Translate

Saturday, October 31, 2009

Belum dapat perintah sebat Kartika

MELAKA - Hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor atas kesalahan minum arak masih tidak dapat dijalankan kerana Jabatan Penjara masih belum mendapat perintah daripada Mahkamah Syariah Kuantan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, Jabatan Penjara sudah menyediakan pegawai sebat untuk melaksanakan tugas berkenaan dan pihaknya hanya menunggu perintah mahkamah itu.

"Kita sudah membuat segala persiapan tetapi masalah yang timbul ialah kita belum lagi menerima perintah daripada Mahkamah Syariah Kuantan. Kita tidak pasti berapa lama lagi kita terpaksa tunggu sebelum hukuman itu dapat dilaksanakan.

"Jika kita dapat surat perintah, hukuman sebat itu akan dilaksanakan segera dan tidak timbul masalah di pihak kementerian," jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian bangunan dan asrama baru Sekolah Henry Gurney, Telok Mas yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di sini semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang pada 20 Julai lalu setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Hukuman sebat itu bagaimanapun ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan lalu selain Jabatan Penjara tidak mempunyai kepakaran dan pegawai pelatih untuk melaksanakan hukuman sebat mengikut cara dan kaedah syariah.

Sementara itu di Ipoh, bapak Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib memberitahu mereka tidak menerima sebarang maklumat baru mengenai tarikh pelaksanaan hukuman sebat itu.

Katanya, panel peguam yang tidak dilantik mewakili anaknya juga tidak menerima sebarang makluman rasmi daripad pihak berkuasa agama negeri Pahang berhubung pelaksanaan hukuman tersebut.

Friday, October 30, 2009

Bagai hilang nyawa apabila lihat keranda anak

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my


KAMPAR - Suasana pilu menyelubungi keluarga M. Darapharshini, 11, dan V. Divyahshree, 12, apabila mayat kedua-dua budak yang hilang dihanyut arus deras Sungai Kampar Isnin lalu ditemui.

Ibu bapa Darapharshini, K. Mageswaran, 46, dan R. Nagaratana, 41, bagaikan tidak dapat menerima hakikat apabila mayat anak keempat daripada lima beradik itu sampai di rumah mereka pada pukul 8 pagi.

Mayat Darapharshini ditemui pada pukul 11.30 malam kelmarin.

Sambil memeluk erat keranda anaknya, Nagaratana tidak putus-putus menyatakan kekesalan membenarkan anak perempuan tunggalnya menyertai aktiviti Perkhemahan 1Malaysia tersebut.

"Saya bagaikan bermimpi apabila dimaklumkan mayat Darapharshini telah dijumpai lewat malam semalam (kelmarin).

"Apabila keranda membawa mayatnya sampai rumah, saya seolah-olah hilang nyawa menyedari satu-satu anak perempuan saya telah tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Di Awan, Mambang Di Awan dekat sini semalam.

Mageswaran berkata, dia pada mulanya tidak mengetahui Darapharshini turut menyertai perkhemahan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan itu bersama-sama anak lelaki ketiganya, M. Sarweswaran, 12.

"Walaupun saya benarkan abangnya sertai program itu tetapi Darapharshini tak beritahu terlibat sama.

"Apabila saya tegur dia kenapa turut mengemas pakaian, dia menangis dan mohon restu (sertai perkhemahan berkenaan). Saya berat hati lepaskan dia, kini saya menyesal," ceritanya lagi.

Mayat Darapharshini ditemui terapung oleh anggota Rela berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang di sini pada pukul 11.30 malam kelmarin iaitu 16 kilometer dari tempat dia hanjut.

Sementara itu, mayat Divyahshree ditemui anggota tentera dari Kem 2 Briged, Ipoh berhampiran Tronoh Mines kira-kira 25 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 10.20 pagi semalam.

Ibu Divyahshree, R. Kanagam, 41, pengsan ketika mengecam mayat anaknya yang dibawa ke Rumah Mayat Hospital Kampar di sini.

Suaminya, K. Vasudevan tidak mampu berkata-kata hingga terpaksa ditenteramkan beberapa saudaranya.

Thursday, October 29, 2009

Sivakumar derhaka - Zahid

KUALA LUMPUR - Tindakan V. Sivakumar memakai jubah speaker ketika masa rehat persidangan Dewan Undangan Negeri Perak semalam adalah satu penderhakaan yang jelas terhadap Sultan Perak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu tidak boleh diterima dan ia menunjukkan bahawa Sivakumar tidak menghormati undang-undang negeri itu.

"Siapa pun rakyat Perak atau Ahli Dewan Undangan Negeri yang mahu mengadakan persidangan atas nama majoriti atau dalam keadaan apa sekalipun, harus akui undang-undang mem beri kuasa pada Sultan untuk memperakuinya.

"Jadi jelas bahawa Sivakumar telah melakukan penderhakaan pada Sultan Perak.

"Saya fikir kita tidak boleh bertoleransi lagi dengan perbuatan yang dilakukan oleh Sivakumar dan konco-konconya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Beliau berkata pembangkang mestilah menghormati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini yang mengutamakan jumlah majoriti dalam membentuk sesuatu kerajaan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah menyangkal tohmahan wakil rakyat pembangkang yang men dakwa kononnya mereka dikasari polis ketika sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam.

Katanya, fakta sebenar ialah berlaku sedikit kekecohan apabila ADUN Tronoh, Sivakumar enggan bekerjasama dengan polis setelah diarah membuka pakaian rasmi Speaker DUN Perak yang dipakainya secara salah.

"Semasa Sivakumar memasuki Bangunan SUK, polis arah jubah dan songkok (pakaian rasmi Speaker DUN Perak) di pakainya diserahkan secara sukarela tapi beliau enggan.

"Oleh itu, anggota polis bertugas bertindak merampas pa kaian itu dan ADUN-ADUN pembangkang kemudian bertindak mengerumuni Sivakumar bagi menghalang tugas polis dan ia menyebabkan berlaku sedikit kekecohan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini se malam.

Lahir di Perak dapat RM200

IPOH - Mulai tahun depan, setiap bayi yang dilahirkan di Perak akan menerima sumbangan RM200 daripada kerajaan negeri sebagai insentif simpanan pendidikan.

Menteri Besar, Datuk Zamry Abd. Kadir (BN-Pangkor) berkata, pemberian insentif berkenaan adalah galakan kerajaan negeri kepada keluarga untuk membuat tabungan pelajaran anak-anak.

"Anak adalah aset penting dan kerajaan negeri menetapkan mulai 2010, setiap bayi yang dilahirkan di Perak secara au tomatik akan mempunyai tabungan pendidikan mereka sen diri.

"Sehubungan itu, Tabung Pendidikan Negeri yang diuruskan Yayasan Perak akan diwujudkan.
Sebagai permulaan, sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan untuk insentif ini pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mem bentangkan Bajet 2010 pada Penggal Kedua, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Persidangan terbabit yang berlangsung selama kira-kira tiga jam bermula 10 pagi meluluskan bajet tahunan berjumlah RM179 juta termasuk RM67.05 juta perbelanjaan mengurus, pembangunan dan akaun amanah.

Zambry berkata, kerajaan negeri juga memperkenal per lindungan takaful kepada golongan warga emas, ibu dan bapa tunggal, fakir miskin serta orang kurang upaya (OKU) dengan peruntukan RM4 juta setahun.

Sidang haram sesama sendiri

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Seperti dijangka, kehadiran seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak semalam sekali lagi mencetuskan kontroversi.

Kali ini mereka memasuki dewan selepas Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan mengumumkan sidang dewan berehat selama sejam bermula pukul 10.20 pagi. Mereka masuk ke dewan itu untuk bersidang sesama sendiri.

Wakil rakyat pembangkang terbabit yang diketuai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) hanya memasuki dewan tiga minit selepas sidang dewan berehat.

Sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ganesan, ADUN pembangkang kemudian terus menuju ke galeri di sebelah kiri Speaker namun tidak duduk di tempat masing-masing.

Bekas Speaker yang juga ADUN Tronoh, V. Sivakumar tiba-tiba mengambil alih tugas Speaker dan bertukar kerusi dengan seorang lagi wakil rakyat, Yee Seu Kai (DAP-Pokok Asam) dan memulakan 'persidangan'.

'Persidangan' bermula dengan bacaan doa dan bertafakur sebelum diteruskan dengan ucapan A. Siva Subramanian (DAP-Buntong) yang menggesa Ganesan meninggalkan dewan atas alasan hilang kelayakan kerana masih menjadi peguam selepas tempoh tiga bulan dilantik sebagai Speaker.

Apa pun, gelagat wakil rakyat pembangkang berkenaan langsung tidak dipedulikan Ganesan.

Malah ketika 'sidang' tersebut berlangsung, semua ADUN Barisan Nasional (BN) termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tidak memberi sebarang respons terhadap tindak-tanduk yang ditunjukkan wakil rakyat pembangkang.

Apabila persidangan diteruskan semula oleh Ganesan, wakil rakyat pembangkang mula mengganggu perjalanan mesyuarat terutama ketika Zambry mencadangkan Enakmen Perbekalan 2010 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2010.

Tindakan beberapa ADUN pembangkang yang `turut serta' dalam proses undian yang dijalankan Ganesan terhadap usul-usul tersebut dengan menjerit `tidak bersetuju' hampir menjerat diri.

"Jika tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker yang sah, mengapa Yang Berhormat semua mengambil bahagian. Ini secara tidak langsung, Yang Berhormat pembangkang meng iktiraf kedudukan Speaker," kata Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) ketika mencelah perbahasan usul oleh Datuk Hasbullah Osman (BN-Temengor).

Wakil-wakil rakyat pembangkang kemudiannya mula `men diamkan diri' pada sesi undian berikutnya sebelum mening galkan dewan beramai-ramai pada pukul 11.46 pagi.

Terdahulu, sidang tersebut dimulakan tepat pukul 10.02 pagi dengan bacaan doa oleh Setiausaha DUN yang baru, Zamari Mohd. Ramli.

Pada sidang media selepas persidangan tersebut, Zambry memaklumkan kesemua ADUN pembangkang yang hadir telah menandatangani pengesahan kehadiran.

Wednesday, October 28, 2009

Tak dapat lupa lambaian rakan hanyut

KAMPAR - Kegembiraan 294 murid yang menyertai Perkhemahan 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di sini berakhir tragedi apabila seorang maut manakala dua lagi hilang dibawa arus deras sungai selepas jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberangi Sungai Kampar runtuh kelmarin.

N. Dina Deve, 11, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Mambang Di Awan di sini ditemui mati lemas pada pukul 8.30 pagi semalam di Kampung Pasir, dua kilometer dari lokasi tempat jambatan itu runtuh.

Pasukan menyelamat berusaha mengensan dua lagi murid yang hilang. Mereka ialah V. Diryasree, 12, murid SJKT Gopeng dan murid SJKT Mambang Di Awan, M. Darapharshini, 11.

Sebelum kejadian pada pukul 10.30 malam, dianggarkan 50 orang murid sedang menggunakan jambatan gantung itu menuju ke dewan makan SK Kuala Dipang di seberang sungai.

Bagaimanapun, jambatan itu tiba-tiba runtuh selepas tiang besi dan bongkah konkrit yang mengikat tali jambatan di tebing sebelah sekolah tercabut.

Sungai Kampar terkenal dengan kegiatan sukan air lasak dan lebar sungai kawasan itu dianggarkan 30 meter dengan kedalaman 1.5 meter.

Seorang murid yang selamat, Mohamad Amir Hamzah Mohd. Aspar, 12, berkata, sejurus kedengaran bunyi kuat runtuhan pada tebing sungai berhampiran sekolah, semua murid yang berada di atas jambatan mula menjerit.

"Keadaan sangat menakutkan sebelum beberapa orang dewasa termasuk pengawal keselamatan terjun menyelamatkan kami.

"Saya sempat berpaut pada kabel besi dan semasa itu sebahagian lantai jambatan masih berada di permukaan sungai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ekoran tragedi itu, Amir, pelajar tahun enam SK Bukit Prekan memberitahu sejak malam kelmarin, dia tidak dapat melupakan lambaian beberapa rakannya yang dibawa arus sungai itu.

"Ketika menyeberang, kami berbaris dalam tiga barisan mungkin terlalu ramai, jambatan jadi berat," kata Amir.

Seorang lagi murid yang selamat, K. Mathivanan, 12, mendakawa ada beberapa murid melompat-lompat ketika berada di atas jambatan sehingga jambatan itu bergoyang.

"Apa yang saya ingat, murid-murid berbaris di dewan berhampiran tebing sekolah melompat-lompat namun tidak sangka pula ia boleh runtuh,"katanya.

Seramai 25 guru terlibat dengan perkhemahan yang dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang melawat tempat kejadian berkata, jambatan sepanjang 50 meter itu baru tiga minggu disiapkan.

"Jambatan itu didapati runtuh apabila tiang besinya terbongkah. Kita mahu tahu sama ada ia dibina mengikut spefikasi atau tidak," katanya beliau.

Kejadian di SK Kuala Dipang itu berlaku kira-kira 20 kilometer dari Pos Dipang, lokasi tragedi banjir lumpur tanah tinggi yang mengorbankan 44 nyawa dan memusnahkan 30 buah rumah pada 29 Ogos 1996.

Jangan berhimpun dekat bangunan DUN Perak

IPOH – Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak berhimpun berhampiran bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak sepanjang tempoh berlangsung Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tiga hari yang bermula hari ini bagi mengelak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, polis banyak menerima maklumat terdapat pemimpin-pemimpin parti tertentu dalam ceramah mereka sebelum ini yang menyeru orang ramai supaya berhimpun di bangunan SUK.

"Perhimpunan tanpa permit adalah perhimpunan haram dan menyalahi undang-undang. Tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram, termasuk mereka yang merancang atau yang menganjur perhimpunan-perhimpunan itu," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Menurut Zulkefli, polis akan menyediakan anggota yang mencukupi dan mengambil langkah yang wajar bagi memastikan keselamatan semua anggota DUN dan jemputan yang hadir pada majlis persidangan itu serta menentukan ketenteraman awam.

'Hantar anak, yang pulang mayat'

KAMPAR - "Anak saya berkeras mahu menyertai perkhemahan ini kerana katanya ia pengalaman baru baginya.

"Akhirnya saya terpaksa izinkan tetapi tidak sangka pula yang pulang ialah mayatnya."

Demikian luahan T. Nathan, 44, yang kematian anak perempuannya, Dina Deve, 11, akibat lemas setelah jambatan gantung yang dilalui Dina untuk menyeberangi Sungai Kampar di sini bersama kira-kira 50 peserta Perkhemahan 1Malaysia runtuh kelmarin.

Nathan, berkata, dia mengetahui tragedi itu daripada bapa saudaranya pada pukul 12.30 malam kelmarin.

Ekoran itu, katanya, dia dan isterinya, S. Muguna, 35, pergi ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya di Taman Mambang Di Awan, Kampar dekat sini.

"Sepanjang operasi mencari kami berdoa agar Dina ditemui selamat tetapi harapan kami berkecai kerana dia sudah mati," kata Nathan, seorang pemandu lori, ketika ditemui di rumahnya semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meluangkan masa melawat Nathan dan keluarganya semalam.

Selain mengucapkan takziah, Muhyiddin menghulurkan bantuan Kementerian Pelajaran sebanyak RM10,000 bagi menguruskan pengebumian murid tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan itu.

Sementara itu, Mugana, 35, yang masih tidak menerima kenyataan kehilangan Dina Deve, pengsan sejurus mayat anaknya itu tiba di rumah.

Mayat kanak-kanak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Hindu Mambang Diawan dekat sini hari ini.

Satu mati, dua hilang dalam tragedi perkhemahan di Kuala Dipang

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI, MOHD. AZLI ADLAN dan KUMARA SABAPATTY
berita@kosmo.com.my


KAMPAR - "Selepas jambatan runtuh, murid-murid memaut tali kabel jambatan dan kami sedaya upaya membantu mengangkat seorang demi seorang mangsa ke tebing sungai.

"Namun makin lama paras air sungai semakin naik, tiga murid yang sudah keletihan terlepas pautan dan dibawa arus. Mereka menjerit meminta tolong tetapi kami tidak mampu menyelamatkan mereka kerana aliran sungai terlalu deras."

Demikian cerita pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Mohd. Rosli Mohamad (gambar), 44, mengenai detik-detik cemas selepas jambatan gantung di situ runtuh.

Menurut Rosli, dia dan seorang pengawal keselamatan lain, Ismail Ahmad, 62, berlari ke lokasi yang terletak kira-kira 400 meter dari pos pengawal setelah mendengar jeritan murid-murid sekolah dan guru pengiring meminta tolong.

"Sampai di tempat kejadian, kami berdua terkejut melihat jambatan gantung telah hilang dengan peserta perkhemahan pula dilihat sedang berpaut pada tali jambatan tersebut.

"Kami minta murid-murid pegang kabel itu kuat-kuat sebelum kami berdua terjun ke dalam sungai dan mengangkat seorang demi seorang murid-murid sekolah itu," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Rosli memberitahu, kerja-kerja menyelamat turut dibantu beberapa fasilitator namun tidak lama kemudian paras air Sungai Kampar semakin naik dan deras hingga menyebabkan tiga peserta hanyut dibawa arus.

Katanya, tidak berapa lama selepas itu polis dan bomba yang dihubungi sampai untuk membantu mencari tiga pelajar yang hanyut.

"Semua murid yang terselamat telah dikumpul di dalam bangunan sekolah namun timbul kekecohan apabila hanya 276 peserta perkhemahan tersebut yang dikesan pada masa itu.


"Ekoran itu timbul khabar angin kononnya 22 murid di khuatiri lemas sedang saya dan Ismail yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja menyelamat hanya tiga sahaja yang hanyut," katanya beliau.

Sementara itu, seorang guru, Mohd. Safri Abdul Rafar, 30-an, berkata, beliau hampir lemas ketika cuba menyelamatkan peserta perkhemahan tersebut.

"Semasa kejadian, saya yang berada tidak jauh dari jambatan terkejut terdengar bunyi benda jatuh diikuti jeritan.

"Saya terus melompat pagar dan terjun ke dalam sungai namun saya cuma sempat membawa naik tiga atau empat murid kerana hampir lemas," katanya.

Thursday, October 22, 2009

Sivakumar diminta pulangkan jubah

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar diminta agar memulangkan segera pakaian rasmi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam masa terdekat.

Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan berkata, bekas Speaker DUN Perak itu dikesan tidak memulangkan pakaian rasmi tersebut biarpun sudah dilucutkan daripada jawatan berkenaan sejak 7 Mei lalu.

"Sivakumar kena terima hakikat dia bukan Speaker DUN Perak lagi malah mahkamah turut menolak tuntutannya. Pakaian rasmi itu milik DUN Perak, setakat ini sudah tiga kali dia memakai jubah itu secara tidak sah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sehubungan itu Setiausaha DUN Perak, Zamari Mohd. Ramli telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini semalam (kelmarin) untuk menuntut Sivakumar memulangkan pakaian rasmi Speaker DUN Perak dengan segera.

R. Ganesan juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan tegas termasuk menghalang Sivakumar daripada memasuki dewan ketika Sesi Kedua Persidangan DUN Perak ke-12 pada 28 Oktober depan sekira wakil rakyat DAP itu terus berdegil memakai pakaian rasmi Speaker DUN Perak pada masa itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam tindakan Sivakumar yang turut menghantar notis haram memanggil ADUN ke sidang DUN.

"Notis saya diwartakan melalui perkenan Tuanku Sultan Perak mengikut Perintah Tetap 10 (1) DUN Perak manakala notis Sivakumar tidak.

"Terdapat banyak kesalahan seperti notis dikeluarkan Sivakumar ditandatangani dia sendiri sedangkan sebenarnya notis itu dikeluarkan Setiausaha DUN Perak selain menggunakan kepala surat Speaker DUN Perak secara tidak sah," katanya.

Monday, October 19, 2009

1Malaysia bukan retorik - Najib


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu gagasan 1Malaysia dilihat sebagai satu retorik, gimik politik atau slogan semata-mata sebaliknya ia adalah satu perjuangan untuk berlaku adil kepada setiap rakyat, merentasi batas kaum dan agama.

Katanya, ia merupakan satu prinsip keadilan yang akan menjamin keharmonian semua kaum di negara ini dan ia adalah pengiktirafan terhadap segala sumbangan yang dicurahkan setiap kaum untuk membangunkan negara.

"1Malaysia sebenarnya turut menekan konsep keadilan sosial kepada semua kaum dan kerajaan memberi jaminan tiada satu kelompok masyarakat akan terpinggir.

"Melalui gagasan ini, hak sesuatu kaum itu tidak akan diberikan kepada kaum lain dengan begitu sahaja kerana ia masih berlandaskan kepada perlembagaan negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan program 1Malaysia Bersama Rakyat peringkat negeri Perak di Stadium Perak di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Menurut Najib, Perak telah dipilih sebagai lokasi pertama program tersebut dan ia akan diteruskan di setiap negeri selepas ini. Majlis pelancaran itu dihadiri lebih 50,000 rakyat pelbagai kaum dan agama.

Selain persembahan nyanyian lagu tema Malaysia Satu oleh juara rancangan realiti Mentor musim kedua, Fiq dan 1Malaysia oleh Roy, program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti pameran dan gerai jualan yang bermula sejak pagi semalam.

Dalam pada itu, enam individu telah diumumkan sebagai Ikon Satu Malaysia peringkat Perak sebagai menghargai sumbangan dan komitmen mereka dalam merealisasi gagasan tersebut sebelum ini.

Mereka ialah kartunis terkemuka negara, Datuk Mohd. Nor Khalid atau Lat, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan doktor perubatan pertama dari masyarakat Orang Asli Tapah, Dr. Ayob Bah Los.

Turut dipilih ialah aktivis rukun tetangga dari Kampung Dew, Taiping, C. Shanmugam, pekerja sosial, Abdul Rahim Nor Mohd dan pengarah filem tersohor yang sering mengetengahkan Perak sebagai latar belakang karyanya, Allahyarham Yasmin Ahmad.

Thursday, October 15, 2009

Guna kad bercip salur bantuan miskin tegar


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SERI ISKANDAR - Kerajaan disaran mengaplikasi sistem kad bercip sebagai medium menyalurkan bantuan kepada keluarga miskin tegar terutamanya di kawasan luar bandar.

Tokoh ekonomi, Prof. Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid berkata, kad terbabit berfungsi sebagai kad debit yang boleh digunakan golongan terbabit untuk membeli barangan keperluan harian.

"Kad bercip itu akan mempunyai had kredit yang merupakan jumlah amaun bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan kepada isi keluarga miskin tegar itu setiap bulan.

"Mereka boleh membeli barangan keperluan tertentu seperti beras, gula dan makanan lain di kedai yang ditetapkan dan setiap transaksi direkod dan boleh diakses kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah umum 'Kemiskinan Tegar' selaku penerima Anugerah Merdeka 2008 kategori Pendidikan dan Komuniti di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini semalam.

Turut hadir Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim dan Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd.

Ungku Aziz yang juga antara pencetus beberapa dasar ekonomi negara termasuk penubuhan Tabung Haji berkata, penggunaan kad bercip itu dapat memastikan keberkesanan pemberian bantuan kebajikan berkenaan sampai ke golongan sasaran.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) itu berkata, selain mengurangkan unsur pilih kasih dan rasuah, ia dapat mengelakkan bantuan tersebut disalah guna ketua isi rumah miskin tegar terbabit untuk tujuan lain seperti membeli nombor ekor dan rokok.

"Saya percaya kerajaan mampu menghasilkan kad bercip itu malah kaedah ini jauh lebih baik daripada pemberian subsidi terhadap barangan kawalan seperti diamalkan kerajaan sekarang kerana tidak semua golongan sasaran mendapat manfaat berikutan pengagihan tak serata dan kesan monopoli pihak tertentu," katanya.

Wednesday, October 14, 2009

Exco tidak terima wang - saksi

IPOH - Mahkamah Sesyen di sini diberitahu bekas Exco Perak, Jamaluddin Mohamed Radzi tidak mengambil wang rasuah yang cuba disogokkan kepadanya.

Saksi keenam pendakwa, Mohamad Imran Abdullah, 34, berkata, sebaliknya wang tunai RM5,000 tersebut diminta diberi kepada seorang lagi tertuduh, Usaili Alias yang turut berada di pejabat Jamaluddin di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semasa pertemuan pada 14 Ogos tahun lalu.

"Sebelum itu, saya dibawa Usaili dan Ruslan Sahat untuk berjumpa Jamaluddin bagi mendapatkan sokongan memudahkan kelulusan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

"Saya juga diminta Ruslan menyediakan wang tunai RM5,000 untuk diberi kepada Jamaluddin pada pertemuan tersebut tetapi dia tidak ambil dan minta wang itu diserahkan kepada Usaili," katanya.

Dia berkata demikian pada perbicaraan hari kelima berhubung kes rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar membabitkan dua bekas Exco, Jamaluddin yang juga ADUN Behrang; ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu; bekas ADUN Bota, Usaili; Ruslan, 47, dan dua yang lain.

Bagaimanapun lapan pertuduhan rasuah membabitkan Ruslan digugurkan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh berikutan kematian tertuduh pada 3 Ogos lalu.

Mohamad Imran berkata, sepanjang pertemuan dengan Jamaluddin yang turut dihadiri Ruslan, dia ditemani seorang pegawai Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) (SPRM), Norliza Mokthar yang menyamar sebagai kekasihnya.

Terdahulu, dia yang merupakan Pengurus Projek Imbangan Damai Sdn. Bhd., sebuah syarikat pembinaan memberitahu, dia diminta seorang pegawai BPR, Firdaus Idris bagi membantu menyelesaikan kes rasuah tanah di Perak Tengah dekat sini yang disyaki melibatkan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perbicaraan bersambung hari ini.

Monday, October 12, 2009

Warga Indonesia kutuk Bendera


Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

CAMERON HIGHLANDS - Sekumpulan 500 pekebun sayur warga Indonesia mengutuk tindakan rakyat senegara mereka yang menubuhkan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang disifatkan sebagai melampau.

Wakil kumpulan pekebun terbabit, Ahmad Thoyib Matsum, 50, berkata, mereka kecewa dengan perbuatan provokasi Bendera terhadap Malaysia sejak akhir-akhir ini.

"Kami pekerja Indonesia di Cameron Highlands tidak setuju dengan kumpulan Bendera. Kami mahu aman di sini, kami mahu mencari rezeki untuk keluarga di Indonesia.

"Setiap salah faham yang timbul antara Indonesia dan Malaysia boleh diselesaikan dengan baik secara perbincangan, lagipun kita serumpun," katanya.

Beliau ditemui bersama-sama kira-kira 15 pekebun sayur Indonesia lain yang berhimpun dan mengadakan demonstrasi secara aman di pekarangan Masjid Kayangan, Brinchang di sini semalam.

Menurut Ahmad Thoyib, majoriti warga Indonesia yang mencari rezeki di pusat peranginan tersebut tidak bersetuju dengan pendekatan keganasan dan kekerasan yang dianjurkan oleh Bendera.

Beliau yang bekerja di sini sejak 20 tahun lalu berkata, tindakan Bendera yang mengisytihar perang terhadap Malaysia adalah melampau dan memohon rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan hasutan kumpulan tersebut.

Mereka yang berkumpul seawal pukul 10 pagi dilihat mem bawa beberapa sepanduk seperti ‘Kami Anti Perang’, ‘Terima Kasih Pahang Malaysia’, ‘Say No Ganyang, Say Yes Kenyang’, ‘Kami Aman di Malaysia dan ‘Yes Peace’.

Bagaimanapun perhimpunan tersebut bersurai kira-kira 15 minit kemudian setelah diarahkan beberapa anggota polis bertugas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Hinghlands, Deputi Supritendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, perhimpunan sekumpulan pekebun sayur Indonesia tersebut disuraikan pihak polis setelah didapati ia dibuat tanpa permit.

"Tiada tindakan akan dikenakan kepada peserta demonstrasi ini kerana mereka memberi kerjasama baik bersurai dengan aman setelah diarahkan pihak polis.

Siasatan awal mendapati perhimpunan bantahan tersebut berlaku secara spontan bagi menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kumpulan Bendera yang mahu me nyerang Malaysia," katanya.

Sunday, October 11, 2009

Kolej Islam Darul Ridzuan

Tawar pelbagai program Pengajian Islam bagi lepasan SPM

HASRAT Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahu kesinambungan sejarah kecemerlangan sistem pendidikan negeri tersebut yang telah melahirkan ramai ulamak dan cendiakawan Islam peringkat negara dan antarabangsa diteruskan membawa kepada penubuhan Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar).

Cetusan idea yang dikemukakan baginda pada 1986 itu kemudiannya telah dibincangkan secara serius di dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kira-kira lapan tahun kemudian.

Seterusnya Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan Kisdar telah diwujudkan pada 1997 yang kemudiannya kepada pembukaan kolej Islam berkenaan pada 16 Oktober 1999 di kampus sementaranya di Jalan Dato' Seri Shaari, Ipoh.

Semenjak itu Kisdar terus berkembang pesat dan ia mula berpindah ke kampus tetap yang bernilai kira-kira RM66 juta di Bukit Chandan, Kuala Kangsar mulai April 2008.

Kampus yang dibina di sebidang tanah yang diwakafkan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah seluas 20.25 hektar itu dirasmikan Sultan Azlan dalam upacara penuh kesyukuran pada 16 Julai lalu.

Ia merupakan kampus yang serba-moden dan dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran yang selesa dan menekankan aspek akademik, kerohanian, sahsiah dan kesukanan.

Di bawah pimpinan Rektor, Prof. Datuk Dr. Muhammed Yusoff Hussain, Kisdar kni mempunyai barisan kakitangan akademik tempatan dan antarabangsa yang berdedikasi dan berkaliber bagi mencurahkan ilmu dan kepakaran kepada pelajarnya yang sudah berjumlah 820 orang.

Enam kursus berteraskan Islam ditawarkan iaitu Diploma Usuluddin, Diploma Syariah Islamiyyah, Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Diploma Perbankan dan Kewangan Islam, Diploma Perakaunan dan Diploma Teknologi Maklumat.

Semua kursus sepenuh masa tersebuit telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA/LAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) T terkemuka di Timur Tengah.

Sehubungan itu, lulusan Kisdar berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti di Mesir, Syria dan Jordan seperti Universiti Al-Azhar, Universiti Jordan, Universiti Yarmouk, Universiti Mu’tah, Universiti Ahli Bait dan Universiti Hashimiyyah.

Berikutan itu, Kisdar disasar oleh Sultan Azlan untuk dinaiktaraf sebagai kolej universiti dan seterusnya universiti Islam dalam masa terdekat.

Bagi kemasukan sesi November, Kisdar menawarkan tempat untuk enam kursus terbabit kepada calon yang berminat dan berlayakan. Syarat kemasukan amat fleksibel iaitu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya tiga Kepujian.

Bantuan kewangan seperti Dermasiswa Baitulmal dan pinjaman dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak juga ditawarkan kepada calon yang berjaya dan menetapi kriteria ditetapkan.

Tarikh tutup permohonan ialah 3 November 2009 dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi 05-7700177.

Friday, October 9, 2009

KD Sri Inderapura terbakar


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

LUMUT - Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura yang merupakan kapal pengangkut terbesar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar ketika berlabuh di Pangkalan TLDM di sini semalam.

Kebakaran pada pukul 6 pagi itu telah memusnahkan sebahagian kapal tersebut terutama bahagian pejabat dan bilik stor di dalam perut kapal itu.

Satu kenyataan dikeluarkan Unit Perhubungan Awam TLDM di sini semalam berkata, kapal tersebut mempunyai 77 anggota termasuk enam pegawai TLDM yang bertugas di dalam kapal tersebut.

"Lima jentera Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dan Manjung dengan kekuatan lebih 100 anggota telah ditugaskan memadam kebakaran.

"Turut membantu pasukan bomba TLDM, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM), Boustead Naval Shipyard dan bot tunda awam," jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian yang belum diketahui punca kebakaran itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kapal tersebut dijadualkan belayar ke Sabah untuk menghantar barang-barang logistik ke Markas Wilayah Dua, Kota, Kinabalu pada 12 Oktober ini.
Jelas kenyataan itu, kebakaran semalam merupakan kejadian kedua selepas kebakaran pertama kali berlaku pada 2002.

Tinjauan Kosmo! pada sebelah petang mendapati anggota bomba masih bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran di atas kapal itu.

Kepulan asap dari kapal itu boleh dilihat dari bandar ini yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pengkalan TLDM.

Antara misi besar yang pernah dilaksana KD Sri Inderapura ialah misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa tsunami di Acheh, Indonesia pada Januari 2005 dan mengiringi kapal dagang negara yang berhadapan ancaman lanun di Teluk Aden, Somalia pada tahun lalu.

Wednesday, October 7, 2009

Perak berjaya tarik pelaburan RM609j sehingga Jun lalu

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan negeri Perak berjaya menarik pelaburan bernilai kira-kira RM609 juta sehingga bulan Jun lalu meskipun kini berdepan dengan persekitaran ekonomi yang lembap.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, daripada jumlah tersebut, RM352 juta merupakan pelaburan asing.

``Perak telah mendapat manfaat daripada dasar liberalisasi 27 sub-sektor perkhidmatan oleh kerajaan persekutuan semenjak April lalu.

"Antara industri tempatan yang berkembang pesat berikutan pengenalan dasar itu ialah perkhidmatan perbankan, teknologi maklumat (IT) dan pelancongan," katanya ketika menghadiri perjumpaan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) cawangan Perak di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi MICCI Perak, Lim Si Boon dan Presiden MICCI, Irene Dorner.

Selain itu, Zambry menerangkan, pembukaan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini menerusi perkhidmatan penerbangan dua hala Ipoh-Singapura oleh Firefly Sdn. Bhd. mulai 12 Julai lalu telah memberi impak positif kepada ekonomi Perak.

Beliau berkata, selain menggalakkan industri pelancongan, perkhidmatan penerbangan itu menarik kehadiran pelabur negara jiran ke negeri tersebut.

"Malah Persatuan Pengilang Singapura dijangka akan melakukan misi perniagaan ke negeri ini pada bulan depan.

"Satu lagi perkembangan positif ialah Firefly bercadang untuk menambah perkhidmatan daripada sekali sehari kepada dua kali dalam masa terdekat," katanya.

'Sebatlah tapi jangan penjarakan Kartika'

AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my
 
IPOH - Selepas lebih dua bulan `menyepikan' diri, warga Singapura, Mohamad Affendi Amir akhirnya bersuara selepas bimbang isterinya, Kartika Sari Dewi Shukarnor terpaksa masuk penjara semata-mata untuk pelaksanaan hukuman sebat atas kesalahan meminum arak pada Julai tahun lepas.

Mohamad Affendi yang bertugas di sebuah firma Teknologi Maklumat (IT) di Singapura dalam e-melnya kepada Kosmo! bimbang kesan buruk hukuman itu terhadap mereka sekeluarga sedangkan Kartika tidak sepatutnya bermalam walaupun sehari di penjara.

``Kalau nak sebat, sebatlah tetapi jangan sesekali penjarakan isteri saya. Sebagai suami Kartika, saya tidak rela dia dimasukkan dalam penjara seperti banduan.

``Saya tidak mahu anak-anak saya menganggap ibu mereka adalah bekas banduan sedangkan Kartika tidak perlu masuk penjara selepas hukuman tiga tahun itu digugurkan," katanya.

Dia menegaskan, Kartika telah membayar denda RM5,000 dan bersedia menerima hukuman enam sebatan, jadi isterinya tidak wajar dilayan seperti banduan.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Kehakiman Syariah Pahang yang dihubungi semalam memberitahu pihaknya masih belum dapat memastikan tarikh sebenar hukuman itu.

Berdasarkan prosedur hukuman sebat itu, Kartika, ibu kepada dua orang anak perlu ditahan di Penjara Kajang sepanjang tempoh pelaksanaan sebatan.

Kartika, 32, dari Sungai Siput dekat sini didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11.40 malam 11 Julai tahun lepas.

Bukan harta karun tulen - Polis


TAPAH - Polis percaya koleksi barangan kemas yang didakwa ditemui beberapa penduduk di Jalan Tapah-Tapah Road di sini merupakan emas palsu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, keyakinan itu berasaskan kepada siasatan awal pihaknya selepas kesemua barangan kemas berkenaan dirampas daripada individu terbabit baru-baru ini.

"Kita telah mengambil semua 'harta karun' yang disimpan oleh Kamaluddin Mohd. Zain serta rakannya, Hamidah Bakar dan mereka berdua telah memberi kerjasama baik.

"Berdasarkan rujukan beberapa pakar emas tempatan semuanya didapati tidak tulen dan dipercayai sekadar disadur dengan emas," katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang keterangan daripada Kamaluddin mahupun Hamidah direkodkan dan barangan kemas berkenaan telah dihantar kepada Jabatan Kimia Negeri Perak untuk analisis lanjut.

"Kita akan tahu keputusan muktamad sama ada tulen atau tidak dalam masa terdekat. Oleh kerana mereka mendakwa tidak ditipu oleh bomoh yang menguruskan 'penarikan' harta karun terbabit, mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Rampasan cuma untuk menentukan kesahihan barang kemas," katanya.

Kosmo! Ahad 27 September lalu melaporkan dakwaan Hamidah dan Kamaluddin yang kononnya berjaya memiliki harta karun dipercayai berusia ratusan tahun yang timbul di atas tanah di belakang rumah mereka.

Harta karun berkenaan yang merupakan koleksi barangan kemas dijumpai setelah timbul dari tanah selepas melalui proses zikir khas yang disarankan seorang lelaki Indonesia pada akhir 2004.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada salah seorang pemilik barangan kemas berkenaan, Hamidah tidak kesampaian apabila wanita berusia 65 itu kini dikatakan sedang bercuti di luar negara.

Pada masa sama, Kamaluddin yang juga seorang peniaga di Pasar Awam Tapah sini mengakui keyakinannya terhadap ketulenan barangan kemas yang disimpannya sejak empat tahun lalu itu mulai pudar.

"Sebelum ini, memang saya dan Hamidah percaya barangan kemas itu betul-betul diperbuat daripada emas tetapi selepas polis mengambilnya, keyakinan itu mulai luntur," katanya.

Sunday, October 4, 2009

Cuai punca rumah kedai runtuh


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak menolak kemungkinan kejadian deretan rumah kedai lama runtuh di Fair Park, Jalan Kamaruddin Isa di sini sehingga menyebabkan dua nyawa terkorban kelmarin disebabkan faktor kecuaian.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, timbul persoalan sama ada kontraktor terlibat mengikut prosedur dibenarkan ketika melaksanakan kerja-kerja meruntuhkan premis rumah kedai berkenaan.

“Mengikut laporan awal, deretan rumah kedai tujuh pintu ini dalam proses dirobohkan untuk pembangunan semula. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah meluluskan pelan bangunan baru itu kira-kira tiga bulan lalu.

“Namun adakah langkah-langkah keselamatan diambil sepenuhnya? Sehubungan itu saya arahkan MBI hantar laporan penuh mengenai kejadian runtuhan deretan rumah kedai lama ini dalam masa terdekat,” katanya ketika melawat tempat kejadian di Fair Park, Jalan Kamaruddin Isa semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Mohd. Firdaus Mat Norzila, 23, dan Mohd. Zairi Mohd. Sabri, 25, terbunuh manakala Abdil Kudus Ismail, 21, cedera apabila kenderaan yang mereka naiki ditimpa serpihan bangunan runtuh.

Cho Ha juga mengarahkan kerja-kerja merobohkan bangunan itu yang berusia lebih 40 tahun itu dihentikan serta-merta sehingga siasatan penuh selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berlaku akibat kecuaian dan sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan pengendali jentolak berkenaan dan saksi kejadian termasuk pemandu tiga kenderaan lain yang turut terlibat.

Saturday, October 3, 2009

Kerja kosong di Wisma Putra

IPOH - Kementerian Luar Negeri mempelawa para lepasan ijazah untuk menyertai Wisma Putra dengan mengisi beberapa kekosongan jawatan yang terdapat di kementerian tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Lee Chee Leong berkata, buat masa ini masih banyak kekosongan di kementerian berkenaan dan keutamaan diberikan kepada siswazah yang mempunyai kemahiran dalam bahasa asing.

"Walaupun sepatutnya hanya Pegawai Takbir Diplomatik (PTD) layak menyertai Wisma Putra tetapi kini kementerian memberi kelonggaran kepada siswazah baru.

"Mereka hanya perlu mendaftar di laman web kementerian www.kln.gov.my dan panggilan temuduga akan dilakukan se lepas proses saringan dilakukan," katanya selepas merasmikan Program Diplomasi Awam anjuran Kementerian Luar Negeri di Dewan Bandaran di sini semalam.

Program dua hari berbentuk pameran fotografi dan ceramah itu bertujuan untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tentang fungsi dan peranan Wisma Putra, dasar luar negara dan peluang kerjaya di kementerian tersebut.

Chee Leong berkata, selain berpeluang bekerja di luar negara, tangga gaji dan elaun serta faedah yang ditawarkan kepada lepasan universiti adalah menarik malah dikatakan lebih baik daripada kebanyakan firma swasta.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai belia bukan Bu miputera untuk menyertai kerajaan melalui Wisma Putra berikutan ketidakseimbangan komposisi kaum di kalangan kakitangan kementerian itu pada masa kini.

"Kita tak pernah amalkan konsep kouta dalam pengambilan kakitangan. Saya harap bukan Bumiputera dapat ubah persepsi terhadap pekerjaan di perkhidmatan awam.

"Lagipun kerjaya di Wisma Putra bukan sahaja menarik dan mencabar malah gaji yang ditawarkan juga baik," katanya.

Bangunan runtuh, dua maut


IPOH – Dua terkorban dan seorang cedera parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka ditimpa serpihan bangunan runtuh di Fair Park, Jalan Kamaruddin Isa di sini malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Zairi, 25, dan Firdaus, 23, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

“Kejadian pada pukul 9.50 malam itu berlaku ketika sebuah jentolak sedang melakukan kerja-kerja meruntuhkan sederet kedai lama di jalan terbabit.

“Bagaimanapun, hampir semua bangunan setingkat berkenaan tiba-tiba runtuh lalu menghempap empat buah kereta yang sedang melalui jalan tersebut,” katanya.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang menaiki sebuah kereta Perodua Viva bersama seorang lelaki yang hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, kereta mangsa termasuk tiga kenderaan lain sedang berhenti di belakang jentolak terbabit yang menghalang laluan.

Selain mangsa yang terkorban, penumpang di dalam tiga buah lagi kenderaan termasuk pemandu jentolak tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pihak bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta yang remuk," ujarnya.

Tambahnya, pihak polis masih menyiasat mengapa kerja-kerja meruntuhkan bangunan itu dilakukan pada waktu malam dan tiada tanda amaran atau garisan sempadan dibuat.

Friday, October 2, 2009

Harta karun satu penipuan


Oleh NAZATUL SHIMA RAZALI dan MOHD. AZLI ADLAN


IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan dakwaan penemuan barang kemas yang timbul dari tanah selepas proses zikir khas di Jalan Tapah, Tapah Road, dekat sini sebagai satu penipuan.

Beliau menegaskan, perbuatan tersebut adalah syirik serta mempunyai unsur-unsur ke arah ilmu hitam dan hukumnya jelas haram.

"Perbuatan berzikir yang menetapkan hanya pada tujuh orang serta dilakukan pada masa tertentu juga jelas sudah menunjukkan ke arah unsur ilmu hitam.
"Ditambah pula menggunakan khidmat perantara menjadikan kejadian tersebut syirik," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! Ahad kelmarin mengenai dakwaan beberapa penduduk kampung terbabit yang kononnya berjaya memiliki harta karun yang dipercayai berusia ratusan tahun yang timbul di atas tanah di belakang rumah mereka.

Harta karun berkenaan yang merupakan koleksi barangan kemas dijumpai setelah timbul dari tanah selepas melalui proses zikir khas yang disarankan seorang lelaki Indonesia pada akhir 2004.

Sementara itu, Penasihat Agama Menteri Besar Perak, Datuk Najmuddin Elias berkata, satu kajian menyeluruh perlu di lakukan pihak berwajib khususnya Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi memastikan perkara tersebut tidak melanggari hukum syariat.

"Saya harap agar masyarakat tidak mudah mempercayai sesuatu perkara sebelum mengetahui kesahihannya. JAIP akan segera siasat dakwaan penemuan harta terbabit," katanya.

Projek RPT untuk pesara tentera dan polis

IPOH - Seramai kira-kira 8,000 pesara polis dan tentera di Perak yang masih belum memiliki rumah sendiri bakal mendapat tapak rumah menerusi projek Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, projek itu melibatkan tanah seluas 60 hektar di semua 10 daerah di negeri ini.

"Pada masa kini semua pejabat daerah dan tanah telah serahkan lokasi cadangan masing-masing. Kerajaan negeri juga di peringkat akhir untuk meluluskan tapak kawasan berkenaan dan dijangka selesai dalam tempoh dua bulan," katanya.

Beliau yang dilantik bagi mengetuai jawatankuasa khas bagi projek itu berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Turut hadir Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani dan Panglima Dua Briged, Brigedier Jeneral Datuk Zulkifli Mansor.

Ramly berkata, kebiasaannya sebanyak 8,000 buah rumah dapat dibina di atas tanah seluas 60 hektar itu dan keutamaan akan diberikan kepada bekas polis dan tentera negeri ini yang layak.

Walau bagaimanapun katanya, pesara terlibat perlu membayar sejumlah premium untuk memiliki tanah tersebut tetapi jika kadar itu membebankan golongan berkenaan, kerajaan negeri akan mencari mekanisme terbaik mengatasinya.

Kosmo! 28 Ogos lalu melaporkan kerajaan negeri Perak memberi kelonggaran khas kepada pesara polis dan tentera yang masih belum memiliki rumah sendiri untuk mendapat tapak tanah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, usaha itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan dan menghargai jasa bekas anggota pasukan keselamatan yang menetap di negeri ini selepas bersara.

Syawal terus dirai dengan rumah terbuka

RAJA Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (kanan) bermesra dengan sebahagian waris Syed Hussein Al-Faradz Jamalulullail pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Persatuan Keluarga Jamalullail Perak di pekarangan Masjid At-Taqwa, Kampung Makmor, Sungai Siput, Perak semalam.