Translate

Monday, February 2, 2009

Dua ADUN PKR letak jawatan?



Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Teka-teki kehilangan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang 'hilang' sejak Isnin lalu akhirnya terjawab apabila kedua-duanya secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing serta-merta sebagai ADUN semalam.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing di rumah beliau di sini kira-kira pukul 5.45 petang semalam.

Dalam kenyataannya yang difakskan ke pejabat Kosmo! di sini, Sivakumar berkata, beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

"Surat peletakan jawatan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh saya berasaskan Artikel XXXV Undang-Undang Tubuh Negeri.

"Oleh yang demikian saya sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang dengan segera," katanya.

Kehilangan mereka sebelum ini menjadi tanda tanya bahkan kelibat mereka sehingga semalam gagal dikesan oleh kerajaan negeri Perak.

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula menjawat pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kedua-duanya menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Februari ini.

Dengan pengunduran dua wakil rakyat itu, Pakatan Rakyat kini hanya mempunyai 30 ADUN termasuk ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR minggu lepas manakala BN dianggotai 27 ADUN.

No comments:

Post a Comment