Translate

Saturday, November 21, 2009

Banjir di Kerian makin buruk

MOHD.AZLI ADLAN dan SHAH NIZAM OMAR
berita@kosmo.com.my

BAGAN SERAI - Keadaan banjir di daerah Kerian dekat sini semakin buruk semalam dengan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan telah meningkat kepada 1,166 orang ber banding 489 orang kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat berkata, selain Kampung Changkat Lobak, Kampung Matang Tengah, Kampung Matang Pasir, Parit Simpang 4 dan Parit Simpang 5, banjir turut merebak di enam kampung lain di Alor Pongsu.

“Kampung berkenaan ialah Kampung Selekoh, Kampung Beriah, Kampung Sungai Semambu, Kampung Matang Pasir, Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian dan Kampung Yau Shin.

“Ia menjadikan 11 kampung di sekitar Alor Pongsu telah ditenggelami bah setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sham berkata, enam pusat pemindahan baru telah dibuka mulai 8 pagi semalam iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai, SK Jalan Matang Buluh, SK Tanah Kebun, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang 5, SJKT Alor Pongsu dan Surau Matang Tengah.

Beliau berkata, pusat pemindahan terbabit kini menempatkan 1,137 orang daripada 338 keluarga termasuk 157 warga Indonesia yang bekerja di Ladang Sungai Bogak.

“Hujan lebat yang berterusan sejak enam hari lalu dan limpahan dari Tasik Bukit Merah menyebabkan kawasan ber kenaan terus ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter.

“Selain itu Jalan Bagan Serai-Selama dari Kilometer 10 hingga 17 masih ditutup kerana digenangi bah,” katanya.

Sementara itu di Alor Setar, banjir di Kedah tidak banyak berubah apabila 1,588 mangsa daripada 435 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di negeri ini semalam.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, setakat semalam sebanyak 17 pusat penempatan banjir dibuka di lima daerah iaitu Kubang Pasu, Pokok Sena, Kota Setar, Bandar Baharu dan Baling.

"Mangsa di daerah Kota Setar paling ramai dipindahkan iaitu seramai 876 mangsa daripada 254 keluarga.

"Kubang Pasu mencatatkan 352 mangsa daripada 95 keluarga, di Pokok Sena melibatkan 59 orang (15 keluarga), Bandar Baharu mempunyai 291 mangsa (98 keluarga) dan Baling seramai 10 mangsa dari tiga keluarga," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, seramai 1,557 orang daripada 366 keluarga dari lima daerah itu juga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam.

Tambahnya, paras Sungai Pantai Johor mencatatkan paras bahaya iaitu 2.36 meter manakala Sungai Kepala Batas pula melebihi paras amaran pada ketinggian 3.63 meter.

No comments:

Post a Comment