Translate

Thursday, April 30, 2009

Perak bersedia tangani wabak

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan negeri Perak melancarkan Pelan Kesediaan Menghadapi Wabak Influenza semalam sebagai langkah ber jaga-jaga menangani wabak selesema babi yang sedang melanda dunia kini.

Pengerusi Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Peng guna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pelan bersepadu itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP), Jabatan Perkhidmatan Haiwan Perak (JPHP) dan Jabatan Keselamatan dan Ke tenteraman Awam.

"Walaupun belum ada kes melibatkan selesema babi di laporkan namun langkah proaktif perlu diambil memandangkan negeri ini mempunyai industri penternakan babi berskala besar.

"Di seluruh Perak dianggarkan terdapat 430,000 babi yang diternak di 143 ladang terutama di daerah Kinta, Kuala Kangsar dan Batang Padang," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Hang Soon berkata, semua ladang babi berkenaan akan dipantau rapi termasuk beberapa sampel haiwan ternakan itu akan diambil.

Beliau berkata, semua pihak yang terlibat dalam industri penternakan babi di negeri ini termasuk penternak dan ahli keluarganya juga digalakkan memakai penutup muka dan hidung.

"Semua hospital di negeri ini juga telah diarahkan bersiap sedia dan JKNP telah membekalkan 23,000 dos anti vaksin selesema sebagai persediaan menghadapi wabak tersebut.

"Selain itu memandangkan sudah ada satu kes selesema babi di Thailand, sepasukan pegawai kesihatan akan mengadakan pemeriksaan ke atas setiap pelawat yang memasuki pintu masuk dari negara jiran itu di Pengkalan Hulu," katanya.

Sidang DUN Perak diteruskan

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan pada 7 Mei ini akan tetap diteruskan walaupun kes semakan kehakiman kesahihan Menteri Besar negeri itu masih belum diputuskan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tidak timbul sama sekali soal untuk menangguhkan sidang DUN berkenaan kerana ia sah dari segi undang-undang dan telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Secara prinsipnya selagi mahkamah tidak membuat apa-apa keputusan mengenai pelantikan saya, kedudukan saya sebagai Menteri Besar Perak adalah sah.

"Lagipun bukan saya yang memfailkan semakan kehakiman itu tetapi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Tak pernah timbul isu dua Menteri Besar Perak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyua rat Exco Mingguan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Wednesday, April 29, 2009

KKJR di semua sekolah Perak



IPOH - Kerajaan negeri Perak melancarkan penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya (KKJR) yang keahliannya terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri ini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, penubuhan kelab itu bertujuan untuk menyokong program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah.

"KKJR yang merupakan salah satu kelab di bawah kegiatan kokurikulum yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengangkutan akan ditubuhkan di seluruh 843 sekolah rendah dan 213 sekolah rendah seluruh Perak dalam masa terdekat.

"Sebagai permulaan 20 sekolah telah dikenal pasti sebagai perintis dan sejak dibuka beberapa bulan lalu, keanggotaan sudah pun mencecah lebih 400 orang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kelab Keselamatan Jalan Raya peringkat Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Ramly secara simbolik menyerahkan buku garis panduan KKJR yang bertujuan membantu penyediaan perancangan sistematik kepada semua guru penasihat kelab di 20 sekolah terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri berkata, kerajaan negeri juga berharap persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) memainkan peranan lebih aktif menjayakan kelab yang baru ditubuhkan itu.

"Saya juga cadangkan antara aktiviti pertama kelab ini ialah memantau tingkah laku sesetengah pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen.

"Selain itu PIBG juga perlu membantu mencegah amalan pelajar yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal," katanya.

Saturday, April 25, 2009

Bangunan sejarah, terbiar dibaik pulih



Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Setelah lebih 10 tahun terbiar, bangunan berusia hampir 100 tahun yang pernah menjadi Ibu Pejabat Pos Perak di Jalan Datuk Sagor di sini sedang dibaik pulih oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) yang membabitkan kos RM2.76 juta.

Ketua Penolong Pengarahnya, Nasir Baba berkata, kerja-kerja memulihara bangunan dua tingkat yang dibina pada 1913 itu telah bermula Januari lalu dan dijangka siap dalam jangka masa setahun.

"Apabila siap kelak, JWN cawangan Perak yang kini beribu pejabat di Taiping akan berpindah di tingkat atas bangunan ini.

"Saya juga difahamkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga berhasrat untuk menjadikan tingkat bawah bangunan ber sejarah itu sebagai Galeri Pos dan Telegraf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kon servasi bangunan warisan sekitar Perak bersama Konsultan Arkitek Konservasi, Siti Norlizaiha Harun di bangunan tersebut di sini semalam.

Dalam lawatan dua hari bermula semalam itu, rombongan JWN yang diketuai oleh Nasir melawat bangunan warisan lain di negeri ini seperti Masjid Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, bangunan Majlis Perbandaran Taiping dan Muzium Perak di Taiping.

Nasir berkata, kajian mendapati struktur bangunan yang direka oleh arkitek terkenal, A. B. Hubback itu masih utuh meskipun ia mengalami beberapa kerosakan dan keretakan pada bahagian dinding serta bumbung akibat lama terbiar selain terdedah pada kelembapan.

Katanya, walaupun telah mengalami beberapa pengubahsuaian ter masuk dijadikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 1941 dan pejabat Pusat Informasi Pelancongan Perak pada 1970, JWN telah memutuskan untuk mengekalkan reka bentuk asal ketika ia dibina.

Thursday, April 23, 2009

Pembaca meter TNB maut rempuh lori

IPOH - Seorang pembaca meter jangka Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Tambun berhampiran Taman Tambun dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Hafizi Hussain, 28 dari Taman Perpaduan, Ulu Kinta dekat sini gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh belakang sebuah lori yang sedang membelok di persimpangan Taman Tambun.

Ayahnya, Hussain Rashid, 60, berkata, ketika kejadian, Hafizi yang berkhidmat di Ibu Pejabat TNB Perak di Jalan Lahad di sini sedang menuju ke pekan Tambun atas urusan kerja.

"Sehari sebelum kejadian, Hafizi sangat gembira memberitahu saya, dia disahkan jawatan sebagai pembaca meter TNB setelah lebih setahun berkhidmat.

"Beliau sememangnya benar-benar berharap diserapkan sebagai pekerja tetap, tetapi tak sangka beliau ‘pergi’ sehari selepas menerima berita gembira itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mewah di sini semalam.

Proton perdana V6 ganti Camry

IPOH - Kerajaan Perak akan membeli kereta Proton Perdana Eksekutif untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan bagi menggantikan 16 buah kereta rasmi jenis Toyota Camry yang akan dilelong pada 4 hingga 18 Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pemilihan Proton itu dibuat atas dasar ia lambang kebanggaan negara.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini semalam, beliau tidak pula menyatakan jumlah kereta Proton Perdana Eksekutif yang akan dibeli.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Proton berhubung aspek penyelenggaraan kereta berkenaan yang sebelum ini didakwa oleh kerajaan Perak terdahulu pimpinan Pakatan Rakyat sebagai mahal.

Sementara itu, rancangan melelong Toyota Camry itu mendapat reaksi memberangsangkan walaupun dokumen tender hanya akan dibuka pada 4 Mei ini dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Zamry juga mengesahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhasrat membida Toyota Camry 2.4V bernombor AGS10 yang digunakan oleh bekas Menteri Besar itu dan keutamaan akan diberi kepadanya untuk memiliki kereta itu.

Pada masa sama, beliau juga sedia memberi keutamaan kepada bekas Exco pakatan pembangkang yang berminat untuk membeli bekas kereta rasmi mereka.

Wednesday, April 22, 2009

Perak lancar e-bayaran

IPOH - Penduduk Perak kini boleh melunaskan bil utiliti termasuk cukai taksiran dan cukai tanah melalui kemudahan e-bayaran yang disediakan portal rasmi kerajaan negeri, www.perak.gov.my.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Perak Datuk Ramly Zahari berkata, kemudahan itu melibatkan pelbagai agensi seperti Lembaga Air Perak (LAP), pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Tanah dan Galian Perak.

"Diharap portal ini yang lebih interaktif dan informatif dapat menjadi gerbang utama untuk orang ramai mengakses maklumat kerajaan negeri dengan lebih mudah, cepat dan tepat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman web Gerbang Portal Perak dan Hari Bertemu Pelanggan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Ramly berkata, orang ramai juga boleh mengakses dan memuat turun pelbagai perkhidmatan dan kemudahan lain seperti sistem pinjaman pendidikan tinggi, e-fatwa, e-masjid dan e-halal.

22 rumah kedai musnah terbakar

AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BAGAN SERAI - Deretan 22 rumah kedai berusia lebih 20 tahun di Simpang Tiga, Selinsing dekat sini musnah dalam satu kebakaran pada kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerian, Rohana Mustafa berkata, pihaknya yang sampai kira-kira lima minit selepas menerima panggilan kecemasan berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada pukul 2.17 pagi.

"Pihak bomba dalam kejadian ini menghadapi kesukaran untuk mengawal kebakaran ekoran gangguan berikutan tiupan angin kencang.

"Keadaan itu menyebabkan api merebak dengan cepat dan deretan rumah kedai yang diperbuat daripada papan itu musnah dalam jangka masa 30 minit sahaja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Rohana berkata, pihak bomba masih menyiasat punca kejadian dan kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.

Sementara itu, kejadian kebakaran itu segera mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman yang melawat mangsa kebakaran tersebut.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menghulurkan bantuan kewangan segera sebanyak RM500 kepada semua 16 keluarga terlibat.

"Saya juga telah mengarahkan Baitulmal Perak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar membantu terutama menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa.

"Buat sementara waktu, mangsa yang tidak mempunyai tempat tinggal akan ditempatkan di dewan orang ramai berhampiran," katanya.

Hamidah berkata, untuk penyelesaian jangka panjang, Pejabat Tanah dan Daerah Kerian telah diminta untuk mencari lokasi lain yang sesuai untuk penempatan semula rumah kedai berkenaan.

Hari Bertemu Pelanggan dapat sambutan

TURUN PADANG. Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran kerajaan negeri Perak yang diadakan di Foyer Aras G, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam mendapat sambutan menggalakkan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, program yang diadakan setiap Selasa itu diberi nafas baru dengan melibatkan semua agensi kerajaan negeri.

"Sebelum ini, program Hari Bertemu Pelanggan hanya melibatkan Exco sahaja namun pada kali ini perubahan dilakukan dengan melibatkan semua agensi kerajaan termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarat.

"Selain itu, program ini juga diadakan di kawasan yang lebih terbuka bagi memudahkan rakyat datang membuat aduan atau mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri," katanya yang turut melancarkan portal rasmi kerajaan negeri, www.perak.gov.my pada majlis tersebut.

Camry bekas MB, Exco dilelong

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Kerajaan negeri Perak akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi bekas menteri besar dan Exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang dikeluarkan semalam, lelongan kereta itu akan berlangsung di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai pukul 9.30 pagi hingga 4 petang pada 4 hingga 18 Mei ini.

Semua kenderaan yang didaftarkan pada 9 Januari lalu menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606.

Setiap unit kereta yang pernah digunakan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Perak itu dijual daripada harga rizab RM148,000 namun ia juga boleh dibeli secara pukal.

Kenderaan itu dikatakan mempunyai perbatuan rendah, baru digunakan untuk tempoh hanya sebulan hingga dua bulan dan masih mempunyai jaminan pengeluar selama tiga tahun.

Selain itu, kereta Toyota Camry terbabit mempunyai filem penapis haba bernilai kira-kira RM2,000, nombor pendaftaran orang kenamaan dan bebas daripada kemalangan.

Dokumen tender boleh didapati pada waktu pejabat mulai 4 Mei hingga 18 Mei ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bahagian Pengurusan, Aras 3, Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan harga RM20 senaskhah.

Mereka yang ingin membeli kenderaan berkenaan perlu menghantar kembali surat tawaran tender itu pada 18 Mei ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim menafikan desas-desus bahawa kereta Toyota Camry dengan nombor pendaftaran AGS10 telah ditempah oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Katanya, semua kenderaan rasmi kerajaan negeri termasuk AGS10 akan dilelong

Tuesday, April 21, 2009

Pembinaan pasar baru perlu disokong

IPOH - Peniaga di pasar awam sekitar bandar raya ini terutamanya Pasar Kampung Simee dan Gunung Rapat di sini diminta menyokong cadangan kerajaan negeri untuk membina semula bangunan pasar terbabit.

Penasihat Menteri Besar Perak untuk Komuniti Cina, Datuk Chang Ko Youn berkata, pembinaan semula bangunan pasar berkenaan adalah suatu keperluan memandangkan kemudahan tersebut telah uzur dan terletak di lokasi tidak sesuai.

"Segelintir peniaga terbabit kurang senang dengan cadangan tersebut kerana bimbang perniagaan akan merosot dan sudah terbiasa berniaga di premis berkenaan sejak berpuluh-puluh tahun.

"Saya nasihatkan mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri telah mengambil kira segala aspek sebelum melaksanakan projek tersebut," katanya selepas merasmikan Kempen Masyarakat Penyayang di Rumah Orang-Orang Tua Kampung Simee di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi segelintir peniaga pasar awam terbabit yang kurang senang dengan cadangan kerajaan negeri untuk membina semula lima pasar awam di bandar raya ini termasuk Pasar Kampung Simee dan Gunung Rapat.

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir sebelum ini mengumumkan cadangan pembinaan semula pasar awam tersebut yang melibatkan kos kira-kira RM25 juta berdasarkan maklum balas penduduk tempatan yang mahukan perubahan itu.

Ko Youn berkata, pembinaan semula awam itu perlu untuk memberi imej baru dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mendatangkan manfaat jangka panjang terhadap golongan peniaga terbabit.

Beliau berkata, peniaga terbabit perlu sedar sejak kebelakangan ini sudah ada trend pengguna memilih untuk membeli barangan keperluan termasuk ikan dan sayur di pasar raya besar.

"Jika perubahan tidak dilakukan di pasar-pasar awam, dalam beberapa tahun lagi, peniaga terbabit akan kehilangan pelanggan yang beralih arah kepada pasar raya besar," katanya.

Monday, April 20, 2009

Guru perlu didik pelajar analisa maklumat tepat

TANJUNG MALIM - Guru perlu memainkan peranan men didik anak murid mereka mengenai kemahiran memahami dan menganalisa maklumat bagi mengelakkan generasi muda ter pesong dengan informasi yang tidak tepat.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pada masa kini, maklumat sememangnya terlalu mudah didapati menerusi media cetak, media massa dan media alternatif lain terutamanya blog.

Beliau berkata, tidak semua maklumat yang disalurkan itu benar dan berasas kerana banyak daripadanya tidak tepat dan ditulis semata-mata untuk mempengaruhi dan mengelirukan pemikiran rakyat.

"Pengaruh daripada penulisan yang tidak benar ini amat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan ketegangan seterusnya menjejaskan ketenteraman awam.

"Orang ramai terutamanya generasi muda sepatutnya tidak harus percaya bulat-bulat kepada setiap maklumat yang di terima tetapi perlu bijak menapis dan menganalisanya. Ke mahiran ini perlu disemai sejak kecil dan guru perlu memain peranan utama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menganugerahkan pangkat Kehormat kepada Komandan dan Timbalan Komandan Kor Pasukan Sukarelawan Siswa Polis (Suksis) UPSI di Auditorium UPSI di sini semalam.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Aminah Ayob selaku Komandan pasukan pakaian berseragam itu menerima pangkat Asisten Komisioner sementara Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Shaharudin Abdul Aziz menerima pangkat Supritendan.

KPT disaran tambah jam kredit kokurilum Suksis



TANJUNG MALIM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran agar meningkatkan jam kredit untuk kegiatan ko kurikulum Kor Pasukan Sukarelawan Siswa Polis (Suksis) yang pada masa kini adalah enam kredit kepada sekurang-kurangnya lapan kredit.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Aminah Ayob berkata, kajian yang dilakukan pihaknya baru-baru ini mendapati penetapan enam jam kredit tersebut tidak berbaloi berbanding jam belajar pelajar (JBP) yang perlu dilalui anggota kor terbabit.

"Secara purata, setiap pelajar yang menganggotai Kor Suksis hanya menerima satu jam kredit bagi setiap semester atau enam jam kredit untuk tiga tahun pengajian.

"Ia tidak berbaloi dengan pengorbanan mereka yang perlu menghabiskan banyak masa untuk menjalani modul disediakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bukan sahaja ketat malah agak berat," katanya selepas dianugerahkan pangkat Asisten Komisioner selaku Komandan Kor Suksis UPSI di sini se malam.

Beliau berkata, kertas cadangan telah disiapkan dan akan diserahkan kepada KPT dalam masa terdekat dan sekiranya ia dipersetujui, perubahan itu akan melibatkan lebih 20 institusi pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai Kor Suksis.

Changkat Thambi Dollah menakutkan

KUALA LUMPUR – Malam minggu di ibu kota kini semakin menakutkan terutama di sekitar Jalan Changkat Thambi Dollah di sini.

Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan pihak polis, sebanyak 1,206 kes jenayah membabitkan rompak dan ragut dicatatkan sepanjang bulan Januari hingga pertengahan bulan ini di Kuala Lumpur dan daripada jumlah itu lebih 100 kes berlaku di Jalan Changkat Thambi Dollah.

Kadar itu menyaksikan peningkatan lebih 100 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang hanya mencatatkan 606 kes.

Senario itu menyebabkan kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai ‘kawasan hitam’. Kes terbaru melibatkan seorang pelajar sebuah kolej, Loo Kai Jun, 20, yang dipukul sekumpulan lelaki pada 4 April lalu.

Menurut Kai Jun, insiden itu bermula semasa dia menunggu bas kira-kira pukul 7 malam sebelum dikerumuni sekumpulan lelaki.

“Seingat saya, sekumpulan 20 orang meluru ke arah saya dan memukul kepala saya dengan batang besi kerana ingin mencuri dompet saya. Saya melarikan diri tapi malangnya terjatuh di atas jalan raya. Mereka beredar apabila muncul seorang lelaki menolong saya yang ketika itu berlumuran darah,’’ jelasnya.

Bagaimanapun, lelaki yang menyelamatkannya itu rupa-rupanya ‘dua kali lima’ kerana dia juga penjenayah.

“Selepas membawa saya ke hospital, lelaki itu kata pada jururawat hospital kononnya dia seorang polis, jadi saya memberinya dompet saya yang mengandungi MyKad, wang RM23, tiket bas kolej selain menyerahkan telefon bimbit dan baju kepadanya semasa saya menjalani pemeriksaan X-ray.

“Apabila semuanya selesai, saya mencari lelaki itu tetapi dia menghilangkan diri,’’ ujar Kai Jun ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Kai Jun, dia membuat laporan polis sejurus kejadian dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, ketakutan juga menyelubungi peniaga di kawasan berkenaan dan ia diakui sendiri oleh salah seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Ella yang mendakwa khuatir dicederakan penjenayah.

Gara-gara itu, katanya. ada di kalangan mereka yang sebelum ini menjalankan perniagaan 24 jam terpaksa menutup kedai awal terutama pada Sabtu.

``Satu ketika, ada di antara mereka menyamar masuk ke restoran untuk makan tapi tiba-tiba meluru datang ke dapur mencuri pisau dan menghunus pisau ke badan pelanggan untuk minta wang.

``Ada juga yang memberontak dan membaling batu ke arah peniaga untuk menunjukkan mereka berkuasa di kawasan berkenaan,’’ katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini se malam.

Di Johor, kadar jenayah sepanjang tahun ini sehingga 16 April lalu didapati menurun sebanyak 1,201 kes atau 14.07 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, penurunan ketara kes jenayah terutama kes curi motosikal iaitu dari 642 kes berbanding 3, 408 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu merupakan hasil kejayaan pihaknya membanterasnya.

Jelasnya, dalam tempoh itu juga, sebanyak 6,968 kes di laporkan dan 2,984 daripadanya berjaya diselesaikan.

Bagi Perak, kadar indeks jenayah turun sebanyak 2.16 peratus sepanjang 2008 berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 12,859 kes, kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah.

Berbeza di Pahang, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kadar jenayah kekerasan di daerah itu bagi tempoh Januari hingga November 2008 menunjukkan peningkatan 92 kes atau 7.9 peratus dengan 1,254 kes berbanding 1,162 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Di Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid berkata, indeks jenayah di Georgetown sepanjang tiga bulan pertama tahun ini turun sebanyak 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.


Majlis Pentauliahan Pangkat Komandan Kor Suksis UPSI


TAULIAH. Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob yang juga Komandan Kor Pasukan Sukarelawan Siswa Polis (Suksis) universiti itu ditauliahkan pangkat Asisten Komisioner.

Upacara menyematkan pangkat itu disempurnakan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah dalam satu majlis khas di Auditorium UPSI, Tanjung Malim.

Turut menerima tauliah ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Shaharudin Abdul Aziz selaku Timbalan Komandan Kor Suksis UPSI dan beliau menerima pangkat Supritendan.

Dr. Aminah berkata, Kor Suksis UPSI yang telah ditubuhkan sejak tiga tahun lalu kini mempunyai seramai 202 anggota.

Sunday, April 19, 2009

Laporan polis terhadap Nizar, Koo Ham

IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada pukul 6.30 petang semalam.

Penasihat Undang-Undang GMP, Nor Ali Nordin berkata, ia berhubung kenyataan kedua-dua pemimpin pembangkang itu yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Khamis lalu.

Beliau berkata, tindakan Mohammad Nizar dan Koo Ham mengatakan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan perintah penggantungan Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam exco lain sebagai tidak sah boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah.

"Mohammad Nizar membuat kenyataan itu di dalam akhbar Sinar Harian hari ini (semalam) sementara Koo Ham dan The New Straits Times (NST) semalam (kelmarin).

"Kenyataan akhbar yang dibuat mereka boleh mengelirukan rakyat seolah-olah sistem kehakiman negara ini tidak bebas," katanya.

Nor Ali berkata, sebagai pengamal undang-undang, beliau faham adalah salah seorang warganegara mempertikai setiap keputusan yang telah dibuat mahkamah.

Beliau berkata, ia selaras dengan sistem demokrasi diamal negara yang bertunjangkan tiga elemen iaitu badan eksekutif, perundangan dan badan kehakiman.

Graduan cemerlang tabah mencari peluang pekerjaan



IPOH - Krisis ekonomi dunia jelas memberi kesan kepada graduan yang baru menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi di negara ini menyebabkan mereka perlu lebih cekal mencari peluang pekerjaan.

Pengalaman itu dikongsi bersama oleh dua penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum pada majlis Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-38 di sini semalam.

Nurfahana Yahya, 22, dan Shahreezan Abd. Rahim, 22, masing-masing yang merupakan pelajar terbaik Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) peringkat diploma untuk sesi Januari dan Julai 2008 masih belum mempunyai pekerjaan tetap walaupun sudah lebih setahun menamatkan pengajian.

Nurfahana dari Seri Manjung dekat sini berkata, beliau hanya sempat bekerja sebagai pembantu juruteknik di sebuah firma pembinaan tempatan selama dua bulan.

Menurut graduan yang memperolehi Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.75 itu, beliau hilang pekerjaan selepas majikannya mengambil keputusan mengurangkan tenaga kerja setelah kekurangan projek ekoran kegawatan ekonomi.

"Selepas itu, puas saya menjaja diploma untuk mendapat pekerjaan sesuai namun sehingga kini masih belum berjaya.

"Namun saya tak putus asa dan anggap kepayahan ini sebagai pengalaman berharga. Saya juga telah memohon untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di Universiti Sains Malaysia, moga ada berita baik untuk saya tidak lama lagi," katanya kepada Kosmo!.

Beliau ditemui selepas menerima anugerah tersebut yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Politeknik, Mohlis Jaafar pada majlis Konvokesyen PUO Ke-38 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum JKA bagi peringkat sijil ialah Norlia Jamaluddin, 21, dan Shakirah Nor Ramlee, 21.

Shahreezan Abd. Rahim dari Jelapang di sini pula berkata, nasib beliau hampir sama dengan Nurfahana, gagal mendapat pekerjaan tetap walaupun meraih PGNK 3.6.

Beliau yang menamatkan pengajian pada Julai lalu kini sedang berjinak-jinak untuk menjadi siswazah tani dengan menceburi perusahaan penanaman cendawan tiram secara kecil-kecilan.

Thursday, April 16, 2009

Dua sahabat karib bisu raih kecemerlangan



IPOH - Dua pelajar orang kurang upaya (OKU) yang juga sahabat karib membuktikan kecacatan mereka bukan halangan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Mohd. Izuan Ismail, 23, dan Mohd. Nor Rezuan Abd. Ghafar, 23, yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil masing-masing menerima Sijil Senibina pada Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-38 di sini semalam.

Mohd. Nor Rezuan dari Sungai Besar, Selangor berkata, secara kebetulan, beliau dan Mohd. Izuan dari Simpang, Taiping mencapai keputusan Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) yang sama iaitu 3.55.

"Kami berkenalan sejak berada di tingkatan empat di Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang lagi. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami sepakat melanjutkan pelajaran dalam Sijil Senibina di PUO pula.

"Menyedari kekurangan diri, saya dan Mohd. Izuan sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama dari semester pertama lagi," katanya dalam bahasa isyarat yang diterjemah oleh bapa Mohd. Izuan, Ismail Saidin, 48.

Mereka ditemui selepas menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Politeknik, Mohlis Jaafar pada sidang kedua Majlis Konvokesyen PUO ke-38 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Ismail pula berkata, beliau sudah menganggap Mohd. Nor Rezuan seperti anaknya sendiri dan kagum dengan keakraban mereka hingga mampu bekerjasama mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Mohd. Izuan pula berkata, mereka berdua berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma.

Bayaran RM105.60 bawa tuah


IPOH - Kesediaan seorang pesara membayar cukai taksiran untuk tempoh setahun membawa tuah kepadanya apabila memenangi hadiah utama cabutan khas cukai taksiran 2009 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Rusidi Saari, 54, membawa pulang sebuah televisyen LCD 42 inci bernilai RM3,999 dalam cabutan bertuah yang dilakukan Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim.

Beliau yang tinggal di Taman Meru 2B, Jelapang di sini berkata, biarpun merupakan pembayar cukai taksiran setia sejak 24 tahun lalu, tetapi sejak tahun lalu sahaja hatinya tergerak untuk membuat pembayaran penuh setahun iaitu sebanyak RM105.60.

"Sebelum ini, saya membayar cukai berkenaan untuk setengah tahun sahaja. Tak sangka menang pula hadiah utama kali ini.

"Berbaloi juga biarpun saya terpaksa menunggu lebih setengah jam sebelum dapat membayar cukai taksiran di kaunter MBI yang sesak dengan pelanggan awal Januari lalu," katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah berkenaan di lobi Bangunan MBI di sini semalam.

Selain Rusidi, seramai 19 pembayar cukai taksiran MBI bertuah lain turut memenangi pelbagai hadiah seperti set sofa, set komputer, peti ais dua pintu dan set mesin basuh yang disampaikan Roshidi.

Cabutan bertuah ini terbuka kepada pembayar cukai taksiran MBI yang membuat pembayaran setahun tanpa tunggakan dari 1 Januari hingga 30 Mac lalu.



Wednesday, April 15, 2009

Pembayar cukai MBI terima hadiah lumayan


BERTUAH. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menganjurkan program cabutan bertuah kepada para pembayar cukai taksiran 2009.

Pada majlis itu, seramai 20 pemenang menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim.

ROSHIDI (tiga dari kanan) bersama sebahagian daripada pemenang cabutan bertuah di Ipoh semalam.

Hadiah utama berupa sebuah televisyen LCD 42 inci bernilai RM3,999 telah dimenangi oleh Rusidi Saari, 54, dari Taman Meru 2B, Ipoh.

Para pemenang lain pula membawa pulang hadiah berupa set sofa, komputer, peti ais dua pintu dan mesin basuh.

Tuesday, April 14, 2009

Info kerjaya dalam TEC


KRISIS ekonomi global yang sedang melanda kini sedikit sebanyak telah memberi kesan negatif kepada kadar pengambilan pekerja di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Tempiasnya turut terkena bakal graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang merupakan pemain utama pasaran kerja di negara ini.

Dengan persaingan yang semakin sengit, sudah pasti mereka yang bijak mengambil peluang dan mempunyai kemahiran interpersonal tinggi sahaja akan ditawarkan pekerjaan.

Sehubungan itu, graduan seluruh negara terutamanya dari sekitar Perak disaran memanfaatkan program Teknologi, Pendidikan dan Kerjaya (Technology, Education and Career - TEC) 2009 yang diadakan di Kampus Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Perak mulai hari ini.

Pengurus Projek TEC, Anas Ibrahim berkata, sepanjang dua hari program tersebut, golongan terbabit berpeluang untuk mendapat maklumat dan berkomunikasi secara langsung dengan kira-kira 60 wakil industri yang mengambil bahagian di dalam program tersebut.

Menurutnya, program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Unit Khidmat Nasihat Kerjaya universiti itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada graduan untuk bijak memanfaatkan setiap peluang kerja yang ditawarkan dalam industri.

"TPK kali membawa tema : 'Peluang Di Dalam Ketidakpastian’. Dalam kesuraman ekonomi global, peluang kerja memang semakin terhad tapi ia tidak bermakna tiada langsung pekerjaan.

"Peluang pekerjaan sebenarnya masih terbuka buat graduan. Yang penting mereka perlu proaktif. Jesteru, TEC sebagai pusat perkongsian maklumat tentang peluang kerja dan pemba ngunan modal insan adalah platform terbaik untuk membantu mereka ," katanya kepada Kosmo!.

Anas berkata, antara pihak industri yang mengambil ba hagian ialah Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Schlum berger WTA (M) Sdn. Bhd., Total E&P Malaysia, Shell Malaysia Sdn. Bhd. dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE).

Beliau memberitahu, turut terlibat ialah MISC Berhad, MMC Oil & Gas Engineering Sdn Bhd, Dimension Bid (M) Sdn. Bhd., Platinum Logistics Corporation Sdn Bhd dan akhbar Kosmo! pula
sebagai rakan media.

"TEC memberi ruang untuk pencari kerja untuk mendapat maklumat dan berkomunikasi secara langsung dengan wakil industri yang terlibat.

"Mereka berpeluang untuk menghadiri temuduga dengan syarikat terbabit sepanjang program tersebut. Kemasukan adalah percuma," katanya.

Anas juga berkata, graduan juga akan didedahkan dengan ke mahiran dan panduan berguna untuk memenangi hati majikan melalui seminar, ceramah, forum dan pameran kerjaya.

Pembantu rumah dakwa dihalau


Seorang wanita warga Sri Lanka ditemui sedang merayau-rayau dalam tidak terurus di tepi jalan di Buntong Jaya di sini semalam oleh orang ramai awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, wanita terbabit kemudiannya dibawa ke rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam oleh beberapa penduduk setempat setelah dia gagal berkomunikasi secara jelas.

Sivasubramaniam berkata, setelah ditenangkan, wanita itu memberitahu identitinya sebagai Inqumathe Ashanthe Latha, 26, yang berasal dari Sri Lanka.

"Dia memberitahu bekerja sebagai pembantu rumah dan telah bekerja selama lapan bulan dengan sebuah keluarga di Taman Rishah di sini. Namun dia mendakwa dihalau tanpa sebab oleh majikannya tengah malam semalam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menemani Inqumathe membuat laporan polis di Balai Polis Buntong di sini semalam.

Sivasubramaniam berkata, berdasarkan pemerhatiannya wanita tersebut mengalami deraan mental dan hanya boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Sementara itu, Inqumathe mendakwa majikannya tidak pernah menjaga kebajikannya termasuk hanya memberi makan sehari sekali selain sering memaksanya membuat kerja-kerja berat tanpa belas kasihan.

Beliau juga mendakwa didera secara mental dan fizikal oleh majikannya yang merupakan seorang pemandu lori dan semua dokumen perjalanan miliknya dirampas.

"Saya sudah tidak mahu bekerja di sini dan mahu pulang ke negara asal," katanya.

Sehubungan itu, Sivasubramaniam berkata, beliau akan merujuk kes tersebut kepada Jabatan Imigresen untuk menguruskan penghantaran pulang wanita itu selain mengenal pasti majikan dan agensinya.

"Biarpun saya diberitahu dia bekerja di negara ini dengan menggunakan permit kerja yang sah, saya tidak pasti punca sebenar dia dihalau majikannya.

"Apa pun kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan terpulang kepada agensi itu untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan susulan," katanya.

Masalah air lombong melimpah selesai

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Masalah banjir di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) 10 Fasa 1, Ulu Chepor dekat sini sejak sebulan lalu yang berpunca daripada limpahan air bekas lombong berhampiran bakal selesai tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail berkata, bagi penyelesaian segera beberapa batang paip akan dipasang untuk mengalirkan limpahan terbabit ke Sungai Pari.

"Menerusi paip sepanjang kira-kira 400 meter itu, air bekas lombong akan dialir keluar ke bekas lombong lain yang berhampiran dan seterusnya ke dalam Sungai Pari.

"Kosnya mungkin tiada kerana Lembaga Air Perak (LAP) sudah menyatakan komitmen untuk menyerahkan paip miliknya untuk projek itu secara percuma sekiranya masih ada stok.

"Namun jika tidak dapat, paip baru akan dibeli dengan kos kira-kira RM14,000," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan wakil penduduk, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pejabat Tanah dan Galian Kinta.

Kosmo! semalam melaporkan lebih 130 keluarga di RPT 10 Fasa 1, Ulu Chepor bimbang kemungkinan rumah mereka akan ditenggelami air berikutan limbahan bekas lombong berhampiran sejak sebulan lalu.

Monday, April 13, 2009

Bimbang air lombong melimpah

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Lebih 130 keluarga di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) 10 Fasa 1, Ulu Chepor dekat sini bimbang kemungkinan rumah mereka akan ditenggelami air berikutan limpahan bekas lombong berhampiran.

Seorang penduduk, Hashim Baharom Shah, 70, berkata, sejak sebulan lalu, setiap kali hujan lebat, air bekas lombong berdekatan akan naik sehingga kira-kira setengah meter dan bertakung di halaman rumahnya.

"Mujur tembok pagar rumah saya agak tinggi, tak masuklah air itu ke dalam rumah, tetapi setakat hari ini 15 rumah termasuk kediaman saya terjejas.

"Saya sudah menetap di sini lama tapi masalah ini cuma berlaku sejak sebulan lalu. Sebelum ini, air bekas lombong itu tidak pun melimpah sebaliknya mengalir terus ke Sungai Pari berhampiran," katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Ahmad, 62, mendakwa masalah itu berpunca daripada kerja-kerja projek pembinaan taman perumahan baru dan perusahaan kuari berhampiran.

"Kami dapati sisa tanah yang dikorek oleh pengusaha kuari dan pemaju perumahan terbabit mendap di dalam bekas lombong itu hingga menyebabkannya semakin cetek.

"Selain itu, pembinaan ban oleh pihak sama menyebabkan air di situ tidak dapat mengalir ke Sungai Pari seperti biasa dan melimpah pula di kawasan berhampiran," katanya.

Mohd. Azahari Ala, 43, pula menggesa pihak bertanggungjawab agar segera mencari jalan penyelesaian kerana keadaan pada masa ini agak serius dan setakat ini limpahan air bekas lombong berkenaan telah menenggelamkan banyak kawasan termasuk rizab jalan dan tapak surau kawasan perumahan itu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang menerima aduan penduduk datang melawat ke kawasan berkenaan untuk melihat sendiri masalah yang timbul.

Beliau berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, beliau akan meminta pihak berkenaan membaiki sistem perparitan di situ agar limpahan air bekas lombong dapat mengalir semula ke Sungai Pari.

"Selain itu, saya akan memanggil wakil penduduk, wakil pemaju perumahan dan kuari, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan pejabat tanah untuk duduk semeja esok (hari ini).

"Bagi saya kita tidak perlu menyalahkan satu sama lain tetapi yang penting berbincang untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Awasi pembuangan sampah 24 jam

IPOH - Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dikerahkan untuk mengawasi Taman Rapat Setia di sini selama 24 jam bagi mengatasi masalah sampah haram di taman perumahan terbabit.

Pegawai Perhubungan Awam MBI, Normala Latiff berkata, berikutan laporan Kosmo! baru-baru, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi yang dimaksudkan pada 17 Mac lalu.

"Siasatan mendapati aduan penduduk berhubung kewujudan longgokan sampah haram di kawasan itu terbukti benar. Longgokan sampah tersebut segera dibersihkan oleh Bahagian Perkhidmatan MBI," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan kira-kira 500 penduduk Taman Rapat Setia menggesa MBI agar mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja melonggokkan sisa buangan di luar tong sampah disediakan.

Senario longgokan sampah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini seolah-olah dibiarkan pihak berkuasa tempatan sedangkan masalah itu boleh dibendung menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berkata, bagi memastikan masalah sama tidak berulang, MBI telah mengerahkan skuad pembanteras sampah haram memantau kawasan tersebut secara berkala.

Normala berkata, skuad itu akan melakukan intipan dan menangkap pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembuangan sampah haram.

"Kompaun akan dikeluarkan secara serta-merta kepada pihak yang terlibat. Namun sehingga semalam masih tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.

Friday, April 10, 2009

Mekanik Bersama Empat Pistol Ditahan

IPOH - Seorang mekanik yang dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati dekat Taiping Jumaat lalu ditahan di sebuah rumah kongsi di Kedah semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, hasil siasatan terhadap lelaki berumur 29 tahun yang ditahan pukul 2 pagi itu, polis merampas empat pucuk pistol dan 113 butir peluru di sebuah rumah kongsi di Sungai Petani.

"Penahanan lelaki itu adalah susulan daripada kes yang berlaku pada Jumaat lepas apabila polis menembak mati tiga penjenayah dan menahan tiga yang lain di Bukit Merah Lake Resort,’’ kata beliau semalam.

Zulkefli berkata, mekanik itu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (Akta Senjata Api Lebih Berat 1971).

Jika sabit kesalahan mekanik itu boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang enam kali.

Beliau berkata, tiga lelaki yang ditahan di Bukit Merah Lake Town Resort itu telah diserahkan ke Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Prai, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Polis terima 80 laporan masa kempen pilihan raya

IPOH - Polis Perak menerima 80 laporan mengenai dakwaan salah laku dan kesalahan pilihan raya sepanjang sembilan hari kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang ber akhir Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati sebahagian aduan tersebut mempunyai kes dan sehubungan itu, 39 kertas siasatan telah dibuka.

"Antaranya ialah penahanan lapan individu dipercayai pe nyokong parti pembangkang yang mengarak replika keranda tertampal gambar Altantuya Shaariibuu dengan kenderaan.

"Mereka ditahan ketika sedang melalui pekan Trong, Taiping pada kira-kira 1.30 petang pada 7 April lalu iaitu pada hari pengundian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Thursday, April 9, 2009

Sumbangan buku untuk pelajar luar bandar

IKHLAS. Dewan Industri Buku Melayu Malaysia ( DIBMM ) menyumbangkan buku kepada empat sekolah luar bandar di daerah Kuala Kangsar baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Abdul Ghani Ngah berkata, empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK ) Simpang Beluru , Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru , SK Kampung Nasib dan SK Karai.

Beliau berkata, sumbangan buku tersebut adalah salah satu inisiatif pihaknya untuk meningkatkan lagi pencapaian dan taraf pendidikan murid luar bandar.

"Walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada murid pedalaman namun masih tidak mencukupi. Sehubungan itu kami terpanggil untuk membantu," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu pada mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Simpang Beluru baru-baru ini.

Wednesday, April 8, 2009

Nizar menang kerusi Parlimen Bukit Gantang

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my


TAIPING - Pas berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang selepas calonnya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berjaya menewaskan dua pencabarnya dengan majoriti undi 2,789 pada pilihan raya kecil itu semalam.

Mohammad Nizar, 52, bekas Menteri Besar Perak yang memperoleh 21,860 undi menumbangkan calon BN, Ismail Saffian, 48, yang hanya mendapat 19,071 undi.

Calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris pula hilang wang deposit selepas sekadar meraih 62 undi manakala undi rosak ialah 465.

Peratusan keluar mengundi pula meningkat kepada 75 peratus berbanding 72 peratus yang dicatatkan pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008 lalu.

Selepas undi dikira di 32 pusat pengundian, peti undi dari 111 saluran berkenaan dibawa ke Dewan Perbandaran Taiping di sini seawal 7 malam bagi penjumlahan undi.

Keputusan rasmi pilihan raya kecil berkenaan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil P059, Parlimen Bukit Gantang, Datuk Mahmood Morshidi kira-kira pukul 9.40 malam.

Pada pilihan raya umum 2008, calon Pas Allahyarham Roslan Shaharom merampas kerusi tradisi BN itu dengan memperoleh 20,015 undi, menewaskan Bendahari Agung UMNO, Datuk Abdul Azim Zabidi dan calon Bebas M. Morgan. Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi.

Berdasarkan keputusan semalam, kemenangan Mohammad Nizar banyak dibantu sokongan pengundi dari kalangan ma syarakat Cina khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang dan Changkat Jering selain pertambahan undi dari saluran pengundi muda.

Mohammad Nizar ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan pengundi Bukit Gantang dan berjanji menjadi wakil rakyat yang sentiasa mesra pen duduk.

Dalam pada itu, bagi Ismail, kekalahannya itu disifatkannya sebagai adat pertandingan dan menerima hakikat bahawa itu adalah pilihan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

"Saya terima (keputusan) dengan hati terbuka tapi saya berjanji akan tetap berkhidmat kepada masyarakat di sini kerana saya anak tempatan," katanya.

Monday, April 6, 2009

Kayu dibakar sebulan

Bagaimanakah kayu bakau diproses untuk dijadikan kayu arang?

BERCERITA tentang dapur membakar kayu arang berbentuk iglu itu, pekerja kilang C.K Choo dan Anak-Anak Sdn. Bhd, Alias Abdul Rahman memberitahu, ia dibuat secara manual dengan mengunakan kira-kira 22,000 batu-bata merah yang dicampurkan sedikit tanah lumpur, air dan pasir.

Batu-bata yang diperbuat daripada tanah liat itu mampu menyerap suhu api yang tinggi semasa proses pembakaran.

"Proses pembuatan sebuah dapur secara manual biasanya memakan masa antara tiga hingga enam bulan untuk disiapkan.

"Kitaran dapur tradisional itu bertahan selama kira-kira lapan hingga sembilan tahun. Selepas itu ia runtuh sendiri secara semula jadi dan sebuah dapur baru perlu dibina semula," katanya.

Berbalik kepada proses penghasilan kayu arang, Alias berkata, sesudah kayu bakau terbabit siap disusun, Alias menerangkan pintu dapur itu akan ditutup dengan timbunan batu bata.

Beliau berkata, selepas itu, api akan dinyalakan dan proses itu merupakan tahap pertama pembakaran kayu arang. Ia ia dinamakan api besar.

"Proses api besar memakan masa selama kira-kira 10 hari. Pada masa itu, suhunya akan sentiasa dikawal sekitar 85 darjah Celsius.

"Api besar bertujuan mengeringkan air kayu bakau yang terkandung di dalam batangnya," kata Alias.

Seorang lagi pekerja, Mohd. Yatim Osman, 49, pula mencelah, proses seterusnya dipanggil api kecil dan ia juga mengambil masa kira-kira 10 hari.

Beliau yang menghambakan diri dalam industri pembuatan kayu arang sejak berusia 18 tahun berkata, kayu bakau yang dikumpul akan terus dibakar dengan api kecil sehingga ia benar-benar menjadi arang.

"Pada ketika ini, suhu di dalam dapur itu akan mencecah sehingga 220 darjah Celsius. Untuk mengetahui sama ada kayu arang itu sudah masak ataupun sebaliknya, kami akan menghidu bau yang terhasil daripada asap yang keluar dari lubang kecil yang terdapat di atas setiap dapur," katanya.

Setelah kayu arang yang dibakar itu benar-benar masak, api akan dipadamkan dan pintu dapur terbabit akan ditutup dengan menggunakan simen.

Kayu arang terbabit akan dibiarkan sejuk selama 10 hari lagi dan proses tersebut dinamakan sebagai kedap dapur.

"Proses membakar kayu bakau untuk dijadikan arang memakan masa hampir sebulan. Ketika dimasukkan ke dalam dapur, beratnya kira-kira 40 tan tetapi setelah selesai ia akan menyusut menjadi lebih kurang 15 tan," katanya.

Mohd. Yatim berkata, kayu arang yang sudah siap akan dikeluarkan oleh pekerja yang kebanyakannya wanita.

Kayu arang tadi kemudian dibungkus dengan kertas khas yang ditimbang sebanyak lima kilogram (kg) setiap bungkus. Ia dijual pada harga kilang RM4.50 setiap satu.

Selain kayu arang yang menjadi produk asas, serpihan kayu arang juga dijual untuk dijadikan medium penanaman orkid.

Mungkin ramai tidak tahu, habuk yang terhasil daripada pembakaran kayu arang juga ada gunanya dan boleh dijual.

Mohd. Yatim memberitahu, habuk atau abu arang itu boleh dijadikan baja organik yang cukup subur untuk tanaman kontan terutama kelapa sawit, serai dan pisang.

"Abu arang memang sesuai dijadikan alternatif kepada baja kimia mahupun organik kerana selain harganya yang murah, ia bebas daripada pencemaran bau dan selamat digunakan.

"Kalau tidak percaya lihat tanaman serai itu. Ia menggunakan seratus peratus baja daripada abu arang," katanya sambil menunjukkan serai yang merimbun subur di belakang kilang arang berdekatan.

Beliau berkata, kalau kena gayanya, habuk arang itu boleh menjadi produk terbaru kilang arang Kuala Sepetang yang boleh dikomersialkan.

Pada masa kini, sebakul abu arang yang seberat kira-kira 10 kg dijual pada harga RM4 dan ia sudah mula digunakan di ladang-ladang kelapa sawit berdekatan. - MOHD. AZLI ADLAN

Pemuda UMNO cedera ditenang, dilastik

TAIPING - Seorang petugas Pemuda UMNO cawangan Kampung Sungai Petai, Changkat Ibol dekat sini cedera setelah diserang seorang petugas Pas ketika memasang poster Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, Abdul Rahman Hasan, 35, mendakwa akibat serangan lelaki berusia 60-an itu, beliau cedera pada paha kiri hingga terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

"Sedang saya dan beberapa petugas memasang poster calon Barisan Nasional (BN) di sebatang pokok kelapa sawit, tiba-tiba dia datang dari arah belakang dengan menunggang motosikal. Dia menendang saya dengan sebelah kakinya.

"Tendangan itu menyebabkan saya tercampak ke dalam belukar berhampiran," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di rumahnya di Kampung Sungai Petai di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, petugas Pemuda UMNO lain yang menyaksikan kejadian itu cuba mengejar lelaki terbabit namun warga emas itu melarikan diri ke sebuah markas Pas berhampiran.

Arang terbaik Asia

Permintaan kayu arang Kuala Sepetang agak tinggi terutama dari Jepun dan Korea Selatan. Harganya secara pukal boleh mencecah sehingga RM2,280 setan.INDUSTRI kayu arang di Kuala Sepetang , Perak sudah mencecah lapan dekad.
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA Sepetang dahulunya dikenali sebagai Port Weld. Tapak stesen kereta api terawal negara itu juga sinonim dengan kelazatan mi udang.

Namun, ada satu perkara yang mungkin tidak diketahui ramai tentang mukim yang terletak di daerah Larut, Matang dan Selama itu. Ia juga sebenarnya terkenal dengan industri kayu arang.

Perusahaan pembuatan kayu arang di Kuala Sepetang sudah menjadi darah daging penduduknya sejak 1930-an. Tradisi itu tidak menghairankan kerana pesisir perkampungan nelayan itu dikelilingi kira-kira 40,711 hektar hutan paya bakau.

Setelah hampir lapan dekad, kayu arang Kuala Sepetang dianggap antara yang terbaik di Asia. Malah, ia masih mendapat permintaan yang tinggi hingga ke pasaran antarabangsa.

Pada masa ini, dianggarkan terdapat 80 pengusaha kayu arang dengan 360 dapur masih beroperasi di kawasan tersebut.

Pemilik syarikat C.K Choo dan Anak-Anak Sdn. Bhd, Choo Han Seng, 46, memberitahu, kilang pembuatan kayu arang yang beliau warisi itu dibuka oleh datuknya.

Lelaki yang bertubuh gempal itu memberitahu, setahunya kilang tersebut sudah beroperasi sejak 1940-an lagi.

"Saya masih ingat pada awal 1980-an, beberapa pengusaha kayu arang di sini agak bimbang industri pembuatan kayu arang akan merosot teruk berikutan penggunaan dapur gas dan elektrik yang kian meluas pada masa itu.

"Namun setelah hampir tiga dekad berlalu, ramalan itu ternyata meleset. Permintaan masih lagi tinggi terutama dari luar negara malah kalau nak diikutkan memang pengeluaran tak cukup ekoran kami terikat dengan sistem kuota yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Perak," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Han Seng berkata, jabatan yang menguruskan hutan paya bakau terbabit sejak 1902 itu menetapkan setiap pelesen kayu arang hanya dibenarkan untuk menebang kira-kira 2.3 hektar pokok bakau bagi setiap dapur yang dimiliki.

Bagi kilangnya, beliau dibenarkan menebang kayu bakau di beberapa tempat di sekitar Matang, Kuala Sepetang , Selinsing dan Kuala Gula.

Katanya, sejurus diteroka, pelesen juga diwajibkan untuk menanam semula anak pokok bakau di kawasan terbabit dan ia tidak boleh diganggu. Pokok itu perlu dibiarkan membesar secara semula jadi dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, menerusi rancangan tiga tahun itu, Jabatan Perhutanan Perak telah membahagikan kawasan hutan paya bakau berkenaan kepada tiga kawasan iaitu Kuala Sepetang , Kuala Trong dan Sungai Kerang.

"Kalau tidak disebabkan kuota yang ditetapkan jabatan perhutanan itu, mungkin banyak lagi pokok bakau yang akan ditebang setiap tahun demi memenuhi permintaan terutama dari luar negara.

"Tapi kami faham peraturan itu adalah bagi memastikan kitaran hutan paya bakau terbabit terpelihara. Berniaga, berniaga juga tapi alam sekitar kena dijaga," katanya sambil ketawa.

Hang Seng yang fasih berbahasa Melayu loghat Perak berkata, permintaan kayu arang dari luar negara agak tinggi terutama dari Jepun dan Korea Selatan dan harganya secara pukal boleh mencecah sehingga RM2,280 setan.

Hampir 70 peratus daripada pengeluaran kayu arang di Kuala Sepetang diimport ke dua negara Asia Timur itu, manakala selebihnya untuk pasaran tempatan.

Begitupun, Han Seng mengakui permintaan dalam negara untuk kayu arang agak menurun sejak kebelakangan ini. Kebanyakannya di hantar ke bandar-bandar utama seperti Ipoh, Kuala Lumpur dan Alor Setar.

"Kalau nak harapkan permintaan dalam negara memang susah nak cari makan. Orang kita anggap kayu arang hanya untuk memasak. Sebab itulah kebanyakan pelanggan saya di seluruh negara merupakan penjual sate dan ikan bakar," katanya sambil tersenyum sinis.

Senario ini jauh berbeza dengan pengimport antarabangsa khususnya dari Jepun. Han Seng memberitahu, dengan teknologi yang lebih moden dan canggih, kayu arang dikomersialkan secara meluas dalam pelbagai industri lain.

Antaranya sebagai salah satu bahan yang digunakan untuk penghasilan ubat gigi, sabun dan alat kosmetik.

Serbuk kayu arang juga dimanfaatkan sebagai agen menstabil dan menyuling dalam industri air mineral dan selain dipakai secara meluas sebagai bahan pembersih dalam kerja-kerja penyelenggaraan penghawa dingin.

"Saya juga difahamkan ada di antara produk berkenaan yang menggunakan kayu arang dari Kuala Sepetang diimport kembali ke negara ini," katanya sambil memerhatikan pekerjanya memasukkan keratan kayu bakau baru ke dalam salah sebuah dapur milik syarikatnya.

Salah seorang pekerja kilang kayu arang terbabit, Alias Abdul Rahman, 49, tampil menceritakan proses pembuatan kayu arang .

Beliau yang berpengalaman selama hampir tiga dekad dalam kerja itu menerangkan bukan semua spesies bakau sesuai dijadikan kayu arang .

Hanya pokok bakau daripada jenis minyak (Rhiziphora apiculata) dan kurap (Rhizophara mucronata) saja boleh digunakan manakala yang lain kurang sesuai.

"Dibakar pada suhu tinggi merupakan asas utama penghasilan kayu arang . Selain minyak dan kurap, kayu bakau lain tidak tahan dan akan menjadi debu kalau melalui proses itu kerana komposisi batangnya yang lembut dan tidak teguh," katanya.

Biasanya hanya pokok bakau yang berukur lilit lapan inci ke atas dipilih untuk ditebang. Sesudah ditebang, batang pokok tadi dibelah menjadi keratan kecil sepanjang kira-kira empat meter setiap satu.

Ia kemudian dibawa ke kilang dengan menggunakan tongkang dan selepas itu batang kayu bakau disiat kulitnya.

Kayu bakau tersebut akan dimasukkan secara menegak ke dalam dapur tanah liat dan bata berbentuk iglu yang mempunyai diameter 6.7 meter.

Beliau berkata, setiap dapur boleh memuatkan kira-kira 14,000 hingga 15,000 batang kayu bakau seberat 40 tan kayu bakau pada satu-satu masa.

Saturday, April 4, 2009

Ismail terus dapat sokongan padu

TAIPING - Masuk hari kelima kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian (gambar) mungkin sudah boleh tersenyum kecil setelah sokongan pengundi kepadanya semakin meningkat.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, sokongan pengundi Melayu semakin mengukuh sementara pengundi Cina dan India pula kian menerima BN.

"Alhamdulillah saya diterima baik. Memang dari dulu lagi majoriti pengundi Melayu Bukit Gantang menyokong BN dan trend sekarang menunjukkan sokongan mereka semakin besar.

"Semakin ramai pengundi Cina dan India menunjukkan minat untuk kembali kepada kita berikutan beberapa sesi penerangan sebelum ini," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir dan warga emas yang sudah uzur di Kampung Jelapang Jaya dan Simpang Halt, Simpang dekat sini semalam.

Ismail berkata, sebagai anak tempatan, beliau faham pengundi Bukit Gantang lebih mahukan wakil rakyat yang boleh menjaga kebajikan mereka daripada terpengaruh dengan isu-isu nasional.

"Setiap hari saya menemui seramai mana pengundi untuk mendengar rintihan dan harapan mereka terhadap seorang wakil rakyat dengan seikhlas mungkin," jelasnya.

Beliau yakin penduduk di kawasan Bukit Gantang sudah faham isu yang dicanangkan pembangkang kerana mereka sudah merasai keperitan apabila nasib mereka kurang terbela sepanjang 11 bulan pembangkang mewakili kawasan itu.

Thursday, April 2, 2009

Ekspo Beli Barangan Buatan Tempatan di Ipoh

KEMPEN. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Perak akan menganjurkan Ekspo Beli Barangan Buatan Tempatan di Dataran Bandaraya Ipoh bermula 24 hingga 28 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan , Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Dr. Mah Hang Soon berkata, ekspo berkenaan akan disertai lebih 200 pengusaha tempatan .

" Ekspo akan disertai pengusaha pasar raya besar, automobil, perabot dan industri kecil dan sederhana. Ia bertujuan mempromosi barangan buatan tempatan yang berkualiti namun lebih murah berbanding barangan import.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kain pemidang Kempen Beli Barangan Malaysia kepada wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Bangunan Persekutuan, Greentown di Ipoh semalam.

Wednesday, April 1, 2009

Isu tempatan tumpuan Bukit Gantang

TAIPING - Jika pihak pembangkang menyangkakan bahawa isu-isu nasional akan menarik minat pengundi di Bukit Gantang , mereka silap.

Sebaliknya, para pengundi di kawasan Parlimen itu lebih berminat terhadap isu-isu dan masalah tempatan yang selama ini diabaikan oleh wakil rakyat pembangkang terdahulu.

"Kebanyakan pengundi mahu wakil rakyat selesaikan isu tempatan bukan isu-isu luar yang kerap dijaja oleh pembangkang,'' kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum itu Shahrizat memberikan taklimat kepada jentera pilihan raya Wanita UMNO Trong di Dewan Pekerti, Trong dekat sini.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang , calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian akan menghadapi calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris.

Menurut Shahrizat , isu-isu seperti longkang tersumbat, masalah banjir, bantuan kebajikan, persekolahan dan masalah kemiskinan begitu penting dan perlu ditangani wakil rakyat yang bakal terpilih nanti.

Sehubungan itu, Shahrizat meminta jentera sayap parti itu terutamanya skuad perayu undi agar menemui seramai mungkin isi rumah di kawasan Parlimen terbabit tanpa mengira ia kawasan hitam atau putih.

"Apa yang penting, kita perlu pastikan setiap penyokong Barisan Nasional di Parlimen Bukit Gantang akan keluar mengundi pada hari pengundian," katanya.