelbagai produk berasaskan buluh seperti perabot yang setanding dengan produk kayu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Pembangunan Industri Buluh yang disempurnakan oleh Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar di sini semalam.

Bagaimanapun Jalaluddin memberitahu, sumber buluh tempatan agak terhad dan kebanyakannya tumbuh meliar di Hutan Simpan Chepa dan Hutan Simpan Bintang Hijau di Kedah dan Hutan Simpan Temenggor di Hulu Perak.

Oleh itu, untuk memastikan kelangsungan industri buluh negara, beliau mencadangkan agar projek perladangan buluh dilaksanakan.

"Di negara ini, buluh tumbuh secara meliar dan tidak dibangunkan secara sistematik bagi tujuan komersial. Kita bimbang jika sistem pengambilan sumber begini berterusan, ia akan menimbulkan konflik alam sekitar.

"Masalah ini boleh selesai dengan pembukaan ladang buluh. Tumbuhan ini boleh dikomersialkan kerana tempoh matang rumpunan buluh dua hingga lima tahun sahaja," katanya.

Tuesday, December 22, 2009

Tapak rumah RPT Perak diseleweng - Exco


IPOH - Kerajaan negeri Perak mendakwa kemungkinan ada penye lewengan dalam senarai penduduk yang layak mendapat tapak rumah di bawah Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, ICT, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak Datuk Hamidah Osman berkata, dakwaan itu berasas kerana pihaknya mendapati ada nama peserta RPT ditukar kepada individu yang tidak berhak.

Ia katanya melibatkan sekurang-kurang 100 peserta daripada kira-kira 50 PRT seluruh negeri ini.

“Siasatan awal mendapati kebanyakan kes senarai nama peserta RPT telah ditukar dan diganti kepada individu yang tidak berhak itu terjadi semasa Pakatan Rakyat menerajui kerajaan negeri.

“Oleh kerana tapak tanah itu masih belum diberi, kerajaan negeri buat keputusan semak semula senarai tersebut. Jika terbukti benar dakwaan itu, tindakan tegas akan diambil termasuk menggugurkan senarai peserta terbabit,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, walaupun sesiapa sahaja anak jati Perak layak memohon menyertai RPT, kelulusan hanya diberi kepada individu yang memenuhi syarat ditetapkan seperti masih tidak mempunyai kediaman sendiri dan tapak rumah.

Menurutnya, setiap pemohon akan melalui beberapa siri saringan seperti temuduga dan seterusnya senarai nama pe serta RPT berpotensi terbabit dipamerkan di Pejabat Penghulu dan Pejabat Tanah dan Daerah dalam tempoh sebulan untuk proses bantahan.

“Jika tiada bantahan yang munasabah baru senarai peserta berkenaan dibawa untuk kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah peringkat daerah.

“Memang tidak pernah menjadi dasar kerajaan negeri untuk pilih kasih dan mengamal sistem kouta dalam pemberian tapak tanah dalam skim RPT ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hamidah mengesahkan tiga ketua kampung dari Kampung Sungai Itek, Pintu Padang dan Jelintoh dan seorang pemimpin parti politik tempatan ter senarai dalam senarai awal peserta RPT Kampung Sungai Itek, Gopeng dekat sini.

Ketua Wanita UMNO Gopeng itu berkata, siasatan awal mendapati nama terbabit dicadangkan sendiri oleh Pegawai Daerah Kampar, Ahmad Kamaruzzaman Hamzah tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

“Namun kelulusan masih belum di beri memandangkan ia masih dalam proses bantahan," ujarnya sambil menambah, kerajaan negeri akan memanggil Pegawai Daerah Kampar dalam masa terdekat untuk memberi penjelasan.

Monday, December 21, 2009

Pusingan kedua gabung bank

IPOH - Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah tidak menolak kemungkinan berlaku pusingan kedua penggabungan bank-bank tempatan dalam masa terdekat.

Beliau mengakui Bank Negara sedang merencana pelan induk kewangan yang bertujuan untuk memperkukuhkan institusi perbankan negara.

"Sistem perbankan negara semakin lama semakin terbuka, contohnya baru-baru ini kita telah meluluskan dua lesen bank komersial dan lima bank Islam asing.

"Sehubungan itu, bank-bank tempatan perlu diperkukuh melalui pelan induk kewangan. Bagaimanapun, disebabkan ia di bawah bidang kuasa Bank Negara, biarlah Bank Negara menjelaskannya," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebenaran yang diberi kepada Hong Leong Bank Berhad baru-baru ini untuk memulakan rundingan ke arah kemungkinan mengambil alih aset, liabiliti dan ekuiti dalam EON Capital Berhad.

Penganalisis ekonomi tempatan dilaporkan melihat senario tersebut sebagai isyarat kepada permulaan pusingan kedua penggabungan bank tempatan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Husni menyeru agar rakyat memahami cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal diperkenal pada suku ketiga 2011 bukanlah pe nambahan satu lagi cukai yang akan membebankan.

Beliau menjelaskan GST akan mengantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang diamalkan negara pada masa ini.

“GST terbukti lebih murah untuk pengguna dan pemain industri daripada cukai jualan dan perkhidmatan. Malah ia mampu memberi perolehan yang lebih kepada kerajaan yang kemudiannya akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk peruntukan dan bajet,” katanya.

Kereta remuk: Dua sahabat maut

IPOH - Dua sahabat termasuk seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang, Jelapang di sini semalam.

Dua mangsa yang terkorban ialah Meor Mohammad Azlan Meor Ahmad Sabri, 21, pelajar tahun dua jurusan Perakaunan, UiTM Shah Alam, Selangor dan Mohd. Zul Akmar Ali, juga 21 tahun.

Dua lagi sahabat mereka yang hanya dikenali sebagai Farid dan Zul cedera parah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, semua mangsa yang menaiki kereta Toyota Corolla dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Gugusan Manjoi di sini.

Kumpulan empat sahabat itu dikatakan dalam perjalanan dari Sitiawan dekat sini.

"Sampai di persimpangan Puncak Jelapang kira-kira lima kilometer dari Gugusan Manjoi, tiba-tiba sebuah kereta yang cuba memotong kenderaan lain terbabas memasuki laluan empat sahabat itu.

"Azlan yang memandu kereta itu cuba mengelak tetapi ia merempuh pembahagi jalan," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, akibat rempuhan terbabit, kereta Toyota Corolla terbabit remuk teruk.

Azlan yang cedera teruk di kepala dan leher mati serta-merta di tempat kejadian.

Rakannya, Mohd. Zul Akmar yang duduk di sebelah kanan tempat duduk belakang pula meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Azisman memberitahu, dua lagi penumpang yang dikenali sebagai Farid dan Zul cedera parah dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB.

Sementara itu bapa Meor Mohammad Azlan, Meor Ahmad Sabri Meor Mohd, 53, yang ditemui berkata, anaknya keluar dari rumah setelah dijemput kawan-kawan di rumahnya di Kampung Dato’ Ahmad Said, Manjoi di sini pada kira-kira 9.45 malam.

"Pukul 3 pagi anak saya tidak balik lagi, saya sudah rasa tidak sedap hati.

"Apabila saya menghubungi Azlan tidak ada jawapan," katanya ketika ditemui rumahnya di sini semalam.

Jenazah Meor Mohammad Azlan dan Mohd. Zul Akmar dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar di sini pada kira-kira 2.30 petang semalam.


Bila hendak sebat? - Kartika

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, merayu sekali lagi kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya hukuman sebat ke atas dirinya dapat disegerakan setelah lima bulan menunggu.

Menurutnya Kartika Sari Dewi, akibat terlalu lama menunggu, segala urusan peribadinya termasuk kembali di sisi suami di Singapura tertangguh.

“Pihak JAIP tak pernah maklumkan apa-apa perkembangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kartika berkata, tindakan JAIP melengah-lengahkan pelaksanaan hukuman sebat tersebut sedikit sebanyak telah menyeksakan nuraninya.

Akhbar semalam melaporkan JAIP masih gagal melaksanakan hukuman sebat terhadap Kartika berikutan kesalahan meminum arak biarpun sudah lima bulan keputusan dibuat.

Pada 24 Ogos lalu, Kartika Sari Dewi sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang, Selangor dari Ipoh bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, Jabatan Penjara telah mempunyai pegawai sebat dan hanya menunggu lampu hijau daripada Mahkamah Syariah bagi melaksanakan hukuman itu pada bila-bila masa.

Kartika Sari Dewi dijatuhi hukuman maksimum enam se batan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan meminum arak di sebuah pusat hiburan di Cherating 11 Julai 2008.

Sunday, December 20, 2009

Tolak bajet, usaha musnahkan negara

IPOH - Cubaan menggagalkan kelulusan Bajet 2010 di Dewan Rakyat pada Isnin lau mencerminkan Ahli Parlimen pem bangkang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik mereka.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sekiranya bajet itu tidak diluluskan, seluruh jentera negara tidak boleh bergerak dan akan lumpuh mulai 1 Januari ini seterusnya memusnahkan ekonomi negara.

Beliau berkata, tidak pernah mana-mana pembangkang di Parlimen mana-mana negara pun pernah menolak belanjawan negara kerana tahu kepentingan sesuatu bajet itu diluluskan.

“Tapi sebab mahu meraih keuntungan politik, Ahli Parlimen pembangkang cuba mengambil kesempatan daripada kekurangan Ahli Par limen Barisan Nasional (BN) semasa undian Bajet 2010 tanpa memikirkan negara boleh musnah akibat tindakan itu.

“Sedangkan sebelum itu, secara dasar dan jawatankuasa belanjawan yang dibahaskan dipersetujui mereka,” katanya sebagai mengulas Bajet 2010 yang diluluskan di Dewan Rakyat dengan hanya kelebihan tiga undi iaitu 66 penyokong dan 63 menolak.

Ahmad Husni menambah rakyat perlu berfikiran kritikal tentang tindakan pembangkang itu kerana kesan buruk jika belanjawan ditolak adalah lebih teruk daripada negara dilanda perang.

HPI taja pembedahan Puja Wathi

IPOH - Kesukaran seorang kanak-kanak dari Medan, In donesia yang mengalami masalah bibir sumbing sejak lahir mendapat perhatian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

N. Puja Wathi, 7, akan menjalani pembedahan plastik mem baiki struktur bibir dan hidungnya secara percuma di Hospital Pantai Ipoh (HPI) pada esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, selain mahu membantu kanak-kanak tersebut, pembedahan tersebut merupakan sebahagian program jalinan kerjasama Ipoh-Medan sebagai bandar raya berkembar pada Ogos lalu.

“MBI bertemu Puja Wathi semasa mengadakan promosi pelancongan perubatan di Medan pada Oktober lalu. Kos pembedahan kanak-kanak perempuan tersebut yang dianggar RM30,000 ditanggung oleh pengurusan HPI.

“Penginapan keluarga kanak-kanak itu sepanjang di Ipoh pula ditaja Hotel Tower Regency di sini manakala Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menyediakan kemudahan pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan N. Puja Wathi, 7, bersama kedua ibubapanya, Nyana Silan, 39, dan N. Mageshwari, 39 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan Ketua Eksekutif HPI, Dr Dilshaad Ali dan Aik Meng.

Hang Soon berkata, Nyana Silam adalah seorang sami kuil Hindu manakala isterinya suri rumah tidak berkemampuan untuk menanggung kos perubatan kerana masalah kewangan.

“Walaupun kanak-kanak itu pernah menjalani dua pem bedahan plastik sebelum ini di Medan hasil pembiayaan Per tubuhan Tzu Chi tetapi ia gagal membetulkan sepenuh masalah sumbing kerana kekurangan dana.

“Oleh itu pada pembedahan kali ini, ia akan fokus pada menampal lelangit, membaiki stuktur hidung dan mengu rangkan parut pada bibir Puja Wathi,” katanya.

Jadual, laluan bas henti-henti disusun

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Jadual perjalanan dan lokasi laluan bas henti-henti di seluruh negara akan disusun semula dalam masa terdekat bagi meningkatkan lagi mutu sistem pengangkutan awam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau mendapati liputan perkhid matan bas henti-henti di kebanyakan negeri tidak serata.

"Ada lokasi yang dilalui oleh banyak pengendali bas hingga mengakibatkan persaingan tidak sihat, pemandu bas-bas ter babit sanggup membawa kenderaan mereka dengan laju se mata-mata untuk merebut penumpang.

“Manakala di kawasan lain terutamanya di taman perumahan baru pula tidak dilalui langsung walaupun sebenarnya ke perluan itu ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan bas baru milik pengendali bas henti-henti The Combined Bus Services Sdn. Bhd. (The Combined Bus) di sini kelmarin.

Turut hadir Pengarah Urusannya, Chong Kong Fitt.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata, Lembaga Per lesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan menstruktur semula jadual perjalanan dan lokasi laluan bas henti-henti terbabit.

Beliau berkata, penyusunan semula itu akan dilakukan setelah mendapat pandangan daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengendali bas henti-henti terlibat.

“Kerajaan mahukan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti, selesa, selamat dan mempunyai jadual perjalanan yang tersusun bagi kemudahan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri meminta pe ngusaha bas sekolah tidak perlu bimbang walaupun mempunyai kenderaan yang berusia lebih 20 tahun.

Beliau berkata, pengusaha bas sekolah terbabit akan tetap diberi permit oleh LPKP selagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) mengesahkan kenderaan mereka masih dalam keadaan baik.

“Syarat bas sekolah perlu berusia kurang 20 tahun cuma garis panduan sahaja. Kalau Puspakom kata boleh dan selamat, siapa kita (LPKP) untuk pertikai,” katanya.

Sunday, December 13, 2009

Kosmo! Akhbar Pengguna Terbaik Perak


MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Selepas kejayaan akhbar kompak Kosmo! meng ungguli Akhbar Pengguna Terbaik peringkat kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut pada dua hari lalu, Kosmo! meneruskan kegemilangannya apabila dinobatkan Akhbar Kepenggunaan Terbaik Perak 2009 malam kelmarin.

Anugerah tersebut disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon mewakili Timbalan Menteri Per dagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Da tuk Tan Lian Hoe.

Penolong Ketua Biro Kosmo! Perak, Ahmad Syakir Mohamad Sazili menerima anugerah berupa hadiah wang tunai RM500 dan plak.

Kejayaan merangkul anugerah tersebut merupakan kali ke dua berturut-turut diraih Kosmo! di Perak selepas genap tiga tahun dipasarkan di negeri Perak bermula 1 Ogos 2006.

Anugerah Media Kepenggunaan Perak anjuran Pejabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu tidak dianjurkan pada tahun lalu.

Sementara itu, Anugerah Wartawan Kepenggunaan Terbaik digondol Wong Chee Fat dari akhbar Nanyang Siang Pau dan Anugerah Jurugambar Kepenggunaan Terbaik milik Lew Yong Kan dari The Star.

Perak FM menerima Anugerah Khas Kepenggunaan di Radio, Jabatan Penyiaran Perak dipilih Program Kepenggunaan Ter baik sementara Agensi Kepenggunaan Terbaik menjadi milik Jabatan Penerangan Perak.

Golf Remaja Amatur Clearwater 2009

PELAPIS NEGARA. Clearwater Sanctuary Golf Resort, Batu Gajah menganjurkan Kejohanan Golf Remaja Amatur Terbuka Clearwater 2009 baru-baru ini.

Kejohanan yang masuk edisi ketujuh itu itu mempertandingkan tujuh kategori termasuk bawah lapan tahun yang julung kali diadakan.

Pemain pelapis negara, Chan Tuck Soon, 15, muncul juara keseluruhan setelah mencatat 142 pukulan sekali gus me ngetepikan 152 pemain lain yang turut beraksi pada kejohanan tersebut.

Hadiah berupa peralatan golf, trofi, sijil penghargaan dan hadiah iringan daripada Pengarah Eksekutif Clearwater Sanc tuary Golf Resort, Kenny Yap.

Wednesday, December 2, 2009

Mahkamah tolak saman 817 bekas ketua kampung

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak dengan kos permohonan saman 817 bekas ketua kampung daripada Pakatan Rakyat (PR) terhadap kerajaan negeri Perak yang kini diterajui Barisan Nasional (BN) kerana menamatkan perkhidmatan mereka pada 16 April lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim berkata, ketua kampung bukanlah penjawat awam yang kekal dalam jawatan dan pelantikan mereka dibuat secara pentadbiran dan perhitungan politik oleh kerajaan negeri yang memerintah.

"Selaku penghubung antara kerajaan dan rakyat, individu yang dilantik sebagai ketua kampung perlulah selari dengan arus politik semasa.

"Apabila kerajaan negeri berubah polisi pun berubah. Ketua kampung baru berhak dipilih kerana faktor kesetiaan kepada kerajaan memerintah perlu diambil kira," katanya ketika membaca keputusan secara bertulis di sini semalam.

Ridwan berkata, walaupun watikah pelantikan ketua kampung yang disampaikan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada Julai 2008 berkuat kuasa selama dua tahun tetapi ia bersyarat.

Beliau berkata, pelantikan jawatan tersebut adalah atas budi bicara Menteri Besar Perak dan ketua kampung terlibat sedia maklum terma tersebut kerana Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pentadbiran), Datuk Mohd. Jamal Mahusin sebelum itu telah memberi taklimat kepada semua ketua kampung.

Plaintif diwakili Leong Chock Keng dan Chan Kok Keong  manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ka mal Md. Shahid dan Zulkarnain Hassan mewakili kerajaan negeri Perak. Permohonan Chock Keng untuk mengetepikan keputusan  mahkamah agar plaintif perlu membayar kos kepada defendan  juga ditolak Ridwan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ketua  Kampung PR, Mohd. Ridzuan Asit, 43, berkata, beliau akan  membuat rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah  Tinggi itu.

Tuesday, December 1, 2009

Karnival bola sepak veteran MBI

MAJLIS BANDARAYA IPOH (MBI) dengan kerjasama Per satuan Bolasepak Perak (PAFA) akan menganjurkan Karnival Bolasepak Veteran Sembilan Sebelah Bandar raya Ipoh pada 19 hingga 20 Disember ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, karnival tahunan kali keenam itu bakal diadakan di Padang Ipoh dari 8 pagi hingga 6 petang.

Beliau berkata, penyertaan terhad kepada 32 pasukan yang membuat pendaftaran terawal dan ia terbuka kepada warga negara sahaja.

“Karnival yang memasuki edisi keenam ini akan diadakan secara format menang mara.

“Yuran penyertaan sebanyak RM500 dikenakan kepada se tiap pasukan dan hanya pemain yang berusia 40 tahun ke atas sahaja dibenar untuk didaftarkan,” katanya selepas mem pengerusi Mesyuarat Bulanan MBI semalam.

Roshidi berkata, johan karnival bola sepak berkenaan akan berpeluang merangkul hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan medal.

Menurutnya, naib johan pula bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan dan medal manakala hadiah wang tunai RM1,000, piala iringan dan medal milik pasukan yang berada di tempat ketiga dan keempat.

“Pasukan yang berada di tempat kelima hingga kelapan dalam karnival bola sepak veteran ini pula masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM200,” katanya.

Sehubungan itu, pasukan yang berminat boleh mendapatkan mendapatkan borang penyertaan di Bangunan MBI di Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh.

Kerajaan negeri Perak tetap bantu

BIARPUN kecewa dengan sikap tidak profesional pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), kerajaan negeri Perak tetap mahu memastikan skuad Seladang layak menyertai Liga Super musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Zainol Fadzi Paharuddin berkata, beliau telah diarahkan untuk menyelesaikan kemelut tersebut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.

Menurutnya, beliau telah selesai mendapatkan maklumat tentang masalah skuad bola sepak Perak daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa agensi lain.

"Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan agensi terlibat dan alternatif terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan telah dikenalpasti.

"Biarpun tidak mendapat kerjasama baik daripada Presiden Pafa, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, insya-allah skuad Perak akan menyertai Liga Super pada musim depan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zainol Fadzi berkata, kerajaan negeri Perak yang diterajui Barisan Nasional (BN) sentiasa mencari jalan menangani krisis kewangan Pafa demi kemajuan dan pembangunan bola sepak negeri tersebut tanpa perlu menuding jari dan menyalahkan orang lain.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pafa berkata, ia bertentangan dengan sikap Mohammad Nizar yang didakwa tidak mahu berundur daripada kerusi Presiden Pafa semata-mata untuk menjadikan persatuan tersebut sebagai platform politiknya.

"Mohamad Nizar mahu kerajaan negeri bantu menangani krisis kewangan Pafa tetapi dengan cara yang tidak beradab dan beradat.

"Kenyataan beliau yang kononnya sedang mengusahakan sebidang tanah untuk Pafa di Jelapang juga amat mengelirukan. Umum sudah mengetahui tanah seluas 4.4517 hektar telah dikurnia kerajaan negeri untuk dijadikan Kompleks Bola Sepak Perak pada 1998," katanya.

SMA minat kerjasama dengan IKS Perak

IPOH - Persatuan Pengeluar Singapura berminat untuk menjalin kerjasama strategik dengan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) Perak bagi memasar dan mempromosi produk buatan tempatan.

Presidennya, Renny Yeo berkata, sepanjang lawatan sejak beberapa hari lalu, SMA mendapati Perak mempunyai beberapa produk IKS yang berpotensi tinggi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Kami datang ke Perak untuk meninjau peluang perniagaan dan pelaburan. Delegasi SMA teruja menemui banyak peluang perniagaan menarik dalam lawatan perniagaan sulung kami ke sini.

”Kami berminat untuk membantu pengusaha IKS negeri ini termasuk melakukan penjenamaan semula terhadap produk terbabit. Apatah lagi SMA mempunyai hubungan yang baik dengan Persekutuan Pengeluar dan Pengilang Malaysia (FMM),” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini semalam.

Dalam program anjuran FMM cawangan Perak itu, sebanyak 20 syarikat IKS dari Singapura menyertai delegasi persatuan tersebut untuk meninjau peluang perniagaan di negeri ini.

Kementerian bela guru

SHAH ALAM - Kerajaan sedia mempertahankan Jabatan Pelajaran Negeri Perak serta guru-guru yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman RM105 juta oleh tiga bapa mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar pada 26 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedaya upaya akan membantu guru terbabit kerana yakin mereka mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan ketika program perkhemahan itu diadakan.

"Kita terpaksa lawan dan saya pertahankan guru-guru dan Jabatan Pelajaran Negeri yang telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya dalam operasi menyelamat yang melibatkan 500 orang semuanya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bapa tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta.

Ketiga-tiga mereka, K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan masing-masing ialah bapa kepada mendiang M. Dava Dharshini, 11, V. Divyashree, 12, serta N. Dina Deve, 11.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan dan Pengarah Pelajaran Perak.

Dalam kejadian pada 26 Oktober itu, ketiga-tiga murid terbabit adalah antara 298 murid tahun empat, lima dan enam dari seluruh Kinta Selatan yang mengikuti Perkhemahan 1Malaysia selama empat hari di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan.

Menurut Mohd. Puad, guru tidak wajar dipersalahkan kerana mereka yang terlibat dalam program itu turut sama menyelamatkan mangsa dan bukan seperti laporan sebelum ini yang mendakwa tiada guru yang menghulurkan bantuan.

Mohd. Puad berkata, pihaknya telah menyerahkan siasatan dan tindakan lanjut berhubung tragedi jambatan runtuh kepada Jabatan Kerja Raya kerana ia dibuat oleh syarikat kontraktor hasil sumbangan pihak tertentu dan bukan Jabatan Pelajaran Negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam tragedi berkenaan daan menganggap kes saman adalah hak ibu bapa terlibat.

"Cuma di sini saya ingin katakan bahawa cukup jelas tindakan saman mereka ini adalah kerana dihasut oleh pembangkang untuk mencemarkan nama baik Kementerian Pelajaran," katanya.

Sementara itu di Bangi, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, tindakan menyaman itu hak keluarga mangsa. Beliau enggan mengulas selanjutnya kerana ia sudah melibatkan kes mahkamah.

Di Ipoh pula, kerajaan negeri Perak akur dengan keputusan ke luargas tiga mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Kampar dekat sini pada 26 Oktober lalu menfail saman di Mahkamah Tinggi di sini kelmarin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, secara moralnya, keluarga mangsa terbabit berhak untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan kematian anak mereka.

“Saya faham kehilangan anak amat sukar diterima. Kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk melindungi mana-mana pihak yang menyebabkan tragedi tersebut.

“Bagaimanapun kerajaan negeri tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan menjadikan tragedi tersebut sebagai agenda peribadi mahupun politik,” katanya.