Translate

Tuesday, January 13, 2009

Ngeri lihat suami ditetak mati

IPOH - Keberanian seorang ahli politik yang melawan sekumpulan enam penyamun yang menceroboh rumahnya di Jalan Wayang, Buntong di sini berakhir dengan beliau ditetak sampai mati.

Semasa kejadian pukul 2 pagi semalam, mangsa, Bendahari MIC Bahagian Ipoh Barat, N. Sidambaram (gambar), 64, bersama isterinya sedang tidur di rumah banglo setingkat miliknya.

Cerita isteri mangsa, T. Vijayalechumi, 55, beliau dan suami tersedar apabila terdengar bunyi bising jeriji diumpil.

"Kami berdua buka pintu bilik dan terkejut apabila nampak enam lelaki sudah berada di ruang tamu," kata beliau.

Seorang penjenayah itu kemudian mengarah mereka duduk sebelum seorang lagi cuba mengikat tangannya dan suami.

"Namun suami saya enggan ikut arahan menyebabkan berlaku pergelutan sehingga penjenayah itu menetak beberapa bahagian badan suami saya kerana marah.

"Saya amat takut kerana nampak suami saya ditetak berkali-kali dan beliau menjerit kesakitan sebelum rebah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Selepas itu, Vijayalechumi memberitahu, beliau diikat kedua-dua belah kaki dan tangan selain matanya turut ditutup dengan kain sebelum ditolak pula ke dalam bilik tidur.

"Selepas lima minit ditinggalkan, saya dapat melepaskan diri.

"Saya terus ke ruang tamu tetapi suami saya sudah tidak bernyawa manakala semua penjenayah terbabit telah meninggalkan rumah saya," katanya.

Penjenayah itu melarikan barang kemas, kereta Proton Waja dan sebuah telefon bimbit.

Tambahnya, ketika kejadian, hanya beliau dan suami ada di rumah keran tiga anak mereka tinggal berasingan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azizman Alias berkata, penjenayah itu dipercayai masuk ke rumah melalui satu tingkap bersebelahan pintu utama.

"Polis sedang melancarkan operasi memburu penjenayah terbabit yang dipercayai masih berada di daerah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment