Translate

Monday, April 13, 2009

Awasi pembuangan sampah 24 jam

IPOH - Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dikerahkan untuk mengawasi Taman Rapat Setia di sini selama 24 jam bagi mengatasi masalah sampah haram di taman perumahan terbabit.

Pegawai Perhubungan Awam MBI, Normala Latiff berkata, berikutan laporan Kosmo! baru-baru, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi yang dimaksudkan pada 17 Mac lalu.

"Siasatan mendapati aduan penduduk berhubung kewujudan longgokan sampah haram di kawasan itu terbukti benar. Longgokan sampah tersebut segera dibersihkan oleh Bahagian Perkhidmatan MBI," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan kira-kira 500 penduduk Taman Rapat Setia menggesa MBI agar mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja melonggokkan sisa buangan di luar tong sampah disediakan.

Senario longgokan sampah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini seolah-olah dibiarkan pihak berkuasa tempatan sedangkan masalah itu boleh dibendung menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berkata, bagi memastikan masalah sama tidak berulang, MBI telah mengerahkan skuad pembanteras sampah haram memantau kawasan tersebut secara berkala.

Normala berkata, skuad itu akan melakukan intipan dan menangkap pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembuangan sampah haram.

"Kompaun akan dikeluarkan secara serta-merta kepada pihak yang terlibat. Namun sehingga semalam masih tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.

No comments:

Post a Comment