Translate

Tuesday, August 11, 2009

Hadiah bermakna untuk pemimpin


SUNGAI SIPUT - Bagi seorang bekas wira negara, Hassan Shahrudin, 83, tidak ada hadiah yang paling berharga boleh disampaikan kepada seorang pemimpin selain sebuah novel yang menceritakan kenangannya bertempur dengan komunis hampir 55 tahun lalu.

Novel ‘Pemburu Bintang Tiga’ tulisan Syed Othman Syed Omar itu antara lain menceritakan keberanian beliau (Hassan) bersama rakan-rakan bertempur dengan komunis dalam satu serangan hendap di Tanjung Malim pada 1955.

"Hari ini (semalam) saya berasa puas dan bersyukur kerana niat mahu menghadiahkan novel berkenaan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) akhirnya tercapai.

"Saya amat berharap beliau dapat memainkan peranan menjaga keamanan negeri dan negara kerana nikmati itu merupakan tinggalan daripada pengorbanan kami terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jasamu Dikenang melibatkan lebih 500 bekas polis, Konstabel Khas (SC) dan home guard dari sekitar pekan ini.

Hassan yang merupakan seorang pesara polis pernah menerima Medal George oleh kerajaan Britain kerana sumbangan mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

Sementara itu, Zambry turut melahirkan rasa terharu dengan pemberian buku tersebut yang menceritakan mengenai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan mempertahankan negara.

No comments:

Post a Comment