Translate

Thursday, October 29, 2009

Sidang haram sesama sendiri

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Seperti dijangka, kehadiran seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak semalam sekali lagi mencetuskan kontroversi.

Kali ini mereka memasuki dewan selepas Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan mengumumkan sidang dewan berehat selama sejam bermula pukul 10.20 pagi. Mereka masuk ke dewan itu untuk bersidang sesama sendiri.

Wakil rakyat pembangkang terbabit yang diketuai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) hanya memasuki dewan tiga minit selepas sidang dewan berehat.

Sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ganesan, ADUN pembangkang kemudian terus menuju ke galeri di sebelah kiri Speaker namun tidak duduk di tempat masing-masing.

Bekas Speaker yang juga ADUN Tronoh, V. Sivakumar tiba-tiba mengambil alih tugas Speaker dan bertukar kerusi dengan seorang lagi wakil rakyat, Yee Seu Kai (DAP-Pokok Asam) dan memulakan 'persidangan'.

'Persidangan' bermula dengan bacaan doa dan bertafakur sebelum diteruskan dengan ucapan A. Siva Subramanian (DAP-Buntong) yang menggesa Ganesan meninggalkan dewan atas alasan hilang kelayakan kerana masih menjadi peguam selepas tempoh tiga bulan dilantik sebagai Speaker.

Apa pun, gelagat wakil rakyat pembangkang berkenaan langsung tidak dipedulikan Ganesan.

Malah ketika 'sidang' tersebut berlangsung, semua ADUN Barisan Nasional (BN) termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tidak memberi sebarang respons terhadap tindak-tanduk yang ditunjukkan wakil rakyat pembangkang.

Apabila persidangan diteruskan semula oleh Ganesan, wakil rakyat pembangkang mula mengganggu perjalanan mesyuarat terutama ketika Zambry mencadangkan Enakmen Perbekalan 2010 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2010.

Tindakan beberapa ADUN pembangkang yang `turut serta' dalam proses undian yang dijalankan Ganesan terhadap usul-usul tersebut dengan menjerit `tidak bersetuju' hampir menjerat diri.

"Jika tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker yang sah, mengapa Yang Berhormat semua mengambil bahagian. Ini secara tidak langsung, Yang Berhormat pembangkang meng iktiraf kedudukan Speaker," kata Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) ketika mencelah perbahasan usul oleh Datuk Hasbullah Osman (BN-Temengor).

Wakil-wakil rakyat pembangkang kemudiannya mula `men diamkan diri' pada sesi undian berikutnya sebelum mening galkan dewan beramai-ramai pada pukul 11.46 pagi.

Terdahulu, sidang tersebut dimulakan tepat pukul 10.02 pagi dengan bacaan doa oleh Setiausaha DUN yang baru, Zamari Mohd. Ramli.

Pada sidang media selepas persidangan tersebut, Zambry memaklumkan kesemua ADUN pembangkang yang hadir telah menandatangani pengesahan kehadiran.

No comments:

Post a Comment