Translate

Sunday, April 19, 2009

Graduan cemerlang tabah mencari peluang pekerjaan



IPOH - Krisis ekonomi dunia jelas memberi kesan kepada graduan yang baru menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi di negara ini menyebabkan mereka perlu lebih cekal mencari peluang pekerjaan.

Pengalaman itu dikongsi bersama oleh dua penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum pada majlis Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-38 di sini semalam.

Nurfahana Yahya, 22, dan Shahreezan Abd. Rahim, 22, masing-masing yang merupakan pelajar terbaik Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) peringkat diploma untuk sesi Januari dan Julai 2008 masih belum mempunyai pekerjaan tetap walaupun sudah lebih setahun menamatkan pengajian.

Nurfahana dari Seri Manjung dekat sini berkata, beliau hanya sempat bekerja sebagai pembantu juruteknik di sebuah firma pembinaan tempatan selama dua bulan.

Menurut graduan yang memperolehi Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.75 itu, beliau hilang pekerjaan selepas majikannya mengambil keputusan mengurangkan tenaga kerja setelah kekurangan projek ekoran kegawatan ekonomi.

"Selepas itu, puas saya menjaja diploma untuk mendapat pekerjaan sesuai namun sehingga kini masih belum berjaya.

"Namun saya tak putus asa dan anggap kepayahan ini sebagai pengalaman berharga. Saya juga telah memohon untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di Universiti Sains Malaysia, moga ada berita baik untuk saya tidak lama lagi," katanya kepada Kosmo!.

Beliau ditemui selepas menerima anugerah tersebut yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Politeknik, Mohlis Jaafar pada majlis Konvokesyen PUO Ke-38 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum JKA bagi peringkat sijil ialah Norlia Jamaluddin, 21, dan Shakirah Nor Ramlee, 21.

Shahreezan Abd. Rahim dari Jelapang di sini pula berkata, nasib beliau hampir sama dengan Nurfahana, gagal mendapat pekerjaan tetap walaupun meraih PGNK 3.6.

Beliau yang menamatkan pengajian pada Julai lalu kini sedang berjinak-jinak untuk menjadi siswazah tani dengan menceburi perusahaan penanaman cendawan tiram secara kecil-kecilan.

No comments:

Post a Comment