Translate

Friday, October 30, 2009

Bagai hilang nyawa apabila lihat keranda anak

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my


KAMPAR - Suasana pilu menyelubungi keluarga M. Darapharshini, 11, dan V. Divyahshree, 12, apabila mayat kedua-dua budak yang hilang dihanyut arus deras Sungai Kampar Isnin lalu ditemui.

Ibu bapa Darapharshini, K. Mageswaran, 46, dan R. Nagaratana, 41, bagaikan tidak dapat menerima hakikat apabila mayat anak keempat daripada lima beradik itu sampai di rumah mereka pada pukul 8 pagi.

Mayat Darapharshini ditemui pada pukul 11.30 malam kelmarin.

Sambil memeluk erat keranda anaknya, Nagaratana tidak putus-putus menyatakan kekesalan membenarkan anak perempuan tunggalnya menyertai aktiviti Perkhemahan 1Malaysia tersebut.

"Saya bagaikan bermimpi apabila dimaklumkan mayat Darapharshini telah dijumpai lewat malam semalam (kelmarin).

"Apabila keranda membawa mayatnya sampai rumah, saya seolah-olah hilang nyawa menyedari satu-satu anak perempuan saya telah tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Di Awan, Mambang Di Awan dekat sini semalam.

Mageswaran berkata, dia pada mulanya tidak mengetahui Darapharshini turut menyertai perkhemahan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan itu bersama-sama anak lelaki ketiganya, M. Sarweswaran, 12.

"Walaupun saya benarkan abangnya sertai program itu tetapi Darapharshini tak beritahu terlibat sama.

"Apabila saya tegur dia kenapa turut mengemas pakaian, dia menangis dan mohon restu (sertai perkhemahan berkenaan). Saya berat hati lepaskan dia, kini saya menyesal," ceritanya lagi.

Mayat Darapharshini ditemui terapung oleh anggota Rela berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang di sini pada pukul 11.30 malam kelmarin iaitu 16 kilometer dari tempat dia hanjut.

Sementara itu, mayat Divyahshree ditemui anggota tentera dari Kem 2 Briged, Ipoh berhampiran Tronoh Mines kira-kira 25 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 10.20 pagi semalam.

Ibu Divyahshree, R. Kanagam, 41, pengsan ketika mengecam mayat anaknya yang dibawa ke Rumah Mayat Hospital Kampar di sini.

Suaminya, K. Vasudevan tidak mampu berkata-kata hingga terpaksa ditenteramkan beberapa saudaranya.

No comments:

Post a Comment