Translate

Friday, July 3, 2009

Tempat mengadu rakyat Perak dibuka

IPOH - Penduduk Perak yang mempunyai masalah dan memerlukan bantuan segera kini mempunyai satu lagi tempat mengadu dengan pembukaan Pusat Aduan dan Khidmat Barisan Nasional (BN) Perak semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pusat berkenaan yang terletak di Jalan Seenavisagam di sini menerima semua aduan daripada masyarakat tanpa sebarang prejudis.

“Pembukaan pusat aduan dan khidmat berkenaan adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Semua aduan dan masalah akan dilayani segera tanpa diganggu sebarang proses birokrasi dan saya harap lebih banyak masalah rakyat dapat diberi perhatian untuk diselesaikan,” katanya selepas merasmikan Pusat Aduan dan Khidmat BN Perak di sini semalam.

Beliau berkata, sejak dibuka kira-kira sebulan lalu, pusat itu telah menerima kira-kira 28 aduan.

Menurutnya, antara aduan yang diterima ialah masalah kesihatan, bantuan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, masalah kemudahan asas dan masalah sosial.

“Saya bangga kerana walaupun baru dibuka, pusat tersebut berjaya menyelesaikan lebih 50 peratus daripada aduan terbabit termasuk mengutip bantuan kewangan lebih RM76,000 hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Zambry memberitahu semua wang berkenaan telah disalurkan kepada tiga pengadu yang memerlukan bantuan kewangan segera bagi membiayai kos perubatan mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai masyarakat akan memanfaatkan pusat tersebut dengan datang terus ke premis berkenaan atau menghubungi talian 05-2554916 untuk membuat aduan atau mendapatkan bantuan.

No comments:

Post a Comment