Translate

Thursday, April 23, 2009

Proton perdana V6 ganti Camry

IPOH - Kerajaan Perak akan membeli kereta Proton Perdana Eksekutif untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan bagi menggantikan 16 buah kereta rasmi jenis Toyota Camry yang akan dilelong pada 4 hingga 18 Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pemilihan Proton itu dibuat atas dasar ia lambang kebanggaan negara.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini semalam, beliau tidak pula menyatakan jumlah kereta Proton Perdana Eksekutif yang akan dibeli.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Proton berhubung aspek penyelenggaraan kereta berkenaan yang sebelum ini didakwa oleh kerajaan Perak terdahulu pimpinan Pakatan Rakyat sebagai mahal.

Sementara itu, rancangan melelong Toyota Camry itu mendapat reaksi memberangsangkan walaupun dokumen tender hanya akan dibuka pada 4 Mei ini dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Zamry juga mengesahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhasrat membida Toyota Camry 2.4V bernombor AGS10 yang digunakan oleh bekas Menteri Besar itu dan keutamaan akan diberi kepadanya untuk memiliki kereta itu.

Pada masa sama, beliau juga sedia memberi keutamaan kepada bekas Exco pakatan pembangkang yang berminat untuk membeli bekas kereta rasmi mereka.

No comments:

Post a Comment