Translate

Thursday, February 12, 2009

Perhimpunan haram: 9 didakwa


KUALA KANGSAR – Sembilan lelaki termasuk seorang warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram membantah upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru di Bukit Chandan di sini Jumaat lalu.

Mereka ialah Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 34, Mohd. Faiz Mohd. Arshad, 22, Zulhaizam Zulkifli, 25, Isha Riduan Ishak, 55, Bad Latif Mansor, 43, Adi Hilmee Mohd. Nasir, 40, Yusoff Jaafar, 44, dan Mohamed Ismail, 43.

Seorang lagi ialah Idris Mohd. Thaib, seorang warga Indonesia yang beralamat di Padang Changkat di sini dan bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit di sini.

Meor Safizal berasal dari Tasek Damai, Ipoh, Mohd. Faiz dari Tanjung Tualang, Kampar, Zulhaizam (Simpang, Taiping), Isha Riduan (Seri Manjung, Manjung), Bad Latif (Bukit Antarabangsa, Ampang), Adi Hilmee (Taman Perpaduan, Ipoh) manakala Yusoff dan Mohamed adalah penduduk di bandar ini.

Berdasarkan fakta kes, mereka dituduh menyertai perhimpunan haram di Jalan Istana, Bukit Chandan di sini di antara pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang bertujuan untuk menghalang upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak dan tindakan itu bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah dan Hamdan Hamzan juga mengemukakan pertuduhan pilihan iaitu semua tertuduh yang menjadi peserta perhimpunan di Jalan Istana, Bukit Chandan pada kira-kira 2.30 petang hingga 3.30 petang pada 6 Februari lalu dituduh mengingkari perintah bersurai yanbg dikeluarkan oleh Inspektor Mohd. Saiful Adli Mohd. Asri.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 27 (4) Akta Polis 1967 dan Seksyen 27 (8) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda antara RM2,000 dan RM10,000.

Semua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Norsalha Hamzah kemudiannya memerintahkan semua tertuduh kecuali Idris dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin.

Sementara itu, Idris dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga negara ini dan dokumen perjalanannya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Semua tertuduh juga dilarang menyertai sebarang perhimpunan haram dan jika perintah itu diingkari, jaminan tersebut boleh dibatalkan pihak mahkamah.

Sebelum itu, Othman menawarkan wang jaminan sebanyak RM1,500 kepada lapan tertuduh terbabit sementara Idris pula ditawarkan jaminan sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun, ia dibantah lima peguam bela tertuduh yang diketuai Agustine Anthony yang mencadangkan agar wang jaminan yang ditawarkan hanya RM500 berdasarkan keputusan yang pernah dibuat Mahkamah Sesyen di Shah Alam terhadap kes sama melibatkan peserta perhimpunan haram anjuran Hindraf pada tahun lalu.

Begitupun hujah Agustine itu ditolak Norsalha yang memberitau beliau tidak terikat dengan keputusan mahkamah sesyen lain dan Norsalha menerangkan keputusan membenarkan wang jaminan berkenaan adalah berdasarkan keadaan setempat dan semsasa seta demi ketenteraman awam.

Beliau juga memerintahkan perbicaraan kes berkenaan diadakan selama lima hari mulai 13 hingga 17 April depan.

No comments:

Post a Comment