Translate

Thursday, April 16, 2009

Dua sahabat karib bisu raih kecemerlangan



IPOH - Dua pelajar orang kurang upaya (OKU) yang juga sahabat karib membuktikan kecacatan mereka bukan halangan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Mohd. Izuan Ismail, 23, dan Mohd. Nor Rezuan Abd. Ghafar, 23, yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil masing-masing menerima Sijil Senibina pada Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-38 di sini semalam.

Mohd. Nor Rezuan dari Sungai Besar, Selangor berkata, secara kebetulan, beliau dan Mohd. Izuan dari Simpang, Taiping mencapai keputusan Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) yang sama iaitu 3.55.

"Kami berkenalan sejak berada di tingkatan empat di Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang lagi. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami sepakat melanjutkan pelajaran dalam Sijil Senibina di PUO pula.

"Menyedari kekurangan diri, saya dan Mohd. Izuan sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama dari semester pertama lagi," katanya dalam bahasa isyarat yang diterjemah oleh bapa Mohd. Izuan, Ismail Saidin, 48.

Mereka ditemui selepas menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Politeknik, Mohlis Jaafar pada sidang kedua Majlis Konvokesyen PUO ke-38 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Ismail pula berkata, beliau sudah menganggap Mohd. Nor Rezuan seperti anaknya sendiri dan kagum dengan keakraban mereka hingga mampu bekerjasama mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Mohd. Izuan pula berkata, mereka berdua berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma.

No comments:

Post a Comment