Translate

Thursday, January 29, 2009

Tradisi yee sang diteruskan

TRADISI. Aktiviti menggaul hidangan tradisi Cina, yee sang kini semakin sinonim bagi masyarakat negara kita setiap kali tiba sambutan Tahun Baru Cina.

Hidangan berupa campuran ikan dan sayur-sayuran itu membawa maksud tersendiri kerana ikan dalam bahasa Mandarin disebut yee, manakala sayur disebut sang yang masing-masing bermaksud kemakmuran dan kemajuan.

Oleh itu masyarakat Cina percaya semakin tinggi yee sang digaul semakin banyak kemakmuran dan kemajuan yang dapat dicapai pada tahun berkenaan.

Pada majlis anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di Ipoh semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin turut tidak ketinggalan menyertai aktiviti tradisi itu bersama lebih 200 tetamu lain.

Wednesday, January 28, 2009

Pemuda sumbang Dana Palestin

BANTU PALESTIN. Penderitaan rakyat Palestin yang diserang tentera Israel baru-baru ini terus mendapat simpati rakyat di negara ini.

Tidak ketinggalan menghulurkan bantuan Pemuda UMNO cawangan Greentown, Ipoh yang berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1,277.

Sumbangan yang dikutip di kalangan kira-kira 60 anggota Pemuda UMNO cawangan terbabit disumbangkan kepada Dana Kemanusiaan Palestin (DAKAP) anjuran Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO cawangan tersebut, Affendy Harun kepada Eksekutif Pemasaran Zon Utara Kumpulan Utusan, Ajani Basri di Meru Valley Resort, Ipoh baru-baru ini.

Sunday, January 25, 2009

Kongkang disangka panda

BATU KURAU - Penduduk Kampung Bukit Bertam di sini gempar kelmarin setelah menemui seekor haiwan yang disangka beruang panda.

Bagaimanapun, setelah dibawa pulang dan diperhatikan betul-betul, mereka mendapati haiwan yang ditemui itu rupa-rupanya seekor kongkang, iaitu spesies monyet yang semakin pupus.

Seorang penduduk yang menemui haiwan tersebut, Abdul Aziz Madari, 43, berkata, haiwan itu muncul dari rimbunan buluh berdekatan dalam keadaan lemah.

"Saya ingatkan ia beruang panda tetapi memandangkan keadaannya yang lemah, saya bawa pulang dan berinya makan pisang.

"Kebanyakan jiran terdekat yang mengerumuni haiwan berkenaan pada mulanya ingat ia adalah salah satu spesies beruang panda," katanya.

Kongkang atau nama saintifiknya Nycticebus Coucang merupakan spesies monyet yang dilindungi dan memerlukan lesen untuk diburu.

Saturday, January 24, 2009

Dialog menambah baik perkhidmatan polis

RESPONSIF. Lebih 300 penduduk termasuk pemimpin ma syarakat sekitar Bidor menghadiri Majlis Dialog bersama Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah di Balai Polis Bidor kelmarin.

Dalam sesi dialog selama tiga jam bermula pukul 10 pagi itu, pelbagai pandangan dan cadangan untuk menambah baik perkhidmatan polis telah diterima daripada penduduk pekan terbabit.

Rata-rata mereka puas hati dengan perkhidmatan polis yang bukan sahaja berkesan mengurangkan kadar jenayah, malah mesra dengan masyarakat setempat.

Begitupun, ramai yang meminta bilangan anggota polis di Balai Polis Bidor yang kini berjumlah 31 orang ditambah dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan lebih 76,000 penduduk di pekan itu.

Selain itu penduduk juga berkongsi kegembiraan apabila balai polis berkenaan dinobatkan Balai Polis Contoh Perak 2008 dengan penyerahan plak penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Skim Kejiranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bidor, Wong Ng.

Thursday, January 22, 2009

Toyota serah sumbangan

AMAL. Seramai 80 kanak-kanak istimewa dari Pusat Harian Kanak-Kanak Spastik (PHKS), Jalan Bendahara, Ipoh ceria menerima sumbangan daripada firma permotoran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. semalam.

Sumbangan RM36,900 itu disampaikan oleh Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor, Aminar Rashid Salleh kepada Pengerusi PHKS, Hasmah Hamzah.

Hasmah berkata, sumbangan berkenaan amat dihargai kerana pihaknya memerlukan dana bagi membina dewan belajar dan membesarkan lagi pusat latihan dan kemahiran golongan orang kurang upaya.

Tuesday, January 13, 2009

Ngeri lihat suami ditetak mati

IPOH - Keberanian seorang ahli politik yang melawan sekumpulan enam penyamun yang menceroboh rumahnya di Jalan Wayang, Buntong di sini berakhir dengan beliau ditetak sampai mati.

Semasa kejadian pukul 2 pagi semalam, mangsa, Bendahari MIC Bahagian Ipoh Barat, N. Sidambaram (gambar), 64, bersama isterinya sedang tidur di rumah banglo setingkat miliknya.

Cerita isteri mangsa, T. Vijayalechumi, 55, beliau dan suami tersedar apabila terdengar bunyi bising jeriji diumpil.

"Kami berdua buka pintu bilik dan terkejut apabila nampak enam lelaki sudah berada di ruang tamu," kata beliau.

Seorang penjenayah itu kemudian mengarah mereka duduk sebelum seorang lagi cuba mengikat tangannya dan suami.

"Namun suami saya enggan ikut arahan menyebabkan berlaku pergelutan sehingga penjenayah itu menetak beberapa bahagian badan suami saya kerana marah.

"Saya amat takut kerana nampak suami saya ditetak berkali-kali dan beliau menjerit kesakitan sebelum rebah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Selepas itu, Vijayalechumi memberitahu, beliau diikat kedua-dua belah kaki dan tangan selain matanya turut ditutup dengan kain sebelum ditolak pula ke dalam bilik tidur.

"Selepas lima minit ditinggalkan, saya dapat melepaskan diri.

"Saya terus ke ruang tamu tetapi suami saya sudah tidak bernyawa manakala semua penjenayah terbabit telah meninggalkan rumah saya," katanya.

Penjenayah itu melarikan barang kemas, kereta Proton Waja dan sebuah telefon bimbit.

Tambahnya, ketika kejadian, hanya beliau dan suami ada di rumah keran tiga anak mereka tinggal berasingan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azizman Alias berkata, penjenayah itu dipercayai masuk ke rumah melalui satu tingkap bersebelahan pintu utama.

"Polis sedang melancarkan operasi memburu penjenayah terbabit yang dipercayai masih berada di daerah ini," katanya.

Monday, January 12, 2009

Gua runtuh, 2 parah, 1 hilang

Oleh MOHD.AZLI ADLAN


Wednesday, January 7, 2009

CCM sumbang buku untuk 10 sekolah

SUMBANG BUKU. Peneraju industri baja, kimia dan farmaseutikal negara, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) menyumbang buku sains, teknologi dan kesihatan bernilai RM30,000 kepada 10 sekolah rendah luar bandar di sekitar Perak baru-baru ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Mohd. Hashim Tajudin berkata, ia merupakan sebahagian komitmen syarikatnya untuk memberi peluang pembelajaran kepada murid sekolah luar bandar.

"Kami sedar masih banyak sekolah rendah luar bandar yang kekurangan bahan bacaan untuk faedah murid-murid.

"Diharap sumbangan buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris ini dapat menyemai tabiat membaca di kalangan kanak-kanak luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan buku berkenaan kepada guru besar sekolah rendah terbabit sambil disaksikan Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Muhamat Roli Hassan.