Translate

Thursday, August 6, 2009

Perak bangunkan 'Bandar Kasut Ipoh'


IPOH - Kerajaan negeri Perak mahu mengukuhkan lagi industri pembuatan kasut tempatan yang sudah bertapak di sekitar Lembah Kinta sejak lebih 100 tahun lalu dengan mewujudkan `Bandar Kasut Ipoh’ di kawasan Bukit Merah dan Menglembu di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagi merealisasikan cadangan tersebut, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pertubuhan Industri Kasut Perak di samping menaik taraf kawasan pembuatan kasut berkenaan.

``Kami juga bercadang untuk mewujudkan pusat pameran dan jualan kasut buatan negeri Perak yang mana lokasi pusat tersebut akan ditentukan kelak tidak lama lagi,’’ katanya selepas melancarkan Pertandingan Reka Kasut Malaysia (MFDC) 2010 anjuran Pertubuhan Industri Kasut Perak di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Industri Kasut Perak, Tham Kam Kee.
Zambry menjelaskan, industri pembuatan kasut di Perak dianggarkan bernilai kira-kira RM650 juta setahun dan ia akan diangkat menjadi ikon ekonomi baru negeri ini.

"Selama ini, kita terlepas pandang potensi industri pembuatan kasut yang diusahakan oleh kira-kira 400 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Bukit Merah dan Menglembu dekat sini.

"Buatannya bukan sahaja bermutu tinggi malah 65 peratus kasut yang berada di pasaran tempatan dihasilkan dari kawasan ini dan sekali gus ia menjadikan Perak pengeluar kasut terbesar negara," katanya.

No comments:

Post a Comment