Translate

Wednesday, April 1, 2009

Isu tempatan tumpuan Bukit Gantang

TAIPING - Jika pihak pembangkang menyangkakan bahawa isu-isu nasional akan menarik minat pengundi di Bukit Gantang , mereka silap.

Sebaliknya, para pengundi di kawasan Parlimen itu lebih berminat terhadap isu-isu dan masalah tempatan yang selama ini diabaikan oleh wakil rakyat pembangkang terdahulu.

"Kebanyakan pengundi mahu wakil rakyat selesaikan isu tempatan bukan isu-isu luar yang kerap dijaja oleh pembangkang,'' kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum itu Shahrizat memberikan taklimat kepada jentera pilihan raya Wanita UMNO Trong di Dewan Pekerti, Trong dekat sini.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang , calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian akan menghadapi calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris.

Menurut Shahrizat , isu-isu seperti longkang tersumbat, masalah banjir, bantuan kebajikan, persekolahan dan masalah kemiskinan begitu penting dan perlu ditangani wakil rakyat yang bakal terpilih nanti.

Sehubungan itu, Shahrizat meminta jentera sayap parti itu terutamanya skuad perayu undi agar menemui seramai mungkin isi rumah di kawasan Parlimen terbabit tanpa mengira ia kawasan hitam atau putih.

"Apa yang penting, kita perlu pastikan setiap penyokong Barisan Nasional di Parlimen Bukit Gantang akan keluar mengundi pada hari pengundian," katanya.

No comments:

Post a Comment