Translate

Wednesday, April 29, 2009

KKJR di semua sekolah Perak



IPOH - Kerajaan negeri Perak melancarkan penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya (KKJR) yang keahliannya terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri ini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, penubuhan kelab itu bertujuan untuk menyokong program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah.

"KKJR yang merupakan salah satu kelab di bawah kegiatan kokurikulum yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengangkutan akan ditubuhkan di seluruh 843 sekolah rendah dan 213 sekolah rendah seluruh Perak dalam masa terdekat.

"Sebagai permulaan 20 sekolah telah dikenal pasti sebagai perintis dan sejak dibuka beberapa bulan lalu, keanggotaan sudah pun mencecah lebih 400 orang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kelab Keselamatan Jalan Raya peringkat Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Ramly secara simbolik menyerahkan buku garis panduan KKJR yang bertujuan membantu penyediaan perancangan sistematik kepada semua guru penasihat kelab di 20 sekolah terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri berkata, kerajaan negeri juga berharap persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) memainkan peranan lebih aktif menjayakan kelab yang baru ditubuhkan itu.

"Saya juga cadangkan antara aktiviti pertama kelab ini ialah memantau tingkah laku sesetengah pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen.

"Selain itu PIBG juga perlu membantu mencegah amalan pelajar yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal," katanya.

No comments:

Post a Comment