Translate

Sunday, November 29, 2009

Tajol Rosli nafi letak jawatan

KAMPAR - Pengerusi  Badan Perhubungan  UMNO   Perak , Datuk Seri Mohamad  Tajol   Rosli  Ghazali menafikan sekeras-kerasnya pernah membuat sebarang kenyataan akan meletakkan jawatan seperti dilaporkan akhbar semalam.

Bekas Menteri Besar  Perak  itu bagaimanapun mengakui berhasrat untuk melepaskan jawatan itu selepas Perhimpunan Agung  UMNO  pada 28 Mac depan.

"Pada Perhimpunan Agung  UMNO  Mac depan, saya tidak akan mempertahankan kerusi ahli Majlis Tertinggi (MT). Secara prinsipnya, semua jawatan saya sandang kini akan terlucut selepas itu," katanya kepada pemberita.

Tajol Rosli mengulas laporan akhbar semalam bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai  Pengerusi  Badan Perhubungan  UMNO   Perak .

Beliau didakwa mengumumkan perletakan jawatan itu pada majlis perjumpaan bersama pemimpin  UMNO  Bahagian Parit Selasa lalu kerana berasa bertanggungjawab atas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Haslim keluar daripada  UMNO  dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya sama sudah menghantar surat peletakan jawatan tersebut kepada Timbalan Presiden  UMNO , Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menjawab:

"Bapa saya dulu (Tan Sri Ghazali Jawi) ketika mahu meletakkan jawatan sebagai  Pengerusi  Badan Perhubungan  UMNO   Perak  ada menulis surat peletakan jawatan yang tidak mempunyai tarikh. Ia merupakan budaya kami," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, isu peletakan jawatan  Tajol   Rosli  itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MT  UMNO .

"Tajol ada membisikkan kepada saya mengenai perkara ini sebentar tadi. Kita akan bincangkan sama ada nak terima ke tak dalam mesyuarat MT  UMNO ," katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan Desa anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Ayer Kuning dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Abdullah dukacita dengan keputusan Nasaruddin menyertai PKR dan menyifatkan ADUN Bota itu seorang yang kecewa dan lemah dalam perjuangan.

No comments:

Post a Comment