Translate

Wednesday, March 4, 2009

Mesyuarat DUN Perak diadakan di tepi jalan



Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Politik Perak kini mencetuskan insiden memalukan, mungkin yang pertama seumpamanya di dunia.

Semalam, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diadakan di bawah pokok di tepi jalan. Dalam tempoh sidang kira-kira setengah jam, tiga usul diluluskan.

Wakil-wakil rakyat dan Speaker Dewan bersidang dalam keadaan berdiri tanpa meja dan kerusi dan bercampur dengan orang ramai yang hadir.

Sekali pandang, ia saling tak tumpah bagaikan penjual ubat tepi jalan sedang dikerumuni orang ramai.

Begitulah gambaran sidang tergempar DUN Perak yang diadakan di bawah pokok mempelam dan beringin di sini pagi semalam.

Episod itu bermula apabila Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dan 27 anggota dewan daripada pembangkang mengadakan 'persidangan tergempar DUN' di bawah pokok yang terletak 100 meter di luar bangunan DUN yang berkunci.

Persidangan pada pukul 10.20 pagi itu diadakan setelah kumpulan ADUN berkenaan dihalang oleh polis daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan DUN Perak pagi semalam.

Persidangan itu disifatkan sebagai tidak sah setelah tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Peranan Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri yang digantung oleh Sivakumar petang kelmarin 'diambil alih' setiausaha politik bekas Menteri Besar, Mohd. Misbahul Masduki yang turut berdiri di bawah pokok tersebut.

Persidangan itu ditangguhkan 25 minit kemudian selepas meluluskan tiga usul.

Usul-usul itu menyatakan sokongan kepada ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar serta membubarkan DUN Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Selain itu, sidang itu turut meluluskan usul yang dibawa oleh ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham untuk mengesahkan keputusan Speaker melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Sebelum itu berlaku kekecohan di luar perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan apabila kumpulan ADUN pembangkang tersebut cuba memasuki kawasan bangunan itu untuk menghadiri persidangan di dalam dewan.

Ekoran kegagalan kesemua 27 ADUN daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang dikawal ketat Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Sivakumar terpaksa memilih kawasan lapang berhadapan kompleks perniagaan Medan Istana itu sebagai lokasi persidangan.

Pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat DAP Perak sejurus selesai 'sidang DUN' berkenaan, Mohammad Nizar mendakwa, beliau akan menghadap dan memohon Sultan Azlan Shah bagi menyembah keputusan sidang tersebut untuk membubarkan DUN Perak dalam masa terdekat.

Ditanya apakah akan berlaku jika Sultan Azlan tidak memberi perkenan kepada pembubaran DUN Perak, Mohammad Nizar berkata, ia akan memanjangkan lagi krisis perlembagaan yang sedang berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, polis sedang mengesan beberapa individu yang memaki hamun anggota keselamatan semasa sekumpulan wakil rakyat pembangkang dihalang daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan.


No comments:

Post a Comment