Translate

Wednesday, April 22, 2009

22 rumah kedai musnah terbakar

AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BAGAN SERAI - Deretan 22 rumah kedai berusia lebih 20 tahun di Simpang Tiga, Selinsing dekat sini musnah dalam satu kebakaran pada kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerian, Rohana Mustafa berkata, pihaknya yang sampai kira-kira lima minit selepas menerima panggilan kecemasan berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada pukul 2.17 pagi.

"Pihak bomba dalam kejadian ini menghadapi kesukaran untuk mengawal kebakaran ekoran gangguan berikutan tiupan angin kencang.

"Keadaan itu menyebabkan api merebak dengan cepat dan deretan rumah kedai yang diperbuat daripada papan itu musnah dalam jangka masa 30 minit sahaja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Rohana berkata, pihak bomba masih menyiasat punca kejadian dan kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.

Sementara itu, kejadian kebakaran itu segera mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman yang melawat mangsa kebakaran tersebut.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menghulurkan bantuan kewangan segera sebanyak RM500 kepada semua 16 keluarga terlibat.

"Saya juga telah mengarahkan Baitulmal Perak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar membantu terutama menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa.

"Buat sementara waktu, mangsa yang tidak mempunyai tempat tinggal akan ditempatkan di dewan orang ramai berhampiran," katanya.

Hamidah berkata, untuk penyelesaian jangka panjang, Pejabat Tanah dan Daerah Kerian telah diminta untuk mencari lokasi lain yang sesuai untuk penempatan semula rumah kedai berkenaan.

No comments:

Post a Comment