Translate

Sunday, February 22, 2009

Nizar kosongkan rumah hari ini

IPOH – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengosongkan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Menurutnya, beliau dan keluarga akan berpindah di rumah sewa baru yang juga terletak di bandar raya ini namun enggan mendedahkan lokasi sebenar.

“Kami dijangka meninggalkan Kediaman Rasmi ini antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi esok (hari ini),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Nizar berkata, beliau mula memindahkan peralatan dan barangan peribadinya ke rumah sewa sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad semalam mendapati walaupun kediaman rasmi tersebut masih dikawal beberapa anggota Unit Amal Pas, namun suasananya agak lengang berbanding sebelum ini.

Pintu pagar utama premis tersebut yang sebelum ini ditutup rapi sudah mula dibuka luas tanpa kawalan ketat daripada anggota unit itu lagi.

Kosmo! pada 13 Februari lalu melaporkan Nizar yang berkeras akhirnya akur untuk meninggalkan KediamanRasmi Menteri Besar.

Ia dibuat selepas Nizar menerima notis pengosongan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.

Nizar memohon tempoh 10 hari untuk berbuat demikian bagi membolehkan beliau dan keluarganya membawa keluar barangan peribadi dari premis berkenaan.

Tempoh itu diminta bagi membolehkan Nizar mencari rumah sewa untuk diduduki keluarganya di Rapat Setia, Gunung Rapat di sini memandangkan seorang anak perempuannya bersekolah di kawasan tersebut.


Saturday, February 21, 2009

Sivakumar tergesa-gesa tinggalkan rumah


IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar (gambar) menegaskan tindakannya menggantung Menteri Besar dan enam Exco daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah untuk mengatasi krisis perlembagaan yang didakwanya sedang berlaku di negeri itu.

Beliau bagaimanapun menafikan ia berniat menderhaka kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Sebagai Speaker DUN Perak yang mengetuai badan perundangan negeri, saya bertanggungjawab dan tiada pilihan selain menyelesaikan masalah tersebut setelah menerima aduan mengenai isu itu daripada ADUN Canning, Wong Kah Woh.

"Saya tidak berniat untuk menderhaka terhadap Tuanku. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai Speaker setelah mendapati perkara ini adalah serius dan saya mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya," katanya yang juga ADUN Tronoh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini semalam.

Sivakumar seterusnya berpendapat masalah tersebut merupakan soal dalaman dan perlu diselesaikan di peringkat kuasa DUN Perak sendiri. Beliau mendakwa telah bertindak adil tanpa melebihi bidang kuasanya seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak (UUTNP).

Beliau berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang bermesyuarat kelmarin telah bersepakat Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco lain telah melakukan kesalahan . Beliau mendakwa tidakan menggantung mereka selaras dengan Fasal 16 (6) UUTNP.

"Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN hanya menggantung ADUN terbabit daripada menghadiri sidang DUN. Mengenai kelayakan mereka sebagai ADUN, saya tidak sentuh langsung," katanya.

Sivakumar mendakwa asas yang diambil sebelum keputusan tersebut dibuat ialah kewajaran Barisan Nasional (BN) menghadap Sultan Azlan Shah untuk memohon membentuk kerajaan setelah mendapat majoriti di DUN.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di kediaman Sivakumar di Taman Kledang Emas, Buntong di sini mendapati kediaman itu berkunci dan difahamkan sudah dikosongkan mulai pagi semalam.

Salah seorang jiran ADUN Tronoh terbabit yang enggan dikenali memberitahu, kali terakhir Sivakumar dilihat berada di rumah tersebut adalah pada tengah hari kelmarin manakala isterinya dilihat memasuki kediaman berkenaan dengan diiringi dua lelaki dipercayai pengawal peribadi keluarga itu pada kira-kira 9 pagi semalam.

"Lebih kurang setengah jam kemudian, saya lihat mereka keluar rumah tersebut dengan keadaan tergesa-gesa sambil memegang beberapa buah beg pakaian," katanya.

JAIP anjur kursus persediaan imam masjid

BERKURSUS. Seramai 40 bakal imam sekitar daerah Kerian menyertai kursus Imam Siri Pertama anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) di Institut Tadbiran Islam Malaysia (Intim) cawangan Perak di Ipoh baru-baru ini.

Kursus sepanjang tiga hari yang berakhir Rabu lalu bertujuan melahirkan imam berkualiti agar dihormati dan disegani oleh masyarakat di kariah masing-masing.

Dalam kursus selama tiga hari yang berakhir Rabu lalu, semua bakal imam terbabit dilengkapi dengan ilmu keagamaan secukupnya sebelum bertugas di masjid yang ditetapkan.

Antara aspek penting yang ditekankan sepanjang kursus berkenaan ialah bacaan dalam sembahyang, pengurusan masjid dan penyediaan program dan modul dakwah dan tarbiyah.

Thursday, February 19, 2009

Seminar Kemanusiaan UTP

MENARIK. Universiti Teknologi Petronas (UTP) menganjurkan Seminar Kemanusiaan Serantau: Mengurus Masa Depan ASEAN di Dewan Canselor kampus berkenaan di Seri Iskandar semalam.

Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim berkata, seminar anjuran Fakulti Pengurusan dan Kemanusiaan universiti itu dan ia bertujuan berbincang dan bertukar idea tentang isu kemanusiaan dalam pembentukan modal insan.

Dalam seminar yang dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Choong itu, sebanyak 65 kertas kerja dibentangkan.

Antara pembentang kertas kerja terbabit ialah Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Timbalan Pengarah Hubungan Antarabangsa UKM, Dr. S. Gunakumaran.

Zambry, enam Exco digantung


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN

berita@kosmo.com.my

IPOH - Politik Perak memasuki satu lagi episod kecoh apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan semua Exco kerajaan negeri daripada menghadiri Sidang DUN secara serta-merta mulai semalam.

Sivakumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mewakili DAP melarang Zambry daripada menghadiri sesi Sidang DUN Perak selama 18 bulan.

Enam Exco kerajaan negeri lain iaitu Hamidah Osman, Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Datuk Shaarani Mohamad dan Mohd. Zahir Abdul Khalid dan Dr. Mah Hang Soon pula digantung selama setahun.

Menurut Sivakumar, kesemua tujuh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak berikutan satu aduan yang dibuat oleh ADUN Canning (DAP), Wong Kah Woh.

Kah Woh mendakwa majlis angkat sumpah jawatan Zambry dan Exco baru Perak daripada BN itu bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin belum meletak jawatan secara rasmi.

"Setelah meneliti aduan tersebut, saya telah mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry dan enam yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sivakumar berkata, beliau telah memanggil Zambry dan semua Exco berkenaan untuk memberi penjelasan di hadapan jawatankuasa tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tidak seorang pun yang memberi penjelasan kepada jawatankuasa tersebut berhubung tindakan mereka yang didakwa menghina DUN Perak itu.

Dalam pada itu, Zambry dan semua Exco kerajaan negeri Perak dilihat memasuki Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini yang menjadi tempat mesyuarat tersebut diadakan kira-kira pukul 3 petang semalam.

Zambry ketika dihubungi berkata, beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan mengikut peraturan dan undang-undang berhubung tindakan jawatankuasa itu.

Zambry berkata, jawatankuasa tersebut tidak boleh membuat keputusan itu dengan sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya perlu membawanya ke sidang DUN terlebih dahulu.

"Keputusan jawatankuasa itu juga adalah menidakkan kuasa Sultan Perak yang membuat pelantikan Menteri Besar dan barisan Exco berkenaan," katanya.

Menteri Besar itu berkata, Sivakumar juga telah melakukan satu penipuan besar apabila mendakwa bahawa beliau dan enam Exco berkenaan telah gagal memberikan sebarang penjelasan dalam mesyuaratr jawatankuasa itu.

Sebaliknya, beliau dan Exco baru Perak telah memberikan penjelasan kepada jawatankuasa tersebut dan turut mengemukakan bantahan awal dengan memberi sebab-sebab mengapa beliau dan enam Exco berkenaan tidak boleh dikenakan tindakan terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Saturday, February 14, 2009

BPA jumpa rakyat di Taiping esok

IPOH - Orang ramai khususnya penduduk sekitar Taiping yang menghadapi masalah mendapatkan dokumen pengenalan seperti tiada kad pengenalan dan surat beranak disaran tampil menyertai program Biro Pengaduan Awam ( BPA ) Bersama Masyarakat esok.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, program berkenaan akan diadakan di Dewan Kampung Rukun Tetangga Larut Tin, Taiping dari pukul 10.30 pagi hingga 4 petang.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan berikutan banyak aduan yang diterima mengenai masalah tersebut khususnya di kalangan penduduk miskin dan kurang berpelajaran sekitar Taiping.

"Saya memang orang Taiping . Baru-baru ini, semasa saya balik kampung di Trong, Taiping , ramai penduduk bandar secara peribadi menemui saya mengadu masalah tidak mempunyai kad pengenalan dan surat beranak.

"Sehubungan itu, BPA mengambil inisiatif mengadakan program khas untuk mengatasi masalah itu dan saya sendiri akan turun padang pada hari tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Murugiah berkata, berdasarkan bancian secara rawak yang dijalankan pihaknya baru-baru ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 300 penduduk bandar berkenaan menghadapi masalah tersebut.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan terlibat secara langsung dalam program berkenaan dan berjanji untuk membantu individu terlibat bagi mendapatkan dokumen pengenalan mereka.

Friday, February 13, 2009

11 sekolah berentap di Kampung Gajah

MARI BERSUKAN. Sebanyak 11 sekolah sekitar Kampung Gajah berentap dalam kejohanan olahraga peringkat mukim tersebut di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Galah, Tanjung Tualang yang berakhir semalam.

SK Dato Sagor muncul juara dengan pungutan pingat terbanyak iaitu sembilan emas, empat perak dan 10 gangsa diikuti SK Sungai Galah dan SK Balun Bidai.

Mohd. Raihan Sumadi, 12, dari SK Balun Bidai dan Norain Roslan, 12, dari SK Dato Sagor pula masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati kejohanan berkenaan.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) (Pengurusan Pembangunan Manusia) Perak Tengah, Ahmad Zakuan Mohd Razi.

Thursday, February 12, 2009

Perhimpunan haram: 9 didakwa


KUALA KANGSAR – Sembilan lelaki termasuk seorang warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram membantah upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru di Bukit Chandan di sini Jumaat lalu.

Mereka ialah Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 34, Mohd. Faiz Mohd. Arshad, 22, Zulhaizam Zulkifli, 25, Isha Riduan Ishak, 55, Bad Latif Mansor, 43, Adi Hilmee Mohd. Nasir, 40, Yusoff Jaafar, 44, dan Mohamed Ismail, 43.

Seorang lagi ialah Idris Mohd. Thaib, seorang warga Indonesia yang beralamat di Padang Changkat di sini dan bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit di sini.

Meor Safizal berasal dari Tasek Damai, Ipoh, Mohd. Faiz dari Tanjung Tualang, Kampar, Zulhaizam (Simpang, Taiping), Isha Riduan (Seri Manjung, Manjung), Bad Latif (Bukit Antarabangsa, Ampang), Adi Hilmee (Taman Perpaduan, Ipoh) manakala Yusoff dan Mohamed adalah penduduk di bandar ini.

Berdasarkan fakta kes, mereka dituduh menyertai perhimpunan haram di Jalan Istana, Bukit Chandan di sini di antara pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang bertujuan untuk menghalang upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak dan tindakan itu bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah dan Hamdan Hamzan juga mengemukakan pertuduhan pilihan iaitu semua tertuduh yang menjadi peserta perhimpunan di Jalan Istana, Bukit Chandan pada kira-kira 2.30 petang hingga 3.30 petang pada 6 Februari lalu dituduh mengingkari perintah bersurai yanbg dikeluarkan oleh Inspektor Mohd. Saiful Adli Mohd. Asri.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 27 (4) Akta Polis 1967 dan Seksyen 27 (8) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda antara RM2,000 dan RM10,000.

Semua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Norsalha Hamzah kemudiannya memerintahkan semua tertuduh kecuali Idris dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin.

Sementara itu, Idris dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga negara ini dan dokumen perjalanannya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Semua tertuduh juga dilarang menyertai sebarang perhimpunan haram dan jika perintah itu diingkari, jaminan tersebut boleh dibatalkan pihak mahkamah.

Sebelum itu, Othman menawarkan wang jaminan sebanyak RM1,500 kepada lapan tertuduh terbabit sementara Idris pula ditawarkan jaminan sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun, ia dibantah lima peguam bela tertuduh yang diketuai Agustine Anthony yang mencadangkan agar wang jaminan yang ditawarkan hanya RM500 berdasarkan keputusan yang pernah dibuat Mahkamah Sesyen di Shah Alam terhadap kes sama melibatkan peserta perhimpunan haram anjuran Hindraf pada tahun lalu.

Begitupun hujah Agustine itu ditolak Norsalha yang memberitau beliau tidak terikat dengan keputusan mahkamah sesyen lain dan Norsalha menerangkan keputusan membenarkan wang jaminan berkenaan adalah berdasarkan keadaan setempat dan semsasa seta demi ketenteraman awam.

Beliau juga memerintahkan perbicaraan kes berkenaan diadakan selama lima hari mulai 13 hingga 17 April depan.

Wednesday, February 11, 2009

Karpal degil, tetap saman Sultan


KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, beliau tetap akan meneruskan rancangannya untuk menyaman Sultan Perak kerana menurutnya tindakan itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.

Katanya, beliau sedia didakwa di mahkamah sekiranya tindakannya itu tidak mengikut lunas undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, Karpal juga berkata, beliau tidak akan memohon maaf kerana menganggap rancangannya untuk menyaman Sultan Azlan Shah bukan berupa penghinaan atau mencabar kedaulatan sultan.

“Selepas tahun 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan satu mahkamah khas ditubuhkan di mana secara jelas menyatakan raja-raja dan sultan boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut bila beliau akan mengemukakan saman itu.

Sementara itu, perkarangan Mahkamah Tinggi di Ipoh dipenuhi petugas media, polis dan kira-kira 100 orang yang memakai lilitan kain berwarna kuning dengan tulisan 'Daulat Tuanku' ekoran ura-ura Karpal akan mengemukakan samannya semalam.

Mereka berkumpul sejak pukul 8 pagi dan bersurai kira-kira pukul 3 petang selepas menerima maklumat Karpal tidak akan hadir kerana beliau berada di ibu negara.

Anak Karpal, Gobind Singh Deo ketika dihubungi mengesahkan Karpal tidak akan memfailkan saman itu semalam.

Sementara itu, pada pukul 10 pagi semalam di pejabat Karpal di Jalan Pudu di sini, kira-kira 200 anggota Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dan Selangor mengadakan demonstrasi aman bagi membantah hasrat Karpal itu.

Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin berkata, tindakan Karpal dianggap biadap dan kurang ajar kerana tidak memikiran sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Di Ipoh, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang dilucut jawatan Menteri Besar memberitahu sidang media bahawa Pakatan Rakyat akan memfailkan saman bagi mencabar pelantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru di Mahkamah Tinggi.

Barisan Exco lebih kecil

KUALA KANGSAR – Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baru yang terdiri daripada dua muka lama dan empat muka baru pagi semalam mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini.

Barisan Exco kali ini lebih kecil iaitu enam orang berbanding sepuluh orang sebelum ini.

Mereka terdiri daripada dua bekas Exco, Datuk Ramly Zahari (ADUN Manong) dan Datuk Saarani Mohamad (ADUN Kota Tampan).

Empat muka baru pula terdiri daripada Ketua Pemuda MCA Perak, Dr. Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang), Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharudin (ADUN Sungai Manik), Hamidah Osman (ADUN Sungai Rapat) dan Mohd. Zahir Abdul Khalid (ADUN Kamunting).

Kesemua mereka menandatangani watikah pelantikan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani dan Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sementara itu Kosmo! mendapati keadaan di pekarangan menuju ke Istana Iskandariah terkawal serta tiada sebarang perhimpunan haram dilaporkan seperti yang berlaku ketika majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak pada Jumaat lalu.

Mohammad Nizar dihalang ‘lapor diri ke pejabat MB’

IPOH – Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semasa beliau cuba ‘melapor diri untuk bekerja’ pagi semalam.

Mohammad Nizar bersama-sama bekas Exco kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat, termasuk Datuk Ngeh Koo Ham daripada DAP, tiba dengan beberapa buah kereta pada pukul 11 pagi dan disambut oleh kira-kira 40 penyokong.

Bagaimanapun, semasa mereka tiba di pintu utama, polis menghalang mereka daripada masuk.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias kemudian menasihatkan Mohammad Nizar dan kumpulan supaya bersurai kerana kehadiran mereka menyebabkan kesesakan trafik.

“Saya minta Datuk Seri (Mohammad Nizar) dan penyokong agar beri kerjasama kepada pihak polis dengan segera beredar dari sini dan tidak menimbulkan kekecohan mahupun menghalang lalu lintas,” beritahu Azisman kepada Mohammad Nizar.

Biarpun Mohammad Nizar cuba memberi alasan beliau dan barisan 'Exco'nya perlu menghadiri Hari Bertemu Pelanggan yang dijadualkan berlangsung di bangunan tersebut semalam, namun ia tetap tidak dibenarkan Azisman.

Akhirnya, bekas Menteri Besar Perak itu terpaksa akur dan meminta penyokongnya pulang ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang terletak di Jalan Raja Dihilir di sini.

Mohammad Nizar kemudian memberitahu pemberita yang beliau akan terus menjalankan tugasnya dari kediaman Menteri Besar yang beliau enggan kosongkan walaupun Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru pada Jumaat.

Sebelum itu, Mohammad Nizar dilihat sampai di perkarangan pagar pintu masuk bangunan tersebut dengan kenderaan rasmi kerajaan negeri Perak, Toyota Camry bernombor plat AGS 10 pada kira-kira pukul 11.05 pagi.

Tuesday, February 10, 2009

Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum (gambar), 50, daripada Pas meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, Roslan yang juga Pengerusi Yayasan Perak diserang penyakit itu ketika mengayuh basikal yang dipinjamnya daripada pemilik stesen minyak di tengah-tengah pekan di sini untuk ke kedai farmasi berhampiran bagi membeli ubat.

Isterinya, Safiah Harun, 50, berkata, Roslan mengadu keletihan sejurus pulang dari kediaman rasmi Menteri Besar Perak selepas menemui Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

"Sebelum itu, kami sekeluarga bercuti di Cameron Hinglands selama dua hari sejak Sabtu lalu. Beliau ada mengadu letih dan bercadang untuk membeli ubat bagi mengatasi masalah tersebut di sebuah farmasi di pekan Batu Gajah.

"Suami saya ada memberitahu mahu mencuci keretanya terlebih dahulu di sebuah stesen minyak di sini sebelum ke farmasi tersebut. Tahu-tahu sahaja saya terima panggilan kira-kira pukul 11 pagi, beliau rebah tak jauh dari stesen minyak terbabit," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Batu Gajah (HBG) di sini semalam.

Safiah memberitahu, beliau dberitahu sementara menunggu kereta arwah suaminya siap dicuci, Roslan meminjam basikal daripada pemilik stesen minyak terbabit untuk ke farmasi yang berada tidak jauh dari situ.

Namun menurutnya, tidak sampai beberapa meter mengayuh basikal berkenaan, Roslan rebah dan dibantu orang ramai. Beliau dipercayai meninggal dunia sebelum sempat di bawa ke HBG.

"Suami saya pernah jatuh pengsan ketika melakukan lawatan kerja di Taiwan kira-kira sebulan lalu dan dinasihatkan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital. Namun beliau tidak pernah berkesempatan kerana terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Jenazah Roslan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Changkat Larang di sini kira-kira 6 petang semalam.

Roslan meninggalkan 10 anak berusia antara 9 dan 23 tahun. Mereka sekeluarga menetap di Desa Pinjim Changkat Larang di sini.


Monday, February 9, 2009

Kem PLKN Gopeng sambut Tahun Baru Cina

MERIAH. Buat julung kalinya, Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kepimpinan Gemilang, Gopeng menjadi perintis mengadakan sambutan Tahun Baru Cina.

Sambutan yang dihadiri kira-kira 650 orang termasuk 416 pelatih PLKN dan ibu bapa dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Abdul Hadi dalam ucapannya menggalakkan kem PLKN lain turut menganjurkan majlis sambutan perayaan bagi mengeratkan integrasi antara kaum di kalangan pelatih terbabit.

"Program seperti ini pada peringkat kem PLKN memudahkan usaha menerap nilai-nilai perpaduan di kalangan pelatih berkenaan," katanya.

Majlis sambutan berkenaan turut diserikan dengan persembahan tarian dan kebudayaan daripada pelatih kem PLKN itu sendiri.

Saturday, February 7, 2009

Semua pulangkan Camry kecuali Nizar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, bekas Menteri Besarnya, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi satu-satunya bekas pemimpin kerajaan negeri itu yang masih belum memulangkan kenderaan rasmi, Toyota Camry 2.4 bernombor plat AGS 10.

Beliau bertegas untuk terus menggunakan kereta itu kerana mendakwa masih lagi Menteri Besar yang sah.

"Saya akan terus menggunakan kenderaan rasmi dan duduk di kediaman rasmi Menteri Besar sehingga saya menghantar surat rasmi peletakan jawatan atau hilang majoriti pada sidang Dewan Undangan Negeri.

"Esok (hari ini) saya akan terus menggunakan Toyota Camry tersebut untuk ke pejabat," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri memulangkan aset milik kerajaan termasuk kenderaan rasmi yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu.

Arahan itu sudah dipatuhi oleh 10 bekas Exco Pakatan Rakyat (PR) yang telah memulangkan kenderaan mereka melainkan Mohammad Nizar.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati semua 10 Toyota Camry yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu itu telah dipulangkan mulai petang kelmarin dan kini berada di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.


Usaha halang Zambry gagal - ADUN Pangkor angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak Ke-11


KUALA KANGSAR - Biarpun pelbagai usaha dibuat untuk menggagalkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir akhirnya secara rasmi mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.

Hadir pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, bekas-bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali serta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan tiga ADUN Bebas yang menyokong BN.

Bagaimanapun, tiada seorang pun ADUN Pakatan Rakyat termasuk ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kelihatan pada majlis itu.

Difahamkan mereka memboikot upacara tersebut sebagai membantah cara Zambry diangkat sebagai Menteri Besar yang baru.

Majlis mengangkat sumpah barisan Exco Kerajaan Negeri yang baru pula akan berlangsung di sini pada Selasa depan.

Pelantikan Zambry, 47, yang merupakan ADUN Pangkor adalah penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri setelah tiga orang anggotanya keluar parti dan bertindak sebagai ADUN Bebas menyokong BN manakala seorang lagi kembali menyertai BN.

Kini, pembangkang hanya diwakili 28 ADUN manakala BN termasuk calon Bebas yang menyokong BN mempunyai 31 anggoga dalam DUN.

Ekoran itu Sultan Perak dalam keputusan baginda semalam menolak permohonan kerajaan Pakatan Rakyat membubarkan DUN Perak sebaliknya baginda menitahkan supaya Mohammad Nizar serta barisan Exco Kerajaan Negeri pimpinannnya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta kerana tidak lagi mempunyai kepercayaan anggota dewan.

Perusuh kepung Raja Nazrin, Zara



Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI, AZLI ADLAN dan NAZATUL SHIMA RAZALI
berita@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Benarkah sebilangan rakyat Perak kini sudah tidak menghormati raja mereka dek mengikut emosi selepas dihasut oleh sesetengah pemimpin politik?

Namun itulah yang berlaku di bandar diraja ini petang semalam apabila 3,000 penyokong Pakatan Rakyat mengikut kata hati bertindak liar merusuh termasuk tergamak menghalang kereta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah daripada meneruskan perjalanan ke Istana Iskandariah.

Ada yang bagaikan hilang pertimbangan dengan sanggup berbaring di depan kereta Raja Nazrin kerana sukar menerima hakikat bahawa Pakatan Rakyat kini sudah kehilangan kuasa di Perak. Isteri Raja Nazrin, Raja Puan Besar Zara Salim turut berada dalam kenderaan itu.

Kekecohan berlaku ketika Raja Nazrin dan beberapa kereta rasmi orang kenamaan sedang dalam perjalanan ke upacara angkat sumpah Menteri Besar baru Perak di laluan utama menuju ke Istana Iskandariah berhadapan Masjid Ubudiah di sini semalam.

Perhimpunan haram Pakatan Rakyat tersebut dipercayai dirancang bagi menghalang upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang dijadualkan berlangsung pukul 3.30 petang.

Meskipun pihak polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah pun berkumpul di kawasan tersebut termasuk mengadakan sekatan lalu lintas di pintu gerbang Bukit Chandan di sini sejak pukul 11 pagi, kira-kira 3,000 individu terbabit secara tiba-tiba 'menyerbu' laluan utama tersebut.

Perhimpunan itu yang kemudian bertukar rusuhan dilakukan sejurus selesai solat Jumaat di masjid berkenaan kira-kira pukul 2.15 petang.

Pada mulanya mereka menjerit 'Ampun Tuanku, mohon bubar DUN Perak' tetapi keadaan mula tidak terkawal apabila ada yang mengeluarkan kata-kata yang memaki hamun dan bahasa kesat.

Tidak sampai 10 minit selepas itu, tanpa sebarang provokasi ada dikalangan perusuh terbabit mula membaling batu dan kayu di arah anggota FRU.

Tanpa menghiraukan arahan supaya bersurai, kumpulan perusuh kemudian terus memenuhi sebahagian besar laluan berhadapan masjid terbabit.

Polis tidak mempunyai pilihan terpaksa melepaskan gas pemedih mata namun sebahagian besar perusuh enggan beredar.

Pada ketika itulah beberapa kenderaan yang membawa orang kenamaan termasuk Raja Nazrin dihalang daripada meneruskan perjalanan ke Istana Iskandariah yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan berkenaan.

Selain kenderaan Raja Nazrin, kereta yang membawa Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe, Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Musa juga menjadi mangsa kepungan berkenaan.

Beberapa lelaki dilihat membaringkan diri di tengah-tengah jalan selain ada yang mengetuk-ngetuk pintu dan tingkap kenderaan orang kenamaan termasuk kereta Raja Nazrin sendiri.

Perhimpunan tersebut bagaimanapun berakhir kira-kira 5 petang selepas masing-masing dimaklumkan Zambry telah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru di Istana Iskandariah di sini.

Ekoran kejadian itu, sembilan lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan, kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah pada sidang akhbar malam tadi.

Katanya, selain warga Indonesia, turut ditangkap ialah dua pelajar kolej swasta, seorang tok siak masjid dan lima peniaga.

Kesemua ditahan dipercayai penyokong Pakatan Rakyat yang telah menggunakan masjid berkenaan untuk memulakan perhimpunan haram tersebut.

"Bahkan mereka buukan sahaja datang dari bandar ini malah dari Selangor," kata Zulkifli.

"Saya amat kesal dengan tindakan mereka kerana menjadikan masjid tempat untuk melakukan jenayah. Tujuan utama mereka hanya untuk menggagalkan majlis angkat sumpah Menteri Besar," tambahnya.

Menurut Zulkifli, setelah berulang kali diarahkan bersurai, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi meleraikan perhimpunan yang turut menjadikan wanita sebagai benteng.

Kesemua lelaki itu ditahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Friday, February 6, 2009

Saya masih MB - Nizar

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Biarpun mendapat arahan istana supaya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin masih berdegil untuk melepaskan jawatan Menteri Besar Perak.

Beliau berkeras akan terus menjalankan tugas ketua eksekutif negeri sementara rayuannya didengar oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini petang semalam, Mohammad Nizar menafikan beliau menolak titah Sultan atau ingkar terhadap janjinya kelmarin untuk mematuhi apa juga keputusan baginda.

"Saya bukan ingkar atau tolak titah Sultan, cuma saya merayu Sultan (agar) mengikut ketetapan dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

"Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda 'patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan','' katanya pada sidang akhbar itu.

Hadir sama ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan berkuat-kuasa serta-merta.

Dalam sejarah politik negara, hanya seorang Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri yang enggan meletak jawatan apabila diarahkan oleh Sultan dan Yang Dipertua Negeri.

Yang pertama, Stephen Kalong Ningkan yang menjadi Ketua Menteri pertama Sarawak antara Julai 1963 dan September 1966 manakala kes kedua membabitkan Datuk Mohamed Nasir pada 1977 yang tidak memperdulikan usaha untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan Menteri Besar Kelantan kerana melanggar arahan parti.

Mohammad Nizar berkata, tindakan itu wajar atas andaian Barisan Nasional (BN) tiada majoriti memandangkan jumlah kerusi BN sebanyak 28 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sama dengan kerusi Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti Pas, PKR dan DAP.

"Speaker DUN Perak pula telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan kerusi DUN Jelapang, Behrang dan Changkat Jering dikosongkan...kami rayu segala keputusan dibuat turut mengambil kira keputusan mahkamah," katanya.

Sementara itu, kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat Perak akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar hari ini.

Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka bermesyuarat petang semalam dengan alasan beliau masih Menteri Besar yang sah.

Pejabat SUK Perak dikawal ketat

IPOH - Bangunan Perak Darul Ridzuan yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri Perak diambil alih oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak mulai pukul 2.15 petang semalam.

Pengambilalihan atas arahan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim itu dilaksanakan sebaik sahaja menerima titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mengarahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan Menteri Besar semalam.

Difahamkan semua pintu pejabat pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu termasuk pejabat Menteri Besar dan Exco turut diarah dikosongkan dan dikunci agar semua peralatan dan dokumen tidak dibawa keluar.

Kawalan ketat itu membabitkan kira-kira 200 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan dan polis trafik.

Begitupun, keadaan agak terkawal dan tiada sebarang perhimpunan haram dilakukan di kawasan terbabit.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kawalan itu dibuat bagi memastikan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

"Keadaan masih terkawal dan kita ada anggota yang cukup untuk menjamin keselamatan awam,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Ban pecah punca banjir

PRIHATIN. Masalah penduduk Kampung Degong, Sungai Manik yang menjadi mangsa banjir akibat ban di sungai berhampiran pecah baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajudin Abdul Rahman.

Beliau yang bersimpati segera turun padang melawat mangsa banjir terbabit yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Degong.

Tajudin juga menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan seperti beras, gula dan minyak masak kepada kira-kira 80 keluarga berkenaan.

"Saya difahamkan gara-gara ban yang pecah itu, air Sungai Batang Padang berhampiran bukan sahaja menenggelami rumah penduduk malah turut memusnahkan tanaman mereka seperti pisang, durian serta kelapa sawit," ujarnya baru-baru ini.

Thursday, February 5, 2009

Semua ternanti-nanti siapa MB baru

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan kerajaan Pakatan Rakyat terkunci langkah politiknya semalam, bayangan Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah Perak mula menampakkan sinar.

Nama-nama besar dalam Barisan Nasional (BN) Perak mula menarik perhatian kerana dalam fikiran ramai, jawatan Nizar itu sudah kosong.

Antara nama yang disebut-sebut ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak asing lagi dalam politik negeri Perak.

Mereka ialah ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari dan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir. Selain mereka, nama lain ialah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Kubu Gajah) dan Datuk Nazari Ismail (Manjoi).

Ramly yang mewakili DUN Manong dalam Parlimen Kuala Kangsar sejak 1999 merupakan antara pemimpin paling kanan UMNO negeri dan memegang jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Perak.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Ramly antara yang paling lantang mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat, daripada isu pemberian hak milik kekal tanah kepada penduduk kampung baru Cina dan kampung tersusun serta pembelian Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi pemimpin negeri.

Beliau juga dilihat lebih lantang berbanding bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli yang lebih banyak menyepikan diri.

Raja Ahmad pula mempunyai pengalaman luas di peringkat nasional selaku bekas Ahli Parlimen Larut.

Raja Ahmad pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) selain Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Beliau pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kini berkhidmat sebagai Ahli Majlis FAM.

Zambry yang mewakili Pangkor sejak 2004 ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri.

Bekas pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang mendapat pendidikan ijazah pertama di UIAM dan ijazah PhD di Universiti Temple, Amerika Syarikat adalah antara pemimpin pelapis yang berpandangan jauh dalam membela nasib rakyat Perak.


Setem kenangan Jubli Perak dilancar

SETEM DIRAJA. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melancarkan setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama yang dikeluarkan sempena perayaan Jubli Perak pemerintahan baginda di Dewan Bandaran Ipoh (DBI) kelmarin.

Setem keluaran Pos Malaysia Berhad berukuran 50 milimeter (mm) lebar dan 30mm panjang itu dicetak 20 setem sehelai dan memaparkan koleksi potret rasmi Sultan Azlan dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.

Setem-setem termasuk sampul surat hari pertama yang berharga RM5.50 boleh didapati di kebanyakan pejabat pos seluruh negara mulai kelmarin.

Serentak dengan pelancaran itu, Pos Malaysia dengan kerjasama dua peminat filateli, Datuk Dr. Chin Chien Tet dan Goh Kien Boon menganjurkan pameran setem selama empat hari sehingga 8 Februari depan di DBI.

Wednesday, February 4, 2009

'PKR tak perlukan saya'

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
IPOH - "Bukan saya tidak mahukan PKR (Parti Keadilan Rakyat), tetapi mereka yang tidak perlukan saya."
Demikian penjelasan ringkas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi berhubung pendiriannya keluar daripada parti itu semalam.
Menurutnya, tidak timbul soal dia menerima apa jua imbuhan daripada mana-mana pihak dan tindakannya keluar daripada PKR dibuat atas kerelaan sendiri.
"Tiada siapa desak atau pengaruhi saya dan jangan kaitkan saya dengan ganjaran atas tindakan ini. Saya lebih selesa jika menjadi wakil rakyat bebas," katanya ketika dihubungi Kosmo! lewat petang semalam.
Tambahnya, meskipun belum menghantar surat rasmi pengundurannya daripada PKR, beliau mendakwa sudah pun menandatangani sekeping surat memaklumkan keputusannya tersebut kepada Ibu Pejabat PKR Pusat.
"Buat apa nak buat macam itu (sertai PKR) sebab saya sudah tiada tempat di PKR. Orang tak hendak, kenapa kita nak pula.
"Bagi saya tindakan PKR menghantar surat peletakan tanpa bertarikh yang ditandatangani 8 Mac 2008 kepada Speaker DUN Perak, V. Sivakumar menunjukkan jelas parti itu mahu membuang saya dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Osman Mohd. Jailu," katanya.
Jamaluddin juga memaklumkan sekarang berada di Kuala Lumpur namun enggan menyatakan lokasi tempat beliay 'berehat' sekarang.
"Saya belum pulih sepenuhnya (daripada sakit belakang), biarlah saya berehat dulu, kalau saya jumpa media lain pula jadinya," jelasnya.
Beliau juga mengecam kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mendesak beliau dan Osman segera keluar dari persembunyian dan berdepan dengan pemimpin kerajaan negeri Perak.
"Hai, dulu beria-ia kata kononnya saya dan Osman hantar surat peletakan jawatan kepada Sivakumar pada 5.45 petang Ahad lalu. Sekarang dakwa kami dan enam hari menyorok pula," katanya secara menyindir.
Bagaimanapun Osman sehingga malam semalam masih gagal dihubungi dan status keahliannya bersama PKR masih menjadi tanda tanya.

45 anak yatim ceria terima buku percuma

TERIMA KASIH. Seramai 45 anak yatim yang menghuni rumah kebajikan Budi Mulia Nurul Huda (BMNH) di Kampung Tersusun, Tanah Hitam, Chemor, Perak teruja menerima bahan bacaan percuma daripada Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM) semalam.

Pengerusi DIBMM, Datuk Abdul Ghani Ngah berkata, pemberian buku bernilai kira-kira RM1,000 itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya bagi membantu penyelia rumah anak yatim terbabit menyediakan bahan bacaan yang lengkap kepada penghuninya.

Beliau berkata, selain kemudahan asas yang selesa dan mencukupi, sebuah perpustakaan yang lengkap dengan bahan bacaan bermutu juga amat penting untuk rumah anak yatim.

"Sebuah perpustakaan yang lengkap bukan sahaja dapat memperkembangkan minda anak-anak malah membantu mereka cemerlang dalam pelajaran," ujarnya.

Monday, February 2, 2009

Dua ADUN PKR letak jawatan?



Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Teka-teki kehilangan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang 'hilang' sejak Isnin lalu akhirnya terjawab apabila kedua-duanya secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing serta-merta sebagai ADUN semalam.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing di rumah beliau di sini kira-kira pukul 5.45 petang semalam.

Dalam kenyataannya yang difakskan ke pejabat Kosmo! di sini, Sivakumar berkata, beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

"Surat peletakan jawatan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh saya berasaskan Artikel XXXV Undang-Undang Tubuh Negeri.

"Oleh yang demikian saya sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang dengan segera," katanya.

Kehilangan mereka sebelum ini menjadi tanda tanya bahkan kelibat mereka sehingga semalam gagal dikesan oleh kerajaan negeri Perak.

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula menjawat pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kedua-duanya menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Februari ini.

Dengan pengunduran dua wakil rakyat itu, Pakatan Rakyat kini hanya mempunyai 30 ADUN termasuk ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR minggu lepas manakala BN dianggotai 27 ADUN.